ORANG-orang tua di kampong selalu berpesan, "Tuhan akan senantiasa menguji kita”, dan begitulah situasi negara sekarang, terus diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Pilihan Raya Umum ke-15 berakhir dengan satu keputusan yang dramatik... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG-orang tua di kampong selalu berpesan, "Tuhan akan senantiasa menguji kita”, dan begitulah situasi negara sekarang, terus diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Pilihan Raya Umum ke-15 berakhir dengan satu keputusan yang dramatik tetapi prakmatik, sekali lagi keluhuran perlembagaan dan kebijaksanaan institusi Istana menjadi sandaran utama dalam menyelesaikan salah satu kemelut politik yang amat dasyat sejak negara merdeka.

Kerajaan Perpaduan kini membawa peranan besar dalam mengekalkan kestabilan politik di samping mengambil langkah-langkah perlu bagi memulihkan ekonomi yang sudah koyak rabak akibat pandemik Covid-19 dan pandemik politik perebutan kuasa.

Kini masanya untuk kembalikan negara ke hala tuju yang benar demi kesejahteraan rakyat jelata.

Sambil kerajaan baharu mengatur langkah untuk mengurus negara, Malaysia menutup tirai tahun 2022 dengan tragedi yang menyedihkan iaitu insiden tanah runtuh di Batang Kali.

Agensi penyelamat utama bergerak segera dan telah melakukan usaha terbaik dalam menyelamat dan mencari mangsa.

Namun, walaupun dengan segala kepakaran dan dedikasi yang dicurahkan oleh para anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dibantu kecekapan skuaq anjing K9, 31 daripada 92 mangsa tragedi telah terkorban dan rakyat sekali lagi dikejutkan dengan pengajaran kuasa sebenar alam sekitar dalam mencabut nyawa manusia sekiranya manusia masih rakus dan cuai dalam mengurus sumber bumi.

Tangisan rakyat ke atas mangsa insiden Batang Kali hanya sesia sekiranya tiada usaha susulan bagi memastikan tragedi yang serupa tidak belaku lagi.

Pujian dan penghormatan harus diberikan kepada kesemua anggota SAR daripada pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan yang telah bertungkus lumus dalam usaha menyelamat mangsa tanah runtuh sehingga sanggup melangkaui SOP operasi SAR dengan melanjutkan tempoh hari mencari dan menyelamat.

Ia satu tindakan yang amat berani kerana melanjutkan misi mencari mangsa dalam keadaan cuaca yang tidak menentu juga mengundang risko besar kepada nyawa anggota SAR.

Dengan berakhirnya operasi SAR di Batang Kali, kini negara berhadapan dengan satu lagi ujian besar yang bakal memberi kesan langsung ke atas kebajikan rakyat, iaitu kesiapsiagaan kerajaan dalam berhadapan dengan golombang kemerosotan ekonomi dunia.

Malaysia yang sudah bertahun dihimpit masalah kenaikan kos sara hidup, inflasi, kekurangan tenaga kerja di sektor-sektor utama serta masalah ketirisan dalam pengurusan kewangan negara, kini bakal diuji kemampuannya dalam menyerap impak daripada kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia.

Kebimbangan unjuran ekonomi dunia diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

Beliau berpandangan bahawa perang Rusia-Ukraine telah mencetuskan masalah inflasi di seluruh dunia.

Bagi mengurangkan impak negatif inflasi ke atas harga barang, bank-bank pusat utama terpaksa menaikkan kadar faedah.

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut turut mengakibatkan kenaikan kos meminjam, secara langsung menambah beban hutang di setiap sektor ekonomi.

Maka tidak hairanlah kenapa menjadi harapan ramai pihak di Malaysia, khususnya rakyat jelata, agar Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) melepasi paras 2.75 peratus pada waktu kini.

Malaysia dilihat tidak mempunyai banyak pilihan pada masa kini kerana negara masih dalam pusingan awal pemulihan daripada pandemik Covid-19 dan pandemik politik.

Kestabilan adalah prasyarat kepada pemulihan, ia satu harapan tapi bukan satu jaminan, atap masih boleh ditebuk.

Yang pasti, kita semua perlu tabah berhadapan dengan ujian mendatang.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro

Klik di sini untuk terus membaca