PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan memastikan pemerkasaan golongan belia bergerak seiring dengan perkembangan sukan negara kerana kedua-duanya berkait rapat dalam agenda perpaduan serta pembangunan negara pada masa hadapan.
Ini kerana kata Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini seringkali memberi fokus terhadap perkembangan sukan negara sedangkan terdapat pelbagai masalah yang berlaku membabitkan belia di negara ini.
"Pada kebiasaannya, KBS diperuntukkan kepada pembangunan sukan. Pembangunan belia pula jarang diketengahkan yang mana ia lebih fokus kepada program kepimpinan walhal terdapat banyak masalah sosial yang dihadapi oleh golongan ini untuk diatasi oleh kementerian.
"Oleh itu, selain fokus kepada pencapaian sukan negara, KBS dalam masa yang sama akan memastikan pembangunan belia serta sukan bergerak seiring agar tiada golongan belia yang tercicir,” katanya kepada Sinar Premium dalam wawancara eksklusif di pejabatnya di sini, pada Khamis.
Hannah menambah, setelah sebulan memegang portfolio sebagai menteri berkenaan dan mendengar keluhan daripada para atlet melalui dialog awam (town hall) yang dijalankan pada 18 Disember lalu, sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) 100 harinya di KBS adalah memberi keutamaan kepada isu keselamatan persekitaran yang sihat untuk para atlet serta memberi akses mudah kepada infrastruktur sukan.
"Dalam tempoh satu bulan ini, KBS sedang berusaha untuk memperbaiki kebajikan dan perlindungan terhadap semua pemain industri sukan negara. Kedua, saya mendapati ramai yang tidak tahu bagaimana mahu mencari fasiliti sukan yang tersedia.
"Negara kita sebenarnya menyediakan banyak tempat rekreasi cuma tidak ada satu platform di mana semua informasi itu dikumpul untuk menyenangkan orang ramai mendapat akses kepada maklumat tersebut.
"Jadi, saya mahu mengumpul data ini untuk membolehkan rakyat mengakses dengan mudah kepada infrastruktur sukan yang ada di tempat mereka,” katanya.
Ketika ditanya cabaran yang dilaluinya sebaik menjawat jawatan menteri untuk kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hannah berkata, cabaran yang dilaluinya cukup berbeza berbanding ketika dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 lalu.
Katanya, cabaran utama yang terpaksa didepani nya adalah kekurangan dana dan peruntukan untuk kebajikan atlet serta prospek perkembangan sukan.
"Cabaran dan keluhan daripada pemain industri yang sering saya dapati adalah ketidakcukupan dana dan peruntukan. Sekiranya peruntukkan dipotong dalam kabinet, masyarakat akan memandang sukan tidak lebih daripada satu bentuk rekreasi dan tidak penting.
"Namun, pelaburan dalam sukan memerlukan masa untuk menampakkan hasil. Contohnya, latihan yang diberikan kepada atlet memerlukan masa untuk mereka mencapai prestasi yang diingini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, KBS dalam perancangan untuk mewujudkan lebih banyak tokoh sukan yang cemerlang supaya boleh dijadikan contoh dan menarik minat kanak-kanak untuk menceburi sebarang aktiviti sukan.
"Dahulu, kita meluangkan banyak masa dengan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal. Namun kini, kanak-kanak lebih memilih gajet daripada bersukan. Jadi, apabila kita tiada penonton, sukan itu tidak akan menjadi popular sekali gus tidak boleh mendapat dana yang cukup.
"Justeru itu, KBS sedang mencari saluran untuk memperbanyak penonton dan mewujudkan tokoh-tokoh sukan yang cemerlang supaya boleh menjadi contoh dan menarik minat kanak-kanak untuk mencuba sesuatu sukan itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca