KETAGIHAN atas apa bentuk sekalipun sangat menyusahkan. Bagaimana pun, ia tambah menyusahkan apabila ketagihan itu tiada pengganti yang sepadan. Seorang perokok atau dadah mungkin boleh mengurangkan ketagihannya dengan menggantikannya... Klik di sini untuk terus membaca

KETAGIHAN atas apa bentuk sekalipun sangat menyusahkan. Bagaimana pun, ia tambah menyusahkan apabila ketagihan itu tiada pengganti yang sepadan. Seorang perokok atau dadah mungkin boleh mengurangkan ketagihannya dengan menggantikannya dengan ubatan tertentu. Itu pun, jika mereka cuba untuk berhenti.

Bagi ketagihan berjudi, tiada pengganti sepadan yang boleh menghilangkan ketagihan tadi melainkan dengan berjudi juga. Sebab itulah ketagihan berjudi itu termasuk sebahagian daripada penyakit kecelaruan dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder (DSM-5).

Kita berbincang tentang hal ketagihan berjudi minggu ini kerana Kerajaan Negeri Kedah baru sahaja mengumumkan penutupan premis judi dan nombor ekor di negeri tersebut. Kita tak cuba berdebat sama ada ia baik atau betul kerana baik atau buruk itu sendiri bergantung dari sisi mana kita melihatnya juga.

Orang agama akan melihat menutup pintu kemungkaran sebagai langkah yang wajar. Mereka yang berjudi pula akan melihat ia satu ancaman kepada hak mereka.

Dari segi psikologinya, ketagihan berjudi ini hal yang sangat sukar diterangkan. Ia tidak hanya melibatkan aspek psikologikal seseorang, malah seperti banyaknya bentuk ketagihan lain, ketagihan itu sendiri merangsang hormon adrenalin dan dopamine.

Manusia tidak hanya merasa lega, tetapi juga teruja. Itulah sekurang-kurangnya yang ditunjukkan dalam kajian imbasan terhadap otak manusia.

Bagaimana pun, kajian psikologi cuba menerangkan bagaimana ketagihan berjudi ini satu penyakit psikologikal yang mesti dirawat. Ia sama beratnya dengan ketagihan yang lain.

Ini kerana sebaik sahaja seseorang itu telah mula berjudi, tanpa mengira ia bersifat nombor ekor, bermain jackpot di kasino mewah atau berlaga ayam di belakang semak, bangkitan psikologikal akan mula menjerat pemainnya. Ia dinamakan sebagai ketidakpastian ganjaran atau uncertainty reward.

Sifat manusia itu sukakan kejutan. Apatah kejutan dengan wang ringgit. Ia sama seperti pemancing. Ikan besar yang mungkin memakan umpan ketika memancing di laut itulah yang terus menjadi igauan yang mengasyikkan. Walaupun selalunya balik dengan tangan kosong juga.

Dalam berjudi, walaupun kebarangkalian untuk menang adalah rendah, tetapi para penjudi tak menghiraukan rasional ini. Ini kerana penjudi akan terus menunggu untuk menang. Mereka selalu percaya nasib baik akan selalu menyebelahi mereka. Dalam kalangan penjudi, fenomena ini dinamakan sebagai gambler’s fallacy.

Malah, jika sekalipun seseorang itu sudah menang, ia membangkitkan nostalgia kemenangan tadi pula. Ia dinamakan availability hueristic. Jadi mereka merasa akan terus menang dan tak akan berhenti. Apatah ia ketagihan yang mengaitkan diri dengan kekayaan pula.

Bagaimana jika kalah? Sebenarnya kajian menunjukkan near miss atau hanya sedikit sahaja tersasar yang menyebabkan seseorang itu kalah, ia membangkitkan ingatan yang lebih membuak-buak untuk seseorang terus berjudi.

Mereka akan cuba mengejarnya sampai dapat. Sama seperti pemancing yang menyentak joran dan ikannya terlepas. Perasaan kecewa berterusan akan mendorong untuk seseorang itu terus memancing. Ia lain jika nombor yang diteka tidak naik langsung.

Kelihatannya, dalam kedua-dua kes, menang atau kalah, rasa ingin berjudi itu terus membuak.

Jadi apa yang terbaik patut kita lakukan? Sebagai aktiviti tertua yang pernah wujud dalam peradaban manusia, judi ini juga banyak diniagakan di pasaran gelap.

Menutup premis judi berkemungkinan besar membuka ratusan perniagaan haram yang lain pula. Dalam dunia hari ini, ada ribuan kedai judi atas talian yang lebih mempesonakan.

Adalah lebih baik jika pemerintah, baik di peringkat persekutuan atau negeri melihat ketagihan judi ini sebagai satu penyakit. Ia sama teruknya dengan dadah, arak atau ketagihan lain seperti permainan atas talian.

Jadi dengan menggunakan penglihatan yang berbeza, mungkin sudah tiba masanya pusat serenti untuk semua ketagihan dapat kita bangunkan di setiap negeri atau daerah.

Kita tak boleh sekadar menutup pintu, sedangkan banyak jendela sedang terbuka. Kita juga patut memulakannya dengan polisi yang betul. Kerajaan Kedah wajar menjadi pelopornya!

* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Universiti Malaya.

Klik di sini untuk terus membaca