PADA 29 Disember lalu, sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, saya telah mengumumkan penubuhan ‘portfolio tumpuan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Pahang.
Ia sebagai membayangi portfolio-portfolio yang dipegang Menteri Besar dan Exco-exco kerajaan negeri Pahang.
Kerajaan Pahang mempunyai 18 portfolio. Setiap Exco memegang satu portfolio, manakala Menteri Besar memegang sejumlah portfolio.
Bagi PN, setiap seorang daripada 17 ADUN memainkan peranan. Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Cheka) memegang dua portfolio iaitu Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Sumber Asli, Tenaga dan Air.
Setiap ADUN yang lain memegang satu portfolio. Contohnya, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur) - Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga; Timbalannya, Andansura Rabu (Beserah) - Pelaburan dan Perindustrian; Ketua Whip dan Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Mohd Yazid Yunus (Lepar) - Belia, Sukan dan Kebudayaan, manakala Ketua Bersatu Maran, Datuk Jasri Jamaludin (Kuala Sentul) - Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Matlamat portfolio tumpuan ialah supaya PN Pahang benar-benar memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.
Objektifnya adalah untuk memantau ucapan-ucapan, tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Exco berkaitan serta memberikan respons terhadapnya.
Respons tersebut boleh dalam pelbagai bentuk, contohnya ucapan di Dewan Undangan Negeri (DUN), soalan kepada Exco, ucapan pada program-program tertentu, kenyataan dan sidang akhbar, surat, memorandum dan sebagainya.
Ini kali pertama Pahang mempunyai portfolio tumpuan di pihak pembangkang. Ia fasa pertama peranan PN sebagai pembangkang di Pahang.
Fasa seterusnya ialah menjadikannya ‘Exco bayangan’ yang sebenar iaitu setiap Exco dibayangi seorang ADUN. Ia seperti ‘kabinet bayangan’ yang telah menjadi kelaziman di sesetengah sistem demokrasi, contohnya United Kingdom, Australia dan Kanada.
Kita belum mempunyai tradisi kabinet bayangan. Penubuhan kabinet bayangan pernah diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018 dan Pakatan Harapan (PH) pada 2021.
Namun, kedua-duanya tidak berjalan seperti dirancang. Kini, PN sedang membincangkannya dan akan mengumumkannya tidak lama lagi.
Apa pun istilah yang bakal digunakan, pokok pangkalnya sama seperti PN Pahang, matlamatnya adalah untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di Dewan Rakyat.
Kalau kerajaan perlu memastikan tertubuhnya kabinet yang berperanan dengan berkesan, maka begitu jugalah pembangkang. Ia perlu menubuhkan kabinet bayangan atau sebagai fasa pertamanya, sesuatu yang tersusun rapi yang boleh dinamakan dengan istilah lain.
Contohnya, ‘jawatankuasa tumpuan’ atau ‘kluster tumpuan’ dan sebagainya. Yang penting ialah ia berkesan iaitu sebagai ‘kerajaan alternatif’ dan ‘kerajaan menanti’.
Kewujudan pembangkang yang konstruktif melalui penubuhan sesuatu yang sedemikian tersusun rapi amatlah penting bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan sebaik-baiknya.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang
Klik di sini untuk terus membaca