GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran satu lagi varian baharu Covid-19 yang paling mudah berjangkit telah dikenal pasti.
Subvarian Omicron tersebut dilaporkan telah merebak ke 29 negara dan mencetuskan lonjakan kes di Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Ketua Teknikal Covid-19 di WHO, Dr Maria Van Kerkhove pada Rabu mengesahkan varian XBB.1.5 tersebut adalah paling pantas menular kerana subvarian Omicron tersebut membolehkan virus melekat pada sel, sekali gus mereplikasi dengan mudah.
"Kami bimbang dengan potensi penyebarannya terutama di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara. Bahagian timur laut Washington kini menyaksikan XBB.1.5 telah menggantikan varian lain dengan cepat.
"Ia mempunyai 'kelebihan untuk berkembang' berbanding subvarian lain," ujarnya.
Menurutnya, tiada bukti membuktikan varian tersebut mengakibatkan penyakit lebih teruk.
"Tetapi, kita perlu sentiasa berwaspada kerana lebih banyak strain baharu muncul, semakin besar kemungkinan ia akan berubah," jelasnya.
Pada Jumaat lalu, data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan lebih 40 peratus kes Covid-19 di AS kini disebabkan oleh XBB.1.5.
Ketika ini, apa yang membimbangkan WHO adalah prospek XBB.1.5 menjadi 'pintu masuk' kepada varian yang lebih menakutkan.
Hal ini kerana, lebih banyak jangkitan berlaku, lebih banyak peluang virus akan bermutasi dan berkembang.
Sejak beberapa minggu lalu, kes jangkitan Covid-19 telah kembali meningkat kepada kira-kira 400,000 kes berbanding 300,000 kes, sebulan yang lalu.
Ia dikatakan berpunca daripada musim perayaan dan kemunculan varian baharu lebih mudah berjangkit.
Tetapi, kadar jangkitan didakwa adalah jauh lebih rendah berbanding pada tahun lalu ketika gelombang pertama Omicron merekodkan empat juta kes mingguan.
Ketika ini, varian XBB juga mencetuskan peningkatan kes di beberapa bahagian di Asia termasuk Singapura.
Amaran tentang XBB.1.5 itu dikeluarkan ketika China didakwa tidak memberikan gambaran tepat tentang situasi Covid-19 di negara tersebut yang berdepan gelombang jangkitan luar biasa berpunca daripada subvarian BF.7.
Elak imuniti
Profesor Wendy Barclay dari Imperial College London memaklumkan XBB.1.5 mempunyai mutasi dikenali sebagai F486P yang berupaya mengikat sel untuk mengelakkan imuniti.
"Hal itu menjadikan ia lebih mudah merebak. Perubahan evolusi ini seperti 'batu loncatan' memandangkan virus itu berkembang dan pantas mencari cara baharu untuk memintas mekanisme pertahanan diri tubuh individu.
"Saya menjangkakan jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat jika XBB.1.5 terus menular di Britain," katanya.
Tambahnya lagi, beliau bimbang dengan impak subvarian baharu itu terhadap golongan berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan kurang mendapat manfaat daripada suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, Profesor Paul Hunter dari University of East Anglia memberitahu, tiada bukti menunjukkan XBB.1.5 adalah 'lebih ganas' yang akan meragut lebih banyak nyawa berbanding varian Omicron sedia ada.
"Adalah ironik ketika semua pihak memberi tumpuan kepada varian BF.7 yang muncul di China, namun XBB.1.5 pula sedang mencetuskan lonjakan kes di AS," ujarnya.
Profesor David Heymann dari London School of Hygiene and Tropical Medicine bagaimanapun berpendapat masih banyak yang perlu dikaji tentang varian baharu tersebut.
"Ia mungkin tidak mendatangkan masalah kepada negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi seperti Britain. Kita perlu bimbang dengan negara seperti China memandangkan ia mencatatkan kadar imuniti yang rendah berikutan pelaksanaan lockdown dalam tempoh yang lama.
"Beijing perlu berkongsi maklumat klinikal tentang individu yang dijangkiti untuk melihat bagaimana tingkah laku varian itu terhadap populasi tidak imun," jelasnya. - Agensi
Info
>XBB.1.5 yang berkembang daripada XBB dikatakan sama seperti strain asal Omicron. XBB.1.5 mempunyai mutasi dikenali sebagai F486P yang berupaya mengikat sel untuk mengelakkan imuniti.
>Subvarian itu mewakili kira-kira 70 peratus daripada kes jangkitan baharu di timur laut Washington dan empat daripada 10 kes di seluruh negara.
>Sejak beberapa minggu lalu, jumlah kemasukan pesakit ke hospital di seluruh AS dilaporkan telah meningkat.
>Pada awal Disember lalu, XBB.1.5 hanya menyumbang empat peratus daripada kes direkodkan di AS.
>Ia memperoleh 14 mutasi baharu pada protein lonjakan berbanding strain asal yang telah meningkatkan rintangan antibodi. Ini bermakna individu yang sudah divaksin atau pernah dijangkiti adalah lebih mudah terdedah kepada jangkitan walaupun tidak semestinya mengalami penyakit yang teruk.
>Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) dijangka mengeluarkan laporan tentang XBB.1.5 yang sedang menular di negara itu pada minggu depan.
Klik di sini untuk terus membaca