LANGKAH Kerajaan Afghanistan mengharamkan wanita untuk mendapatkan akses pendidikan dari sekolah menengah hingga ke peringkat universiti merupakan langkah terkebelakang dan mundur bagi sesebuah negara Islam yang progresif. Walaupun berbagai... Klik di sini untuk terus membaca

LANGKAH Kerajaan Afghanistan mengharamkan wanita untuk mendapatkan akses pendidikan dari sekolah menengah hingga ke peringkat universiti merupakan langkah terkebelakang dan mundur bagi sesebuah negara Islam yang progresif.

Walaupun berbagai hujah yang dikemukakan oleh kerajaan itu, ia sebenarnya tidak menggambarkan wajah sebenar sebuah negara Islam.

Islam adalah sebuah agama yang adil kepada mana-mana kaum, gender dan termasuk menghormati hak individu. Sebelum kedatangan Islam ke tanah Arab, masyarakat Jahilliah selalu mengamalkan perundangan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan termasuklah hak wanita dan kanak-kanak.

Bayi wanita dibunuh kerana membawa bebanan kepada keluarga dan masyarakat. Malahan masyarakat Jahilliah Arab sering kali menjadikan wanita sebagai objek seks dan hamba abdi.

Apabila Islam datang ke Jazirah Arab, semua amalan yang menafikan hak wanita dihapuskan. Malahan Islam juga telah mengangkat darjat dan martabat wanita sebagai penyumbang utama dalam ketamadunan Islam dan dakwah ke seluruh dunia.

Usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan satu tindakan yang tepat dan cukup bijak dengan mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya untuk mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Afghanistan kerana ia adalah satu kehilangan yang besar sekiranya sumbangan berharga wanita tidak dihargai dalam pembinaan sesebuah negara.

Penyertaan wanita dalam pendidikan juga adalah sebahagian daripada ajaran Islam dan aset berharga untuk kemakmuran sesebuah ummah.

Kita melihat apa yang terjadi di Afghanistan merupakan satu diskriminasi terhadap kaum wanita. Ia akan mengurangkan daya saing di antara gender dalam sektor pekerjaan, status ekonomi dan sosial.

Sebagai contoh di Malaysia, di bawah Kerajaan Perpaduan wanita bukan hanya diberikan hak dan kebenaran untuk belajar dalam menuntut ilmu, bahkan wanita juga diangkat di dalam agenda pentadbiran negara.

Sebagai contoh Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Datuk Seri Nancy Shukri), Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang- Undang dan Reformasi Institusi (Datuk Seri Azalina Othman Said), Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) dan untuk rekod mantan Timbalan Perdana Menteri juga merupakan wanita iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini menunjukkan bahawa Malaysia memberikan ruang dan peluang yang penuh kepada wanita untuk diangkat menjadi pemimpin dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Berikutan itu, inisiatif dan saranan Menteri Pengajian Tinggi kepada rakan sejawatnya di Afghanistan adalah sangat tepat pada masanya bagi membuka lebih ruang dan peluang untuk mereka (wanita Afghanistan) memanfaatkan bakat dan kemahiran bersama wanita Islam Malaysia sebagai rakan yang boleh membantu dalam pelbagai bidang kepakaran untuk menjadikan sebuah negara berpendapatan tinggi.

Selain itu juga peluang pendidikan yang diberikan untuk golongan wanita di Afghanistan akan menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara dan membantu membina daya tahan, kestabilan serta perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan bangsa.

Bagi menuju ke arah pelaksanaan ini, pihak kementerian bersama-sama Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia mampu menyahut inisiatif yang dicadangkan oleh Malaysia bagi mengangkat darjat dan martabat wanita Afganistan di dalam memartabatkan agenda pendidikan mereka yang mana bertepatan dengan hala tuju EMGS iaitu mensasarkan untuk menarik 55,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2023 bagi melanjutkan pelajaran di IPT Malaysia.

Selain itu juga, kos pembelajaran berpatutan, jaminan keselamatan, destinasi pengajian yang mengekalkan suasana Islam dari segi pemakanan halal, budaya, tempat ibadah yang mudah dan kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan, menjadikan Malaysia berpotensi tinggi bagi penempatan mereka selain Malaysia juga adalah sebuah negara OIC yang dihormati dan disegani di kalangan negara-negara Islam di dunia.

* Profesor Dr Ahmad Ziad Sulaiman ialah Felo Penyelidik Utama Pusat Kelestarian Ekosistem & Sumber Alam di Universiti Malaysia Pahang

Klik di sini untuk terus membaca