SAYA ingin menarik perhatian Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa lebih sebulan selepas pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan pada 3 Disember 2022, namun Perikatan Nasional (PN) masih gagal menubuhkan kabinet... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA ingin menarik perhatian Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa lebih sebulan selepas pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan pada 3 Disember 2022, namun Perikatan Nasional (PN) masih gagal menubuhkan kabinet bayangan mereka.

Pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kabinet bayangan dengan kesemua 38 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 26 September 2018.

Mungkin pada zaman kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu leka dengan menarik ahli Parlimen kerajaan sehingga tidak berminat menubuhkan kabinet bayangannya.

Sebagai gantian, 12 jawatankuasa bersifat dasar ditubuhkan dan diumumkan pada dan selepas 9 Mei 2021 tetapi jawatankuasa-jawatankuasa itu – yang lari daripada konvensi kabinet bayangan dengan melantik ramai anggota bukan ahli Parlimen – juga kebanyakannya tidak berfungsi.

Justeru, ini peluang keemasan untuk Hamzah menunjukkan ketokohannya sebagai Ketua Pembangkang yang jauh lebih berkesan daripada pendahulu-pendahulunya dan juga kesiap-siagaannya untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Pembangkang yang berwibawa tidak boleh mengkritik kerajaan siang dan malam tanpa polisi alternatif sendiri. Sebagai contoh, jika langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengendalikan kemasukan pelancong dari China tidak cukup ketat, apakah polisi alternatif yang mampu dicadangkan oleh PN?

Di sinilah peranan semak dan imbang kabinet bayangan untuk sama-sama menyelesaikan masalah negara secara konstruktif dan bertanggungjawab.

Daripada 74 ahli Parlimen PN, sembilan orang pernah menjadi menteri dan 12 orang lagi pernah menjadi sekurang-kurangnya timbalan menteri termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (bekas Menteri Luar), Datuk Dr Radzi Jidin (bekas Menteri Pendidikan) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Jika kesemua mereka dilantik dalam kabinet bayangan, maka tiga perempat daripada 28 jawatan menteri bayangan sudah terisi.

Tidak melantik ahli-ahli Parlimen yang berkaliber atau berpotensi sebagai menteri bayangan sebenarnya menafikan peluang ahli-ahli Parlimen berkenaan untuk diiktiraf dan menjadi menteri sebenar serta peluang PN menonjolkan dirinya sebagai pengganti kerajaan yang boleh diyakini.

Oleh kerana itu Hamzah perlu membentuk kabinet bayangannya secepat mungkin.

Setelah pembentukan kabinet bayangan, Hamzah perlu membawa barisan menteri bayangannya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya.

Beliau perlu meminta kerajaan membawa rang undang-undang untuk mengiktiraf kabinet bayangan termasuk dibayar gaji sehingga sepertiga gaji menteri (seperti di Australia) dan upacara mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda.

Isu peruntukan kawasan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Shahidan Kasim dan Khairil Nizam Khiruddin juga boleh dibawa oleh Hamzah untuk mendapatkan penyelesaian secara berkanun.

PH dahulunya memberi alasan bahawa kabinet bayangan tidak dapat dibentuk kerana tiada pengiktirafan rasmi dan penyediaan sumber.

Sudah tentu Perdana Menteri yang berjanji untuk menyatupadukan rakyat Malaysia sedia mempertimbangkan permintaan yang munasabah itu.

Kita menanti kunjungan kabinet bayangan Hamzah ke Jemaah Kabinet Anwar demi kematangan politik tanah air.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca