TIADA hujan, tiada ribut, politik negeri Sabah secara tiba-tiba bergelora lagi. Ia berikutan wujud spekulasi yang mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor nyaris ditumbangkan pada Khamis.... Klik di sini untuk terus membaca

TIADA hujan, tiada ribut, politik negeri Sabah secara tiba-tiba bergelora lagi.

Ia berikutan wujud spekulasi yang mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor nyaris ditumbangkan pada Khamis.

Polemik Sabah kian 'panas' selepas Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memanggil satu sidang media khas pada Khamis, dipercayai bertujuan mengumumkan beliau memiliki sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri mencukupi bagi menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Bagaimanapun, sidang media dijadualkan pada 4.30 petang itu, dibatalkan kira-kira dua jam kemudian.

Hal itu berikutan terdapat kenyataan bersama tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) yang menegaskan mereka tidak pernah membuat surat akuan berkanun (SD) bagi menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak selepas tahun 2020.

Ada dakwaan konon gerakan coup d'etat bagi menjatuhkan kerajaan GRS itu sudah dimulakan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020, dengan sebahagian daripada 21 ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikaitkan terlibat gerakan 'Langkah Sutera' tersebut.

Paling mengejutkan, nama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disebut-sebut antara tonggak penggerak bersama Mohd Shafie, walaupun dinafikan oleh kedua-dua pihak.

Sehingga kini, DUN Sabah memiliki 79 ADUN dengan enam daripadanya ialah ADUN lantikan.

Kerajaan negeri kini memiliki sokongan 60 ADUN, merangkumi 29 orang daripada GRS, BN (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu), PN (satu) dan Bebas (satu). Warisan pula diwakili 19 ADUN.

Hakikatnya, gerakan politik mengejut bagi menjatuhkan kerajaan GRS difahamkan tidak menjadi kenyataan atas kesilapan 'aktor-aktornya' yang gagal mengumpul SD sekurang-kurangnya sokongan 46 ADUN sebelum sidang media.

Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah bertemu dengan Hajiji pada Khamis.

Pensyarah Kanan Pusat Penataan Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg berkata, angka sokongan diperoleh Mohd Shafie setakat Khamis hanyalah 36 ADUN, kurang 10 ADUN daripada jumlah majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurut beliau, yang menjadi kejanggalan apabila gerakan menjatuhkan Hajiji itu dipercayai dipimpin salah sebuah parti yang turut menandatangan perjanjian persefahaman (MoU) mengukuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia bersama GRS iaitu Warisan dan UMNO.

"Kelewatan Hajiji keluar Bersatu dan kekal menjadi Ketua Menteri atas kapasiti GRS, menyebabkan ada parti bersama menyokong Kerajaan Perpaduan tidak berpuas hati. Mereka melihat Hajiji tidak lagi memiliki merit untuk mengekalkan jawatan tertinggi negeri.

"Dengan Langkah Sutera terbantut, Hajiji perlu merombak segera kabinet kerajaan negeri dengan memberi peranan tambahan terhadap parti kecil yang menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi tidak mendapat sebarang jawatan kerajaan Sabah.

"Hajiji kena memastikan kerajaan negeri mengambil kira semua peranan parti menyokong kerajaan Pusat dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika tidak mahu gerakan sulit menjatuhkan beliau diteruskan," kata Romzi kepada Sinar Premium pada Jumaat.

IMPAK KERAJAAN PERPADUAN

Dalam konteks lebih besar, polemik pergolakan politik di Negeri Bawah Bayu itu memberi implikasi langsung terhadap imej dan kestabilan kerajaan pimpinan Anwar.

Hal ini berasaskan jaminan Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani semua parti menyokong Anwar sebelum ini, akan memastikan tiada lagi episod ketidakstabilan politik sebelum pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang.

Secara jelas, Anwar akan dilihat lemah dan hilang cengkaman dalam mempertahankan kestabilan kerajaan gabungan dipimpinnya, sekiranya Ahli Parlimen Tambun itu tidak tegas mempertahankan kedudukan kerajaan negeri Sabah.

Anwar

"Kegagalan mengekang gerakan rampasan kuasa di Sabah akan menjadi isyarat beliau gagal menjamin kestabilan politik negara.

"Pengerusi PH itu juga berisiko hilang keyakinan ahli Parlimen menyokongnya sebelum ini," tegas Romzi lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun menyuarakan kekesalan dengan sikap pemimpin politik tertentu yang tidak ikhlas berkawan dan sanggup tikam belakang semata-mata untuk meraih kuasa politik.

Ujarnya, dengan negara bakal menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi global tahun ini, sepatutnya kekuatan politik ditumpukan pada usaha memperkukuhkan ekonomi negara.

Masidi

"GRS sendiri sudah membuktikan rekod perkhidmatan cemerlang ketika kerajaan negeri stabil apabila Datuk Seri Hajiji mengumumkan kerajaan memperoleh hasil pendapatan tertinggi dalam sejarah Sabah iaitu RM6.6 bilion.

"Kita juga berjaya berunding dengan kerajaan Persekutuan dalam melunaskan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, selain menerima agihan hasil minyak dan gas yang lebih saksama disebabkan wujudnya kestabilan politik negeri.

"Justeru, saya melihat tindakan Warisan agak pelik kerana cuba tikam belakang pada saat mereka juga merupakan sebahagian parti menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia seperti kami," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menafikan parti itu berusaha menjatuhkan kerajaan negeri sedia dan terkejut apabila kerajaan negeri mengaitkan parti itu dengan 'Langkah Sutera'.

Darell Leiking

"Kami terkejut diuar-uarkan cuba menjatuhkan kerajaan negeri Sabah kerana kebanyakan ADUN Warisan sedang berusaha melaksanakan kerja tambahan demi mencukupkan pengagihan peruntukan kepada rakyat.

"Ini kerana kesemua ADUN pembangkang termasuk parti menyokong kerajaan pusat tidak diberikan sebarang peruntukan oleh kerajaan negeri," jelas ADUN Moyog itu.

Klik di sini untuk terus membaca