KUANTAN - Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menambah prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika) kendalian kerajaan di kawasan bandar merupakan langkah baik dan menjadi keperluan bagi menampung bilangan murid yang kian bertambah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Yusri Yusoff berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu dikaji dan diteliti secara menyeluruh.
Menurutnya, banyak perkara perlu diambil kira bukan sekadar tambah bilangan semata-mata.
"Keperluan prasarana termasuk ruang kelas yang selesa, bilangan guru mencukupi, kelengkapan dan kualiti pembelajaran juga perlu diambil kira.
"Sekiranya pertambahan itu hanya menggunakan kemudahan dan khidmat guru sedia ada, kita khuatir kualiti pembelajaran tidak mencapai standard sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Yusri berkata, dari satu sudut, langkah ini memang perlu, namun pelaksanaannya perlu persediaan secara menyeluruh dalam semua aspek.
"Paling penting prasekolah atau tadika ini bukan sebagai tempat ‘jagaan’, sebaliknya murid yang mengikutinya perlu melalui sesi pembelajaran yang berkualiti supaya mereka bersedia termasuk boleh menulis dan membaca sebelum memasuki sekolah rendah.
"Kita faham usaha KPM ini juga bagi membantu ibu bapa golongan B40 mendapatkan kemudahan itu memandangkan kos untuk tadika swasta di bandar tinggi dan di luar kemampuan mereka.
"Walaupun bayaran prasekolah dan tadika kendalian kerajaan lebih rendah, kualiti pembelajarannya perlu mencapai standard seiring dengan perkembangan pendidikan negara,” katanya.
Tambah beliau, peranan ibu bapa juga perlu dalam menjayakan hasrat kerajaan itu.
"Peluang yang disediakan itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan anak-anak.
"Pada masa sama ibu bapa kena ambil tahu perkembangan pelajaran anak masing-masing bukan sekadar hantar dan ambil,” ujarnya.
Masih ramai ibu bapa tidak mampu hantar anak ke tadika swasta
Sementara itu, keperluan untuk menambah kelas prasekolah dilihat semakin mendesak berikutan masih ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Batu Kapor di sini, Ahmad Jafri Dollah memberitahu, kerajaan perlu menambah lebih banyak prasekolah di seluruh negara.
Menurutnya, masih ramai ibu bapa khususnya dari golongan B40 tidak mampu membayar yuran di tadika swasta yang mahal berbanding prasekolah milik kerajaan.
"Contohnya di SK Batu Kapor sahaja, kita ada dua kelas terdiri daripada 50 murid, namun permintaan sebenarnya lebih tinggi berbanding jumlah yang ditawarkan.
"Kalau ditambah lagi dua kelas, mungkin lebih baik walaupun tidak mampu memenuhi permintaan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar beliau, penambahan prasekolah dilihat wajar dengan keperluan dan situasi pada masa kini.
"Kita harap kerajaan dapat memandang serius keperluan prasekolah di negara ini sekali gus dapat membantu golongan yang memerlukan pendidikan awal untuk anak-anak mereka,” tambah beliau.
Sebelum ini dalam laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji keperluan untuk menambah kelas prasekolah dan tadika kendalian kerajaan khususnya di kawasan bandar.
Isu kekurangan kelas prasekolah dan tadika kendalian kerajaan khususnya di kawasan bandar menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menghantar anak ke tadika swasta.
Klik di sini untuk terus membaca