TAHUN 2022 telah melabuhkan tirainya dengan meninggalkan pelbagai sejarah. Manakan tidak sepanjang 2022 pelbagai isu dan peristiwa telah dilalui.
Selepas negara berperang dalam menangani dan mengawal penularan Covid-19, tahun 2022 merupakan tahun di mana negara dalam proses pemulihan dan menjana kembali ekonomi negara dan rakyat.
Dalam kesibukan kerajaan untuk menyuntik kembali pertumbuhan ekonomi, pelbagai isu juga perlu ditangani dalam memastikan kesejahteraan ekonomi negara dan rakyat terus terpelihara.
Isu ketidakstabilan politik, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), peningkatan harga barang yang tidak terkawal dan isu rasuah mewarnai sepanjang tahun 2022. Ini adalah antara isu-isu yang amat berkait rapat dengan ekonomi.
Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk kesejahteraan ekonomi rakyat sudah semestinya isu-isu ini perlu diberi perhatian dan fokus dalam mendepani tahun 2023 yang sudah semestinya merupakan satu tahun yang sangat mencabar.
Ini kerana isu ketidakstabilan politik dan pertumbuhan ekonomi sangat berkait rapat yang mana kestabilan politik akan memberi keyakinan kepada mana-mana pelabur untuk melabur dalam negara dan akhirnya akan dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Ia penting dalam memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam negara dan akhirnya akan memberi banyak manfaat dalam menyuntik pertumbuhan ekonomi negara semula.
Selain daripada itu, isu kenaikan harga barang masih lagi berlaku seumpama tiada kesudahan.
Pelbagai pendekatan dan kaedah diambil oleh kerajaan bersama agensi-agensi terlibat tetapi akhirnya masih tidak dalam diselesaikan dengan sebaiknya.
Isu ini telah memberi satu beban kepada rakyat terutama mereka dalam golongan berpendapatan rendah dalam memastikan keperluan asas yang diperlukan dapat dipenuhi.
Di samping itu, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) yang telah dinaikkan sebanyak tiga kali sepanjang 2022 juga merupakan satu senario yang perlu dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang mempunyai pinjaman bersama pihak institusi kewangan.
Walaupun kerajaan telah memberi justifikasi kenaikan OPR adalah untuk mengawal kadar inflasi dan seterusnya dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tetapi rakyat berfikiran sebaliknya. Segenap lapisan masyarakat melihat dengan kenaikan OPR ini sudah semestinya akan menambah beban kewangan mereka sedia ada.
Dalam pada itu, isu rasuah juga amat memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Senario ini telah dibuktikan menerusi laporan Transparency International Malaysia yang melaporkan negara mengalami kerugian dengan anggaran sebanyak RM40 bilion hingga RM50 bilion akibat aktiviti rasuah.
Sekiranya nilai ini digunakan dengan sebaik mungkin sudah semestinya ia akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan juga kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Seandainya isu rasuah ini tidak diatasi dengan sebaik mungkin dikhuatiri impak yang besar akan berlaku terutama dalam usaha kerajaan dalam memastikan sumber yang ada dibahagikan sama rata dalam menjamin kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Justeru, dengan adanya pembentukan kerajaan baharu ini yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharapkan tahun 2023 dapat memberi sinar baharu dalam menyejahterakan ekonomi rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup.
Sumber sedia ada perlulah digunakan dengan sebaik mungkin bagi mengelak pembaziran di samping pengagihan sumber yang sama rata perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin.
Seandainya pengagihan sumber tidak seimbang sudah semestinya kesejahteraan rakyat tidak akan tercapai di mana yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Dalam pada itu, jurang pendapatan antara rakyat juga akan semakin melebar.
Oleh itu, bagi mendepani cabaran tahun 2023 sudah semestinya kerajaan perlu mendapat sokongan pelbagai pihak bagi memastikan segala perancangan yang telah dirancang dapat direalisasikan demi kesejahteraan semua pihak.
Segala isu seperti perbezaan ideologi politik haruslah diletakkan ditepi terlebih dahulu dan sama-sama berganding bahu dalam mendepani isu ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Sekiranya segala ideologi perbezaan politik dan tiada sifat kerakusan dalam mengaut keuntungan sudah semestinya kita akan dapat menghadapi tahun 2023 ini dengan cemerlang.
* Dr Mohd Rahim Khamis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Selangor
Klik di sini untuk terus membaca