SHAH ALAM - Tiada liputan rangkaian, kelajuan internet perlahan dan panggilan telefon yang tiba-tiba terputus terus menjadi masalah pada awal tahun 2023 di sebalik kecanggihan telefon pintar serta perkembangan teknologi rangkaian generasi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada liputan rangkaian, kelajuan internet perlahan dan panggilan telefon yang tiba-tiba terputus terus menjadi masalah pada awal tahun 2023 di sebalik kecanggihan telefon pintar serta perkembangan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) di negara ini.

Tinjauan Sinar Harian di seluruh negara mendapati capaian internet yang lembap telah menyukarkan urusan seharian orang ramai di sesetengah kawasan untuk menghubungi sanak saudara, mengikuti pembelajaran dalam talian atau melakukan transaksi perniagaan dan perbankan.

Perkara yang paling menyakitkan hati adalah apabila capaian internet dan talian telefon bimbit sangat lemah sedangkan mereka tinggal di bandar.

Malah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil baru-baru ini mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera ke atas aduan orang ramai berhubung gangguan liputan komunikasi dan capaian internet.

Ia susulan rungutan orang ramai di media sosial mengenai masalah liputan dan capaian internet yang disediakan syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.

"SKMM perlu lihat masalah ini," ciapnya di Twitter, Khamis lalu sebagai respons kepada aduan seorang pengguna Twitter, TajuddinKamil yang mendakwa liputan perkhidmatan 4G di kawasannya hanya setakat satu bar.

SKMM pada Februari tahun lalu dilaporkan akan menambah baik rangkaian 4G supaya dapat menawarkan liputan lebih mantap kepada pelanggan selepas perkhidmatan rangkaian 3G ditamatkan secara berperingkat sejak akhir tahun 2021.

Menurut SKMM, bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 pihaknya menerima 200,675 aduan berhubung rangkaian dengan kualiti perkhidmatan 4G menjadi kebimbangan utama.

Berdasarkan pecahan mengikut lokasi, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi diikuti Petaling, Seremban, Kuala Lumpur dan Klang.

Rangkaian 5G pula dilancarkan pada November 2021 dan dijangka mencapai liputan 80 peratus menjelang 2024.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu merangka satu pembangunan telekomunikasi berasaskan keselamatan digital bagi meningkatkan kadar kelajuan internet.

Jelas beliau, kelajuan internet di Malaysia berbanding negara luar masih lagi dianggap rendah maka ia perlu diperbaiki bagi memudahkan operasi telekomunikasi digital dihubungkan.

Noor Nirwandy

"Secara keseluruhan isu kemampuan telekomunikasi digital dan internet boleh dianggap baik.

"Tetapi yang perlu diperbaiki adalah keterjangkauan liputan internet iaitu bagaimana untuk memastikan kelajuan internet dapat dipertingkatkan bagi mempermudah operasi telekomunikasi digital kerana kelajuan internet masih lagi sekitar 40Mbps (kelajuan muat turun) berbanding negara jiran, Singapura namun dari segi harga kita jauh lebih murah.

"Ini memberi hala tuju untuk kerajaan merangka satu pembangunan telekomunikasi digital dan internet yang harus berasaskan isu keselamatan digital dengan memberikan tumpuan bagi menaikkan kadar kelajuan internet," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, menurut Noor Nirwandy, bagi indeks kualiti digital, Malaysia masih dalam 40 kelompok terbaik di dunia dalam perkhidmatan digital termasuk penggunaan internet.

"Jadi, jika mahu membawa ke arah pencapaian kesetiaan digital yang lebih baik, semua pihak harus melihat kepada perkara-perkara yang boleh diperbaiki terutama berkaitan pencapaian, panggilan, muat naik dan penggunaan rangkaian," ujarnya.


Kelajuan internet negara ASEAN

Purata kelajuan internet mudah alih

1. Brunei 102.06Mbps

2. Singapura 72.18

3. Vietnam 39.59

4. Thailand 37.85

5. MALAYSIA 36.34

6. Laos 28.56

7. Myanmar 25.21

8. Filipina 24.04

9. Kemboja 19.12

10. Indonesia 17.27

Purata kelajuan internet jalur lebar

1. Singapura 214.23Mbps

2. Thailand 205.63

3. MALAYSIA 91.50

4. Filipina 81.42

5. Vietnam 80.27

6. Brunei 46.92

7. Laos 28.33

8. Indonesia 24.32

9. Kemboja 20.22

10. Myanmar 18.98

* Purata kelajuan muat turun megabait per saat (Mbps) pada November 2022.


Klik di sini untuk terus membaca