PERUBAHAN iklim sudah pun memberi kesan yang ketara kepada manusia dan alam, dan kesan ini hanya akan bertambah buruk jika kita tidak mengurangkan emisi dan meningkatkan penyesuaian dengan cepat. Malaysia telah melihat kesan buruk perubahan... Klik di sini untuk terus membaca

PERUBAHAN iklim sudah pun memberi kesan yang ketara kepada manusia dan alam, dan kesan ini hanya akan bertambah buruk jika kita tidak mengurangkan emisi dan meningkatkan penyesuaian dengan cepat.

Malaysia telah melihat kesan buruk perubahan iklim melalui banjir melampau di banyak negeri. Ia menyebabkan kerugian RM6 bilion dari Disember 2021 hingga Januari 2022 sahaja.

Amerika Syarikat (AS) juga mengalami kesan yang serius. Melainkan semua negara mengambil tindakan drastik dan segera untuk mengekang peningkatan suhu global, unjuran kenaikan paras laut di Asia Tenggara bermakna Malaysia akan kehilangan hasil perikanan, rumah dan ladang, pekerjaan pelancongan dan sumber pendapatan serta kehilangan perniagaan daripada pelabuhan yang rosak.

Tindakan berani untuk menangani krisis iklim adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini, dan semua orang mesti melakukan peranan mereka.

Bagi saya, sebagai Duta Besar AS di Malaysia, tindakan iklim adalah satu keutamaan, dan saya dan pasukan saya di Kedutaan sentiasa berusaha untuk memupuk hubungan yang lebih mendalam antara pakar AS dan pegawai Malaysia, ahli perniagaan dan mereka yang lain yang ingin membuat perubahan untuk planet kita.

Terdapat inisiatif penting yang datang dari Amerika Syarikat untuk memerangi perubahan iklim, dan Amerika Syarikat bersama Malaysia bekerjasama dalam tindakan iklim, termasuk dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

Dalam beberapa program libat urus untuk berucap, saya telah menggalakkan pelajar dan orang lain untuk memikirkan cara setiap seorang daripada mereka boleh menjadi aktif dalam komuniti masing-masing dan bersama kerajaan yang baharu dipilih untuk menangani krisis iklim.

Kita perlu menggabungkan tindakan peribadi yang berkesan dengan inisiatif dasar dan insentif yang bercita-cita tinggi. AS telah meningkatkan pelaburan dengan ketara dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui sepanjang dekad yang lalu, disokong oleh insentif yang teguh untuk tenaga angin dan solar.

Contohnya di California, tenaga boleh diperbaharui membekalkan hampir separuh daripada jumlah tenaga elektrik pada tahun 2021.

Salah satu alatan paling berkesan yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menangani krisis iklim ialah Akta Pengurangan Inflasi, yang menyediakan AS$370 bilion untuk memperhebat lagi pelaburan dalam tenaga solar dan angin, penyimpanan bateri dan banyak lagi teknologi lain, dengan memacu inovasi melalui perkongsian awam-swasta.

Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Joe Biden pada bulan November, perkara ini akan "membantu untuk beralih kepada masa depan rendah karbon yang lebih mampu milik untuk semua orang."

Momentum

Malaysia dan AS boleh memanfaatkan momentum ini untuk bekerjasama menangani perubahan iklim.

Mengurangkan emisi metana dengan cepat adalah penting untuk mengelakkan pemanasan jangka pendek kerana metana adalah antara gas rumah hijau yang paling dahsyat .

Pada Mesyuarat Metana Menteri-Menteri anjuran Amerika Syarikat, Duta Khas Presiden AS untuk Iklim, John Kerry menyatakan bahawa 95 peratus daripada Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) global kini termasuk metana dan 50 negara telah membangunkan pelan tindakan nasional untuk mengawal emisi metana.

Saya gembira mendapat tahu bahawa Petronas baru-baru ini telah pun mengambil langkah penting untuk mengurangkan emisi metana di Malaysia dan dalam operasinya di seluruh dunia.

Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam inisiatif pengurangan metana yang selanjutnya.

Apabila Setiausaha Negara AS, Antony Blinken melawat Malaysia tahun lepas, beliau duduk bersama pemimpin daripada sektor tenaga Malaysia untuk membincangkan tenaga boleh diperbaharui.

Persoalan utama yang dibangkitkan pada sesi itu berkisar tentang sumber dan keperluan tenaga Malaysia: bagaimanakah Malaysia akan mengurangkan pergantungan kepada arang batu untuk tenaga elektrik dan meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui, terutamanya solar – termasuk dengan membangunkan grid elektrik dan kerangka kawal selia?

AS komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia baharu bagi menangani persoalan ini, melalui kerjasama antara pihak-pihak pengawalseliaan dan melalui kerjasama dengan sektor swasta.

Malaysia, dengan hutan hujan bertaraf dunia dan kepelbagaian biologi, juga boleh menyumbang kepada tindakan global terhadap krisis iklim dengan meneruskan usaha untuk mengurangkan penebangan hutan.

Melalui pemeteraian Deklarasi Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah, kami melihat komitmen Malaysia untuk memulihara sumber aslinya yang banyak.

Malaysia dan Amerika Syarikat perlu meneroka cara untuk memulihara, memulihkan dan mengurus secara lestari kawasan hutan hujan, bakau, tanah gambut dan khazanah semula jadi Malaysia yang lain.

Saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan kisah penyesuaian dan daya tahan Malaysia yang saya rasa sangat memberi inspirasi.

Pada tahun 2007, kerajaan Malaysia menyiapkan pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART), dengan melabur RM1.8 bilion sebagai penyesuaian terhadap perubahan iklim.

Pelaburan ini menjadi kontroversi pada masa itu, tetapi telah membuahkan hasil apabila terowong itu kini mengendalikan 30,000 kereta setiap hari dan telah digunakan lebih daripada 44 kali untuk mengalihkan air banjir.

Memerangi perubahan iklim kadangkala memerlukan kita membuat pilihan yang sukar dan pelaburan yang besar.

Melalui terowong SMART dan inovasi lain, Malaysia telah menunjukkan bahawa ia boleh mempunyai impian yang tinggi dan bertindak untuk memenuhi impian tersebut.

Saya percaya kita semua boleh mempunyai impian yang tinggi, bahawa imaginasi kita yang paling berani dan berkeyakinan boleh membawa kita jauh ke arah masa depan yang bernilai untuk diwarisi kepada anak-anak kita.

* Brian D. McFeeters ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca