MINGGU ini, ada senario menarik tentang Facebook dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Pemilik utama Facebook, Meta Incorporation dikhabarkan bercadang untuk membenarkan tokoh konglomerat AS itu kembali aktif menggunakan aplikasi media sosial antara yang berkesan, popular dan mampu menggemparkan kancah politik global.
Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg khabarnya sedang menimbangkan segala faktor dan kemungkinan sebelum mencabut semula pengharaman menggunakan Facebook ke atas Trump.
Bekas Presiden ke-45 dalam sejarah AS itu diharamkan menggunakan Facebook bermula 7 Januari 2021.
Pengharaman itu akan berakhir esok dan dunia menunggu keputusan Clegg sama ada bersedia membenarkan Trump kembali menggempar dunia dengan celotehnya dalam Facebook.
Pemantauan penulis mendapati hampir semua media utama di dunia termasuk di London, New Delhi, Tokyo dan New York menyorot perkembangan Trump serta Facebook.
Trump digantung daripada menggunakan Facebook selepas dituduh berperanan menghasut sehingga tercetusnya rusuhan ganas di Capitol.
Dalam ucapan selama 70 minit di National Mall berdekatan Rumah Putih di Washington DC, Trump membakar api kemarahan penyokong dan mendesak mereka berarak ke Kongres ketika ahli politik sedang bertemu bagi mengesahkan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden.
Sejurus selepas Trump menerima tepukan gemuruh, serangan pun meletus.
Yang menarik perhatian penulis adalah keyakinan padu Meta untuk menilai semula kewarasan Trump sekiranya beliau dibenarkan kembali menggunakan Facebook.
Penulis melihat ada kewajarannya kerana Facebook ialah aplikasi media sosial terbesar di dunia dengan 2.85 bilion pengguna.
India memiliki bilangan pengguna Facebook terbesar di dunia dengan jumlah lebih 260 juta, diikuti AS (180 juta), Indonesia (130 juta), Brazil (120 juta), dan Mexico (84 juta).
Ketika ini Facebook jauh meninggalkan pesaing terdekatnya seperti YouTube (2.3 bilion), manakala WhatsApp, Facebook Messenger, WeChat, Instagram dan TikTok, semuanya mengumpul lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia.
Daripada jumlah itu, bilangan pengguna aktif harian Facebook (DAU) berjumlah 1.908 bilion orang dan 65.9 peratus jumlah pengguna bulanan, log masuk pada peranti mudah alih atau desktop pada setiap hari.
Penulis percaya Meta sedang berdepan situasi getir kerana keputusan salah berkemungkinan bakal memberi kesan kepada Facebook, apatah lagi pada saat Trump telah pun membayangkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Ketika ini, Facebook dikatakan mencecah nilai menghampiri US$1 bilion juta (RM4.4 bilion).
Tatkala Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg membayangkan industri teknologi sedang berada dalam situasi kemerosotan serius, keputusan membenarkan Trump kembali menggunakan Facebook pasti memberi kesan kepada prestasi saham mereka.
Meta dilaporkan sedang bergelut dengan prospek pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Facebook juga sedang bergelut menangkis serangan TikTok, syarikat milik China yang sangat dominan kepada pengguna muda hingga menjejaskan populariti Facebook, Instagram dan Twitter di pasaran sosial media dunia.
Penulis juga mendapati ada negara tertentu termasuk Rusia telah memasukkan Meta dalam senarai kumpulan pengganas dan pelampau sebagaimana dilaporkan Jabatan Perkhidmatan Persekutuan untuk Pemantauan Kewangan (Rosfinmonitoring) beribu pejabat di Moscow pada Oktober 2022.
Sejak itu, Mac tahun lalu, Rusia juga telah mengharamkan Facebook dan Instagram kerana ‘menjalankan aktiviti ekstremis’ selepas pihak berkuasa tempatan menuduh Meta berkompromi dengan ‘Russophobia’ ketika usaha penaklukan ke atas Ukraine.
Paling menarik bermula Ogos 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dalam pemantauan selepas Meta mengeluarkan lebih 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia atas alasan merosak serta memanipulasi kepentingan awam menerusi akaun palsu.
Sebenarnya, senario itu telah dikias ALLAH SWT dalam surah Muhammad ayat [47:22-23] bermaksud:
"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan ke-keluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati ALLAH dan dipekakkanNya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.”
Justeru, penulis percaya pihak berkuasa di Malaysia harus menyorot perkembangan Facebook dan Trump kerana situasi politik di Malaysia juga perlu dipantau.
Penulis percaya ramai pengguna Facebook berani mengambil risiko menghasut atau memanipulasi situasi tertentu menerusi posting dalam aplikasi sosial media terbesar di dunia itu.
Kesimpulannya, dunia perlu pemilik aplikasi sosial media yang lebih bertanggungjawab seperti Meta.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca