HAMPIR 15 tahun lalu, saya melawat Turkiye atas urusan tugas, namun atas tuntutan tugas juga, saya diarahkan kembali ke tanah air lebih awal daripada jadual. Banyak rancangan saya terpaksa dibatalkan.
Semasa cuti hujung tahun baru-baru ini, saya dan isteri memilih Turkiye sebagai destinasi percutian. Kali ini selain kota Istanbul, saya turut melawat Bursa dan beberapa tempat bersejarah di Cappodocia.
15 tahun lalu, Erdogan hanya Perdana Menteri Turkiye. Hari ini beliau ialah Presiden negara tersebut.
Semua pihak tahu ‘hubungan khas’ Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, semasa sidang akhbar pertama beliau, negara diperdengarkan perbualan antara dua tokoh dunia ini.
Pasti ramai ingin tahu ada apa tentang Erdogan dan Anwar? Atau bila mereka mula berkenalan? Sejauh mana Erdogan dan Turkiye dapat membantu Malaysia serta rakyatnya?
Soalan-soalan itu pasti akan menjadi bahan menarik untuk dibaca tetapi buat masa ini ada beberapa perkara lain yang tidak kurang penting untuk kita tahu.
Pertama, serba sedikit fakta kedudukan Turkiye di atas peta dunia. Turkiye terletak di pertengahan antara Eropah dan Asia dengan jumlah penduduknya mencecah 85 juta orang.
Turkiye mempunyai sempadan sangat menarik kerana di bahagian Barat Lautnya, ia bersebelahan dengan Bulgaria dan Greece, manakala di sebelah Timur Laut pula, ia bersempadan dengan Georgia.
Di sebelah Timur pula, terletak negara Armenia, Azerbaijan dan Iran, manakala di Selatan Turkiye, ada Syria dan kepulauan Cyprus. Di Tenggara pula terletaknya negara Iraq.
Kedudukan yang unik antara Eropah dan Asia menjadikan Turkiye sebuah negara sangat istimewa.
Kehebatan negara-negara jirannya sudah pasti akan membantu Turkiye dan pada masa sama, masalah negara-negara jiran seperti Greece dan lain-lain akan turut mengheret Turkiye bersama.
Menurut laporan Economist Intelligence Unit (EIU), ekonomi Turkiye sedang berada dalam situasi tidak menentu terutama jika perang antara Rusia dan Ukraine terus berlanjutan.
Semasa saya maklumkan kepada seorang sahabat tentang destinasi percutian saya pada penghujung tahun lalu, beliau membalas: "Turkiye is not only interesting and beautiful, it is also relatively low cost.”
Turkiye memang sebuah negara sangat menarik, cantik dengan sejarahnya yang sangat memukau terutama berkait dengan Islam, Kristian dan Yahudi.
Ketika saya melawat Bursa, saya sempat melawat makam Osman Ghazi. Beliau adalah pengasas Empayar Uthmaniyyah yang sangat terkenal.
Saya turut berkesempatan solat di Ulu Cami, Masjid 20 Kubah. Masjid paling megah di Bursa dan salah sebuah bangunan bersejarah paling penting.
Jika Istanbul berbangga dengan Hagia Sofia, Ulu Cami adalah Hagia Sofia bagi Bursa. Ulu Cami dibina pada 1396-1399 atas perintah pemerintah kerajaan Uthmaniyyah yang keempat, Yildrim Beyazid.
Lawatan saya dan isteri dari Istanbul ke Bursa adalah atas undangan sahabat lama, Mohammad Nazli Abdul Aziz serta keluarga beliau.
Mohammad Nazli yang saya kenali sejak 1980 ketika kami sama-sama memasuki Maktab Tentera Diraja dahulu ialah Pengarah Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Sabiha Gokcen.
Lapangan Terbang Antabangsa yang diberi nama Sabiha Gokcen sempena nama juruterbang wanita pertama Tentera Udara Turkiye itu pada hari ini diketuai oleh seorang anak Melayu dari Malaysia dan dimiliki oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
Menurut Laporan Eurocontrol beribu pejabat di Brussels, pada 2020, Lapangan terbang milik MAHB di Turkiye disenarai kelima paling sibuk di Eropah, mencatatkan purata harian hampir 500 penerbangan.
Apa pun yang ada antara Turkiye dan Malaysia, yang pasti kita ada Mohammad Nazli yang mengibarkan Jalur Gemilang di sana dan membanggakan negara.
Semoga pengalaman beliau itu nanti dapat dimanfaatkan untuk masa depan Malaysia.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca