SEPANYOL sememangnya cukup terkenal dengan penganjuran festival unik dan menarik seperti acara Larian Lembu atau Fiesta de San Fermin serta Pesta Perang Tomato atau La Tomatina. Di bahagian tengara negara itu, terdapat satu lagi festival... Klik di sini untuk terus membaca

SEPANYOL sememangnya cukup terkenal dengan penganjuran festival unik dan menarik seperti acara Larian Lembu atau Fiesta de San Fermin serta Pesta Perang Tomato atau La Tomatina.

Di bahagian tengara negara itu, terdapat satu lagi festival pelik yang diadakan sejak turun-temurun oleh penduduk tempatan di bandar Ibi di wilayah Alcante.

Upacara tahunan yang dikenali sebagai 'Els Enfarinats' atau diterjemah secara literal sebagai 'Mereka yang Ditabur Tepung' dan diraikan pada 28 Disember setiap tahun.

Festival Els Enfarinats diadakan di bandar Ibi di wilayah Alcante secara turun-temurun sejak 200 tahun lalu.

Namun, pelancong dari luar negara lebih mengenali festival itu sebagai perang baling tepung dan telur.

Difahamkan, festival ini merupakan sebahagian daripada perayaan 'Day of The Innocent', satu perayaan yang hampir menyamai perayaan 'April Fool's Day'.

Pun begitu, asal-usul sebenar upacara ini tidak diketahui. Tetapi ia dipercayai telah berkembang daripada perayaan 'Feast of Fool' atau 'Fiesta de Los Locos' yang merupakan sebahagian daripada festival kuno Roman, Saturnalia yang berusia lebih 200 tahun.

Saban tahun, upacara unik ini telah menarik perhatian ramai penduduk tempatan dan juga luar.

RAMPASAN KUASA OLOK-OLOK

Apa yang uniknya mengenai festival ini adalah peserta diwajibkan berpakaian ala tentera dan berperang dengan membaling tepung serta telur dalam dua kumpulan.

Peserta berkumpul di Placa de l’Esglesia pada jam 8 pagi (waktu tempatan) dengan satu kumpulan yang terdiri daripada lelaki yang sudah berkahwin dipanggil sebagai 'Els Enfarinats' akan cuba mencetuskan kekacauan.

Peserta diwajibkan berpakaian ala tentera jika mahu menyertai festival tersebut.

Mereka akan berpura-pura melakukan rampasan kuasa pada bandar dengan slogan 'keadilan baharu' dan mengambil alih jawatan rasmi seperti Datuk Bandar, kerani dan lain-lain.

Setelah mereka menguasai bandar, Els Enfarinats akan menetapkan beberapa undang-undang pelik dan tidak masuk akal kepada rakyat seperti tidak boleh minum, tidak boleh berjalan di bawah cahaya matahari, tidak boleh merokok, tidak boleh berjalan di kaki lima dan macam-macam lagi.

Telur busuk adalah senjata utama anggota kumpulan El Enfarintasketika berdepan La Oposicio.

Sesiapa yang melanggar undang-undang baharu itu akan dikenakan denda. Jika mereka membayar denda tersebut mereka akan dibiarkan tanpa gangguan manakala sesiapa yang menolak untuk membayar pula akan dipenjarakan.

Sementara itu, satu lagi kumpulan yang dikenali sebagai 'La Oposicio' akan cuba menenteramkan dan mengawal kembali keadaan.

Mereka akan cuba menentang rampasan kuasa itu dan akan berlakulah perang tepung dan telur antara dua kumpulan tersebut.

Festival El Enfarinats bermula seawal jam 8 pagi dan berlanjutan sehingga 5 petang.

Apabila perang berlaku, suasana bandar akan menjadi riuh dan huru-hara sepanjang hari. Tepung dan telur akan berterbangan dan menyelaputi jalan di bandar tersebut.

Festival ini berlanjutan sehingga 5 petang dan keadaan akan kembali normal.

Selain perang tepung dan telur, terdapat beberapa hiburan lain yang bersifat lebih tradisional seperti pertunjukan bunga api dan pemuzik jalanan berkeliaran memainkan lagu. - Agensi

Anggota kumpulan La Oposicio menangkap tali barut yang mendalangi rampasan kuasa.
Sama seperti pesta perang tomato, Festival Els Enfarinats dianggap pengkritik sebagai satu lagi pembaziran makanan.
Klik di sini untuk terus membaca