TAHUN 2023 dibuka dengan spekulasi bahawa terdapat rancangan baharu dilabel ‘Langkah London’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang baru dua bulan dibentuk. Walaupun masih diperingkat spekulasi, potensi untuk jatuh tetap ada.... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2023 dibuka dengan spekulasi bahawa terdapat rancangan baharu dilabel ‘Langkah London’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang baru dua bulan dibentuk. Walaupun masih diperingkat spekulasi, potensi untuk jatuh tetap ada.

Kedudukan kerajaan ketika ini masih belum kukuh sepertimana dijangkakan. Atas kertas majoriti 2/3 menerusi sokongan 148 ahli Parlimen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum selamat untuk berasa selesa.

Namun menunggu tanpa berbuat apa-apa juga tidak akan menyelamatkan kerajaan perpaduan pimpinannya.

Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang, perbincangan berkenaan penjajaran dan kerjasama politik antara parti perlu dipertimbangkan.

Cuma ada beberapa persoalan tetang kerjasama tersebut. Pertama, sejauhmana keperluan untuk UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkerjasama membuat percaturan dalam PRN akan datang.

Kedua siapakah yang akan beruntung daripada kerjasama tersebut? Apakah hanya satu pihak sahaja yang beruntung? Atau kedua-duanya? Lebih bahaya kalau semua pihak kerugian daripadanya?

Setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi yang menyebut tentangnya walaupun secara tidak rasmi ia sudahpun berlaku.

Setidak-tidaknya kerjasama secara pakatan pilihan raya perlu bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Prospek untuk Perikatan Nasional (PN) sapu habis negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu disamping merampas Negeri Sembilan serta mengurangkan kerusi PH di Selangor dan Pulau Pinang berkemungkinan tinggi.

Mengambil kira momentum ‘Gelombang Hijau’ ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), masih sukar untuk UMNO-BN dan PH menterbalikkannya dalam tempoh yang singkat.

Untuk rekod peratus sokongan berdasarkan kaum ketika PRU15 menyaksikan PN mendapat undi Melayu paling tinggi sebanyak 54 peratus diikuti BN (33 peratus) dan PH (11 peratus). Manakala PH memperoleh undi Cina paling tinggi sebanyak 94 peratus diikuti BN 5 peratus dan PN 1 peratus.

Kalau statistik ini, mengambil kira peratusan keluar mengundi bagi PRN rendah sepertimana yang berlaku sebelumnya, kemungkinan BN-PH sekurang-kurangnya untuk mengimbangi PN masih ada.

UMNO-BN masih mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan-kawasan Melayu yang sukar disaingi PN kalau pengundi luarnya tidak pulang mengundi.

PH tetap ampuh di kerusi-kerusi bukan Melayu dan sukar dicabar, memberikan kelebihan di negeri-negeri pengundi yang demografinya bercampur.

Maka jelas gabungan dua faktor ini menjadikan kerjasama antara BN-PH adalah cara terbaik untuk menghadapi PRN.

Soalnya bagaimanakah ia boleh dilakukan dan apakah naratif percaturannya?

Naratif kerjasama BN-PH jelas perlu dibentuk dalam kerangka strategik pilihan raya.

Pertama kerangka tersebut harus tidak menjejaskan status quo masing-masing memandangkan di peringkat ini keperluan utama adalah untuk memastikan tiada pertembungan sesama sendiri yang berpotensi menjejaskan peluang parti masing-masing berhadapan dengan PN.

Kedua memerlukan kesemua parti mengemukakan pendekatan yang lebih sederhana, pragmatik dan centris untuk mengimbangi pendekatan PN yang tradisionalist-populis.

Ini mungkin sukar dilakukan memandangkan bebanan terbesar buat BN-PH pertama untuk mencari titik kesederhanan untuk mengimbangi tuntutan akar umbi dalam masa yang sama mengikis konstruksi dan persepsi pengundi terhadapnya.

Ketiga kerjasama BN-PH juga perlu menterjemahkan agenda kestabilan politik dan kemakmuran bersama sebagai sebuah kerajaan campuran tanpa menjejaskan identiti dan ideologi masing-masing.

Agenda sedemikian mungkin lebih senang diterjemahkan melalui penghasilan segera oleh kerajaan.

Namun, ia masih belum kuat untuk menyaingi sentimen populis Melayu-Islam terutamanya dikalangan pengundi Melayu selagimana UMNO tidak berupaya mengemukakan sosok ‘Malay Statesmen’ yang meyakinkan.

Terakhir kerjasama itu juga perlu menunggu siapakah yang akan mengemudi UMNO.

Kalau PRN berlaku awal sebelum PAU dan pemilihan parti itu selesai, kerjasama BN-PN mungkin lebih rumit untuk dirungkaikan. Disamping jangka hayat kerajaan campuran juga tergantung kepada hasil PAU, kerjasama PRN BN-PH juga dilihat serupa.

Kalau Zahid kekal sebagai Presiden UMNO, mungkin kedua-dua perkara tersebut boleh berlaku. Namun kalau sebaliknya, ada kebarangkalian keduanya akan bertukar wajah dan haluan.

Pragmatisme kerjasama politik sememangnya bersifat dinamik. Kekuatan penyandang dan pembentukan gabungan yang tidak seimbang dalam pilihan raya boleh menambahkan atau mengurangkan peluang parti politik lain yang menyertai pertandingan.

Diakhirnya, pragmatik kerjasama dan gabungan parti politik dalam pilihan raya berbalik kepada objektif sebenar parti politik itu menyertai pilihan raya, iaitu mendapatkan kuasa.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca