SHAH ALAM - Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai pilihan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dalam masa terdekat sebagai jalan terakhir untuk beliau menyelamatkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai pilihan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dalam masa terdekat sebagai jalan terakhir untuk beliau menyelamatkan maruahnya selaku Ketua Menteri dan kerajaan negeri pimpinannya sekarang.

Dr Mazlan Ali

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu menjadi salah satu topik utama dibincangkan dalam pertemuan antara Hajiji dan Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT), Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada petang Sabtu.

Mazlan berkata, biarpun difahamkan ketika ini Hajiji masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, namun tidak mustahil beliau akan memohon TYT membubarkan DUN jika wujud kebimbangan lebih ramai wakil rakyat akan beralih menyokong Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri baharu.

Beliau berkata, ini kerana semua ADUN Sabah tidak terikat dengan Akta Anti Lompat Parti kerana DUN belum membentang, membahaskan dan meluluskan undang-undang bagi menghalang wakil rakyat melompat parti sesuka hati mereka.

Bung Moktar (tengah) ketika umumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dalam satu sidang akhbar di bangunan UMNO Sabah pada malam Jumaat.

"Jadi saya yakin Hajiji akan memohon TYT supaya membubarkan DUN Sabah biarpun usianya tidak sampai tiga tahun selepas kali terakhir PRN diadakan ialah pada 26 September 2020.

"Malah, PRN Sabah 2020 diadakan tidak sampai tiga tahun selepas penduduk Sabah memberi kemenangan kepada Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

"Tiada undang-undang di Malaysia yang menghalang pilihan raya termasuk PRN Sabah diadakan dalam masa terdekat. Malah, jika kerajaan campuran sekarang mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekarang pun boleh cuma kosnya agak tinggi," katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, keputusan sama ada DUN dibubarkan atau tidak bergantung kepada kuasa budi bicara TYT Sabah untuk berbuat demikian.

Mazlan berkata, jika TYT Sabah tidak mahu membubarkan DUN, beliau boleh memanggil individu lain termasuk Mohd Shafie yang diyakini mampu menubuhkan kerajaan negeri baru menghadap.

"Jika DUN dibubarkan dan PRN diadakan, landskap politik Sabah tidak akan banyak berubah selagi pemimpin politik masih bersikap pentingkan diri sendiri, gila kuasa serta bukannya mementingkan nasib rakyat dan pembangunan negeri berkenaan," katanya.

Jeniri

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir pula hairan dengan sikap wakil rakyat Sabah yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada, biarpun tiada keperluan berbuat demikian.

Katanya, pemimpin di Sabah seharusnya fokus kepada isu lebih besar seperti menuntut hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Walaupun Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ada menyatakan sebab kenapa mereka berbuat demikian, namun ia bukan satu sebab kukuh kerana mereka sepatutnya memberikan perhatian kepada usaha untuk memajukan Sabah dan menuntut hak Sabah seperti terkandung dalam perjanjian MA63 serta menangani isu ekonomi.

"Tindakan mahu menjatuhkan Hajiji menunjukkan ahli politik Sabah lebih mementingkan diri sendiri dan mahu mencari kuasa daripada kebajikan dan masa depan rakyat di negeri berkenaan," katanya.

Beliau berkata, perbuatan itu memberikan mesej tidak baik kepada rakyat dan menyebabkan mereka mungkin memulau parti politik tertentu jika PRN diadakan dalam masa terdekat.

"Jadi jika keadaan semakin buruk tidak mustahil Hajiji akan memohon TYT Sabah membubarkan DUN kerana beliau enggan hilang kuasa sama seperti apa berlaku sebelum PRN Sabah 2020 semasa Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca