SHAH ALAM - Langkah London iaitu gerakan dikaitkan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh golongan tertentu, tidak wajar berlaku kerana perbuatan seumpama itu seperti mengkhianati mandat diberikan rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pun begitu, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali setakat ini, menganggap gerakan itu sebagai khabar angin yang sengaja dicetuskan pihak tertentu bagi melaga-lagakan pemimpin tertinggi UMNO menjelang pemilihan parti berkenaan, yang bakal diadakan selewat-lewatnya bulan Mei depan.
Jika benar kata mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama itu, ia adalah perkara yang amat menyedihkan kerana semua pihak tidak wajar mengulangi insiden terjadi, sebelum PRU15 lalu.
"Jika berlaku krisis kejatuhan kerajaan sekali lagi, maka rakyat akan terus menjadi mangsa keadaan. Apabila berlaku pertukaran kerajaan sudah pasti ada pelantikan anggota kabinet baharu dan hala tuju kerajaan akan berubah sedangkan kita baharu sahaja mendepani PRU15.
"Kita sepatutnya tidak mengulangi episod pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri tiga kali sebelum PRU15 lalu dengan memberi peluang kepada semua anggota kabinet melaksanakan tugas masing-masing sehingga akhir penggal Parlimen ke-15, lima tahun lagi.
"Justeru itu, saya menyifatkan Langkah London hanyalah mainan pihak tertentu untuk memecahbelahkan pimpinan tertinggi UMNO di saat menjelang Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan parti bakal diadakan selewat-lewatnya bulan Mei nanti," katanya kepada Sinar Premium, pada Khamis.
Khairuddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan wujud gerakan rahsia membabitkan cubaan menjatuhkan kerajaan campuran didalangi oleh beberapa pemimpin termasuk wakil pembangkang dan UMNO sendiri.
Kumpulan berkenaan dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh sedang mengatur gerakan bagi membentuk semula jajaran politik baharu negara, dalam masa terdekat.
Gerakan menjatuhkan kerajaan mula diperkatakan selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan campuran hasil kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Parti Warisan biarpun ada ahli Parlimen dari jajaran baharu itu berat hati menyertai kerajaan pimpinan Anwar selaku Pengerusi PH.
Berikutan itu, Khairuddin yang juga bekas calon BN bagi Parlimen Kuala Nerus, pada PRU15 lalu, berharap semua ahli UMNO tidak terpengaruh dengan agenda pecah perintah yang cuba memecahbelahkan perpaduan parti yang sengaja dimainkan pihak tertentu berkenaan.
Malah katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita enggan melayan soalan mengenai kewujudan gerakan politik yang dinamakan sebagai 'Langkah London' dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
"Saya dengar khabar angin, (tetapi) tidak buat keputusan berdasarkan khabar angin," katanya ketika sidang akhbar sempena Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Khamis.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu turut menafikannya sambil mendakwa beliau menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang 'tidak mengenal dosa' apabila dikaitkan dengan khabar mengenai Langkah London.
Klik di sini untuk terus membaca