SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah antara calon berpotensi untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah antara calon berpotensi untuk mencabar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan UMNO kelak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosiobudaya (Saudara), Lim Hong Siang berkata, faktor utama ketiga-tiga nama besar UMNO itu dijangka mencabar jawatan tertinggi parti berkenaan disebabkan mereka dilihat menolak naratif kerjasama UMNO-BN dengan Pakatan Harapan (PH) pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain lebih cenderung menjalin hubungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin

Ujar beliau, jika mereka benar-benar bertanding mencabar Ahmad Zahid, kemenangan salah seorang calon pencabar bagi jawatan Presiden UMNO itu pasti akan memberi impak besar terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.

"Dari segi potensi setiap calon, kaca mata orang luar mungkin melihat imej Khairy atau KJ lebih popular dan diyakini mampu melaksanakan agenda reformasi kepimpinan UMNO. Cuma kekurangan beliau ketika ini adalah KJ tidak berjawatan kerajaan dan tidak berstatus ahli Parlimen.

"Menilai kemampuan Ismail Sabri pula, peribadi beliau yang sederhana dan tidak begitu menonjol dalam parti memberi petunjuk bekas Perdana Menteri itu mungkin tidak akan mencabar Ahmad Zahid.

"Ramai menganggap Hishammuddin calon pencabar paling berpotensi pada pemilihan kali ini, namun imej negatif diterima beliau setelah enggan bertanding pada pemilihan UMNO 2018 pada saat khidmatnya amat diperlukan parti, mungkin memberi kesan besar terhadap peluang Ahli Parlimen Sembrong itu.

"Dengan UMNO kini terpecah kepada kem yang tidak setuju naratif kerjasama dengan PH serta kem yang setia dengan Presiden UMNO, calon-calon berpotensi mencabar Ahmad Zahid mungkin perlu bersepakat memastikan pertandingan jawatan tertinggi parti berbentuk satu lawan satu agar tidak pecah undi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hong Siang

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menegaskan beliau bersedia dicabar oleh mana-mana calon dalam saingan kedudukan jawatan nombor satu UMNO pada pemilihan parti itu akan datang.

Mengulas lanjut, Hong Siang turut melihat terdapat dua faktor penting perlu dipertimbangkan dalam pemilihan UMNO kali ini iaitu persoalan imej bagaimana yang ingin ditampilkan parti itu pada masa hadapan dan keperluan kestabilan kerajaan sedia ada.

"Jika dikekalkan status quo, dengan Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden, agak sukar untuk UMNO meyakinkan masyarakat umum bahawa parti itu mempunyai komitmen untuk berubah, sekurang-kurangnya sebagai sebuah parti yang bersih daripada rasuah.

"Imej korup akan kekal terpahat dalam identiti UMNO, dan ia akan mengakibatkan parti itu kehilangan lebih banyak sokongan pengundi khususnya dalam kalangan Melayu.

"Bagaimanapun, dilema besar dihadapi UMNO adalah terdapat kemungkinan kestabilan Kerajaan Perpaduan pula akan tergugat andainya Presiden parti ditukar,” tegas Hong Siang lagi.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis pula berpandangan, sehingga kini identiti bakal pencabar Ahmad Zahid masih tidak jelas meskipun terdapat beberapa nama pemimpin besar UMNO dikaitkan dengan jawatan Presiden parti.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Ahmad Zahid menang tanpa bertanding jika pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berjaya dimanfaatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagi menjelaskan rasional UMNO-BN bekerjasama dengan PH pasca-PRU15.

Mujibu

"Sekiranya berlaku pertandingan dua jawatan tertinggi parti pun, proses pemilihan UMNO sukar dipisahkan daripada konteks penaungan kuasa di mana pemimpin parti yang memegang jawatan kerajaan akan mempunyai kelebihan besar memenanginya.

"Selain itu, kekuatan kem UMNO yang menolak idea kerjasama BN-PH untuk bekerjasama menggembleng tenaga menumbangkan penyandang Presiden masih tidak kelihatan, seolah-olah tiada pihak benar-benar berani kecuali KJ,” katanya.


TRIVIA pemilihan Presiden UMNO


25 Ogos 1951

Tunku Abdul Rahman dipilih sebagai Yang Dipertua UMNO selepas mengalahkan Ahmad Fuad susulan tindakan Datuk Onn Jaafar keluar parti. Tun Abdul Razak Hussein pula dipilih sebagai Timbalan.

23 Januari 1971

Tun Razak dipilih sebagai Yang Dipertua UMNO, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dipilih sebagai Timbalan.

15 September 1978

Tun Hussein Onn dipilih sebagai Presiden UMNO manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Presiden.

Jun 1981

Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam dipilih sebagai Timbalan Presiden dengan mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah.

24 April 1987

Dr Mahathir menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi bagi jawatan Presiden. Tun Ghaffar Baba pula menewaskan Musa Hitam dengan majoriti 40 undi bagi jawatan Timbalan Presiden.

31 Oktober 2003

Tun Abdullah Badawi jadi Pemangku Presiden UMNO selepas Dr Mahathir letak jawatan.23 September 2004Abdullah dipilih sebagai Presiden UMNO, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden.

8 Oktober 2008Najib menang tanpa bertanding jawatan Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

2018

Keputusan Pemilihan Presiden UMNO:1. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) - 30 undi

2. Khairy Jamaluddin (Rembau) - 61 undi

3. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) - 99 undi

Timbalan Presiden UMNO

1. Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau) - 131 undi

2. Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) - 59 undi

Klik di sini untuk terus membaca