SHAH ALAM - Malaysia dianggarkan berdepan kerugian sebanyak RM656 juta sehari atau RM27 juta sejam jika mengalami gangguan internet sepenuhnya di seluruh negara. Ini merupakan hasil unjuran dilakukan NetBlocks, sebuah organisasi pemantau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia dianggarkan berdepan kerugian sebanyak RM656 juta sehari atau RM27 juta sejam jika mengalami gangguan internet sepenuhnya di seluruh negara.

Ini merupakan hasil unjuran dilakukan NetBlocks, sebuah organisasi pemantau gangguan internet global yang berpangkalan di United Kingdom.

Menurut NetBlocks, pihaknya menghasilkan data tersebut selepas mengambil kira petunjuk pembangunan daripada Bank Dunia; Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Eurostat dan Banci Amerika Syarikat.

"Metodologi tersebut menganggarkan, kesan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat penutupan atau gangguan internet di seluruh negara yang menjejaskan perkhidmatan talian tetap serta mudah alih,” kata NetBlocks dalam laman webnya.

Organisasi itu turut menganggarkan ekonomi Malaysia akan kerugian hampir RM1 juta sejam untuk setiap perkhidmatan media sosial yang terganggu iaitu Facebook, YouTube, Twitter ataupun WhatsApp.

Malaysia pernah mengalami beberapa kali gangguan WhatsApp, antaranya pada 25 Oktober lepas apabila perkhidmatan aplikasi itu menghadapi isu teknikal selepas pengguna dilapor berdepan masalah mengirim atau menerima mesej.

Pada 25 Januari lalu pula, tiga platform media sosial serta sistem komunikasi ringkas iaitu WhatsApp, Facebook dan Instagram dilapor menghadapi gangguan sementara.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendedahkan bahawa pihaknya menerima 1,094 aduan berkaitan masalah akses komunikasi dan rangkaian internet di negara ini termasuk kawasan bandar dan luar bandar pada 2020 serta 2021.

Pengurus Kanan Fomca dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Baskaran Sithamparam berkata, aduan tersebut banyak diterima semasa pandemik Covid-19 kerana orang ramai bekerja dari rumah (BDR), manakala murid dan pelajar mengikuti Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Mereka membuat aduan liputan internet tidak begitu baik dan mengalami masalah yang teruk ketika sedang menjalankan urusan masing-masing.

"Jadi, kita telah melakukan mediasi bersama syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Syarikat telekomunikasi juga menyatakan bahawa mereka akan merujuk kes berkenaan dan berjanji melakukan tindakan susulan," katanya kepada Sinar Harian.

Baskaran berkata, jumlah kes yang berjaya diselesaikan bagaimanapun tidak dapat dipastikan kerana terdapat syarikat telekomunikasi dan pengadu tidak berhubung semula dengan Fomca selepas mengadakan pertemuan.

"Sebab itu kami tidak dapat menyatakan jumlah sebenar kes yang berjaya diselesaikan.

"Mengenai kes tidak diselesaikan pula, kita merujuk pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan kerana ia melibatkan isu berpanjangan,” ujar beliau.

Kedai di Sabak Bernam, ambil pesanan di Port Dickson

Sementara itu, rata-rata peniaga dan penduduk di beberapa kampung di kawasan pedalaman di Sabak Bernam, Selangor mendakwa kecewa dengan masalah rangkaian telefon serta capaian internet yang lemah sehingga menyukarkan perhubungan komunikasi.

Roslina Mokhtar, 60, yang merupakan peniaga makanan berkata, masalah capaian liputan panggilan telefon dan internet membelenggu penduduk sejak sekian lama sehingga menyukarkan mereka berurusan yang kebanyakannya memerlukan kemudahan tersebut.

Sebagai peniaga, katanya, sudah tentu memberi kesan kepada perniagaan kerana banyak tempahan perlu dibuat secara dalam talian.

Roslina terpaksa menyalin dalam buku tempahan pelanggan berikutan kesukaran akses kepada internet.

"Saya sudah berniaga lebih setahun dan masalah ini masih berterusan seolah-oleh tiada jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Roslina yang mengusahakan hidangan makanan dalam talam secara tempahan di rumah tradisi milik bapanya di Kampung Sungai Air Tawar berkata, keadaan itu turut menyusahkan pelanggannya.

"Pelanggan yang makan di sini mengeluh kerana sukar mendapatkan liputan internet. Jika keadaan ini tidak diatasi segera, saya bimbang pelanggan akan lari," ujarnya.

Tambah Roslina, bagi menyelesaikan masalah itu, dia terpaksa meminta bantuan anak keduanya, Furzeeyana Osman, 34, yang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk mengambil tempahan makanan menerusi talian.

"Anak saya yang berada di negeri lain terpaksa mengambil tempahan pelanggan dan kemudian menghubungi saya untuk memaklumkan tempahan yang diterima.

"Disebabkan liputan teruk, biasanya saya akan menerima mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) daripada operator perkhidmatan telekomunikasi yang mengatakan ada cubaan panggilan masuk iaitu daripada telefon anak saya.

"Saya kemudian terpaksa keluar dari rumah dan pergi sejauh kira-kira 50 meter berhampiran jalan untuk menghubungi semula anak saya itu untuk menyalin semua tempahan dalam buku bagi mengelakkan pertindihan,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Aliya Insyirah, 18, yang merupakan seorang pelajar berkata, keluarganya terpaksa melanggan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (fiber) untuk mendapatkan akses internet.

Dia yang menetap di Sungai Air Tawar berkata, penggunaan internet meningkat semasa Covid-19 terutama apabila dia dan dua beradiknya terpaksa belajar secara dalam talian.

"Walaupun pembelajaran kembali bersemuka di sekolah dan tidak lagi mengikuti kelas dalam talian, tetapi penggunaan internet masih penting untuk saya mengetahui maklumat berkaitan pembelajaran.

"Lebih menyukarkan apabila saya terpaksa keluar dari rumah untuk menjawab panggilan, malah perbualan sering terganggu dan tersekat-sekat sehingga tidak jelas apa yang dibualkan,” katanya.

Bagi Mokhamad Najib Mat Misroh, 53, dari Sungai Apong di sini, liputan capaian internet di kawasan kampung itu tidak menentu terutama jika cuaca hujan.

"Saya pelik liputan kadang-kadang elok dan lancar, tetapi esoknya kami langsung tidak dapat capaian internet.

"Memang susah untuk menghantar WhatsApp kepada pemandu lori mengangkut buah kelapa sawit terutama jika saya berada di dalam kebun,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca