SHAH ALAM - Keputusan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bukan suatu keputusan yang mudah untuk Bank Negara Malaysia (BNM). Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat amat peka dengan kenaikan OPR kerana boleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bukan suatu keputusan yang mudah untuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat amat peka dengan kenaikan OPR kerana boleh membawa impak yang kurang memuaskan kepada golongan tertentu.

Menurutnya, bagaimanapun kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur ini sangat diperlukan bagi mengelakkan risiko peningkatan mencanak kadar inflasi akibat peminjaman serta perbelanjaan yang berlebihan atau melampau yang akan mengakibatkan harga barang terus naik dengan lebih tinggi.

"Kalau dibandingkan dengan dua tahun lalu, penutupan sektor ekonomi susulan pandemik Covid-19 meletakkan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang agak tenat umpama pesakit dalam unit rawatan rapi (ICU).

"Pada masa itu, OPR dikurangkan kepada 1.75 peratus iaitu tahap terendah bagi negara kita. Apabila OPR dikurangkan, bayaran pinjaman berkadar terapung juga menjadi lebih rendah. Ini telah membantu meringankan bebanan rakyat semasa tempoh krisis pandemik.

"Keadaan ini ibarat merawat pesakit yang mengalami kesakitan melampau yang memerlukan ubat dalam dos yang tinggi serta pelbagai jenis bantuan kecemasan lain. Keadaan ekonomi juga serupa, " katanya dalam kenyataan eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

SHAMSIAH

Nor Shamsiah berkata, semasa krisis, ekonomi memerlukan sokongan yang padu dan BNM serta industri kewangan telah melaksanakan pelbagai langkah drastik termasuk menurunkan kadar OPR yang terendah dalam sejarah iaitu 1.7 peratus.

Jelasnya, namun, ekonomi Malaysia bukan lagi dalam keadaan tersebut dengan pertumbuhan adalah pada kadar 8.9 peratus untuk suku kedua 2022.

"Pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dijangka sekurang-kurangnya 6 peratus manakala pasaran pekerjaan telah bertambah baik dan sebanyak 260,000 individu telah mendapat pekerjaan sejak tahun 2021. Kadar pengangguran yang lebih rendah direkodkan pada Julai 2022 iaitu 3.7 peratus dan gaji sektor swasta juga telah meningkat.

"Aktiviti pembelian dan penggunaan semakin rancak. Di dalam negara pula, lebuh raya menjadi sesak hampir setiap hujung minggu. Statistik jualan kereta juga semakin meningkat.

"Sama seperti analogi di atas, apabila keadaan pesakit semakin sembuh, dos ubat juga perlu dikurangkan secara beransur-ansur. Jika tidak, kesihatan pesakit boleh terjejas.

"Dengan cara yang sama, jika BNM tidak meningkatkan OPR secara terkawal dan beransur-ansur, OPR yang terlalu rendah boleh mengakibatkan perbelanjaan dan peminjaman yang berlebihan dalam ekonomi, lantas menyebabkan kenaikan harga. Jika hal ini berlaku, rakyat yang akan terjejas terutamanya golongan yang berpendapatan rendah," jelasnya.

Ujarnya, pada paras terkini, OPR kekal akomodatif dan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memastikan kestabilan harga.

"Saya ingin menekankan bahawa peranan BNM dalam merumuskan dasar monetari dan OPR adalah selaras dengan amalan global di mana bank pusat merupakan institusi yang diberi tanggungjawab untuk menilai dan merumuskan keputusan dasar monetari secara bebas.

"Secara kebiasaannya, bank pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pakar ekonomi dan kewangan dari pihak bank pusat dan pihak bebas untuk menentukan hala tuju dasar monetari berdasarkan penilaian terhadap perkembangan terkini dan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

"Matlamat utama dasar monetari di Malaysia bukan sahaja untuk tempoh jangka masa terdekat tetapi perlu memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan pada masa depan. Bank pusat termasuklah BNM tertakluk kepada tanggungjawab yang diberikan dan tidaklah sewenang-wenangnya mahupun mengambil mudah dalam keputusan menetapkan kadar faedah," tambah beliau.

Nor Shamsiah memaklumkan, perancangan dasar jangka panjang penting dilaksanakan untuk mengekalkan harga yang stabil dan pertumbuhan yang mampan.

Katanya, ini termasuk tindakan yang kurang diterima orang ramai seperti kenaikan kadar faedah.

"Keputusan seperti ini mungkin menyukarkan dalam jangka masa yang pendek tetapi ia akan membantu mengelakkan masalah yang lebih besar untuk ekonomi dalam jangka panjang seperti inflasi yang tidak terkawal atau krisis kewangan," jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca