SHAH ALAM - Isu capaian internet dan talian telefon terputus secara tiba-tiba menggusarkan seluruh rakyat Malaysia. Mana tidaknya, tahun sudah berganti dan 2023 pun memasuki minggu kedua, namun capaian internet di sebahagian kawasan masih... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu capaian internet dan talian telefon terputus secara tiba-tiba menggusarkan seluruh rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, tahun sudah berganti dan 2023 pun memasuki minggu kedua, namun capaian internet di sebahagian kawasan masih di takuk lama.

Sinar Harian meninjau dan mendengar keluhan rakyat yang mengakui sangat kecewa dengan senario tersebut.

Di LUMUT, hanya untuk memuat naik atau muat turun sekeping gambar boleh mengambil masa beberapa minit.

Itu adalah situasi yang perlu dihadapi penduduk Batu 3, Batu 4 dan taman perumahan berhampiran di Segari, Manjung apabila rangkaian telekomunikasi dan capaian internet kurang memuaskan.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan kehidupan mereka terjejas apabila sukar berkomunikasi dan mencari maklumat pembelajaran anak-anak.

Penduduk, Norazman Suddin, 53, berkata, rangkaian telefon dan internet lemah sangat menyusahkan penduduk di Kampung Batu 4 terutama apabila berlaku kecemasan.

Norazman

"Bayangkan untuk membantu anak belajar pun sukar apatah lagi jika berlaku kecemasan, saya terpaksa keluar dari kampung ini untuk mendapatkan capaian lebih baik, baru boleh hubungi ahli keluarga yang lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Adik beradik, Fatin Dalila Abd Razak, 14, dan Nurul Adila Abd Razak,13, mengakui terpaksa duduk di halaman rumah untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik.

"Cikgu akan hantar pesanan kerja sekolah dan sebagainya.

"Kami perlu guna aplikasi dan melayari video untuk memahami subjek yang tidak difahami. Jadi, kemudahan (internet) amat diperlukan,” ujar mereka.

Penduduk, Mohd Farid Mohamed Lazim, 30, berkata, dia tidak menyangka kawasan rumah baharu dibelinya itu mempunyai masalah capaian internet.

Mohd Farid

"Sewaktu membeli rumah ini, kami difahamkan isu internet akan segera selesai tetapi setahun dah berlalu, masih sama.

Tambahnya, penduduk sangat berharap kerajaan segera memasang menara telekomunikasi di kawasan itu.

Di TEMERLOH, masalah capaian internet dan telefon mudah alih yang lemah menyukarkan penduduk di Taman Jalan Sri Kemuning di sini sejak beberapa tahun lalu.

Guru, V Hemasree, 38, mengakui terpaksa bergantung kepada penyedia internet jalur lebar sedia ada untuk kegunaan harian.

V HEMASREE

"Masalah ini sudah berlaku sejak saya tinggal di sini lapan tahun lalu.

"Setakat ini, hanya satu penyedia telekomunikasi yang boleh digunakan, manakala yang lain memang bermasalah.

"Situasi itu memang menyusahkan apabila saudara-mara dan rakan datang dan talian telekomunikasi mereka gagal berfungsi,” katanya.

Di KLUANG, liputan internet yang lemah di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Simpang Renggam di sini, menyebabkan kira-kira 500 penduduk berdepan kesukaran berhubung dengan dunia luar.

Untuk rekod, kisah anak-anak Kampung Melayu Bukit Nyamuk belajar di bawah jambatan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk mendapatkan capaian internet dipaparkan sebelum ini.

Ketua Kampung, Mohd Nazri Maarof berkata, kisah tersebut berlaku sewaktu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tahun lepas, membuka mata banyak pihak termasuk syarikat telekomunikasi.

Mohd Nazri

"Kalau dulu tiada langsung line telefon dan internet tetapi selepas itu adalah sedikit line tetapi itu pun tidak penuh.

"Liputan telefon dan internet sangat lemah, sehingga ada penduduk terpaksa keluar tunggu di tepi jalan atau di bawah jambatan PLUS untuk mendapatkan talian,” katanya.

Jambatan PLUS di Kampung Melayu Bukit Nyamuk antara lokasi penduduk mendapatkan capaian internet dan telefon lebih baik.

Cabaran utama buat pengamal media

Di KOTA BHARU, capaian internet lemah di sesetengah kawasan menjadi cabaran yang terpaksa dilalui pengamal media dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.

Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Majidah Ismail berkata, situasi itu sering dihadapi mereka terutama di kawasan pinggir bandar sehingga terpaksa mencari lokasi yang mempunyai isyarat kuat untuk menghantar bahan berita.

"Bahan berita perlu segera dihantar terutama melibatkan laporan penting berkait dengan dasar kerajaan, bencana, kemalangan dan sebagainya,” katanya selepas diminta mengulas isu capaian internet lemah di beberapa kawasan di Kelantan.

Menurut beliau, Kemudi berharap kerajaan dan pengendali perkhidmatan mengambil serius perkara tersebut dengan meningkatkan lagi capaian.

Ujarnya, ia penting supaya tugas menyampaikan informasi jadi lancar.

Majidah memberitahu, rangkaian internet sangat penting kepada pengamal media yang perlu menyampaikan maklumat secara sahih dan telus.

Klik di sini untuk terus membaca