PADA prinsipnya, setiap sesuatu yang baharu akan melibatkan keterujaan perasaan serta semangat yang tinggi untuk mengekalkan perkara baharu tersebut.
Jika membeli kereta baharu, sebolehnya, plastik yang membalut kusyen kereta tidak mahu dibuang untuk beberapa bulan kerana hendak kekalkan aura kereta yang baharu.
Begitu jugalah dengan tahun baharu, seboleh mungkin keterujaan menyambut dan mengisi tahun baharu kekal sehingga hujung tahun. Namun begitu, bukan mudah untuk mengekalkan semangat tersebut.
Sebetulnya, setiap manusia yang normal akan merangka azam baharu apabila tiba tahun baharu.
Merujuk kepada kata-kata pujangga yang dipetik daripada tulisan mantan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi, Bayan Linnas siri ke-160; menjelaskan, "Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam. Ini kerana rosaknya pemikiran disebabkan kamu tidak tetap pendirian”.
Pada masa yang sama, azam bukan sahaja melibatkan keinginan dan cita-cita semata-mata, namun azam melibatkan usaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan membendung daripada terjebak dengan tingkah laku yang negatif secara berpanjangan.
Justeru, individu yang meletakkan keazaman sebagai sesuatu yang utama dalam merealisasikan kehidupan amatlah disanjung tinggi.
Secara ringkasnya, azam bermaksud kemahuan atau keinginan yang sangat kuat terhadap sesuatu perkara yang ingin dilakukan atau memenuhi cita-cita yang terbuku di hati selama ini.
Menurut perspektif psikologi, keazaman adalah emosi yang positif kerana begitu tabah menghadapi segala cabaran dan halangan bagi merealisasikan keazaman tersebut.
Selain itu melibatkan ketahanan mental yang kuat dan penuh komitmen dalam mengharungi segala jurang dan kepayahan.
Selain itu, antara watak-watak individu yang berjaya memenuhi keazaman mereka ialah; bersikap konsisten atau istiqamah, fokus, berkeyakinan tinggi, tidak takut untuk keluar daripada zon selesa, berpusatkan masa kini dan tidak risau dengan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan serta tidak terjejas dengan pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini, sentiasa bersedia dengan segala cabaran, bersungguh-sungguh dan sentiasa positif.
Namun begitu, bukan mudah untuk mengekalkan azam tersebut selagi tidak memahami tujuan hidup yang sebenar.
Berkaitan dengan tujuan hidup, Pak Hamka menjelaskan menerusi bukunya, Pribadi Hebat, "Jelaskanlah batas tujuan, jangan menerawang, dan tentukan garis jalan yang kita lalui untuk mencapai tujuan itu, Jika jelas ke mana tujuan jalannya, tentunya kita akan sampai. Pokok sampai pada tujuan bukan bergantung kepada orang lain, melainkan kepada diri kita sendiri.”
Tambah beliau lagi, "Berjalanlah terus. Lebih baik satu asalkan tetap, daripada banyak tetapi ragu. Setiap sampai di batas tujuan, kita berhenti sejenak dan menoleh ke belakang.
"Telah kita selesaikan dan bersyukurlah. Lihat pula segala hal yang akan kita tempuh di hadapan kita, dengan senang dan sulitnya, dan tetaplah yakin”.
Memandangkan besarnya cabaran untuk mengekalkan azam yang dibina, pada hemat saya, kita perlu merangka suatu mekanisme untuk mengekalkan azam berkenaan.
Perkara utama yang perlu dilakukan ialah, menjauhkan diri daripada individu yang menghasut dan memujuk kita agar tidak melaksanakan azam berkenaan kerana mereka sendiri tidak melaksanakan azam tersebut.
Sebagai contoh, jika kita berazam untuk berhenti merokok, tentunya kawan yang tiada keazaman untuk berhenti merokok akan mendorong kita agar jangan berhenti merokok.
Selain itu, kita perlu cabar pemikiran agar tidak mudah kalah dengan cabaran dan ujian yang menyebabkan emosi dan minda kita mudah ‘koyak’, mulakan azam dengan perkara kecil dahulu, paksa diri laksanakan azam secara rutin dan akhir sekali fokus kepada perubahan yang hendak dicapai.
Semoga usaha memperbaiki diri dirahmati dan diberkati.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca