SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi melecur dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, arah ibu negara, berhampiran Kampung Sungai Chinchin. Kemalangan tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi melecur dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, arah ibu negara, berhampiran Kampung Sungai Chinchin.

Kemalangan tersebut melibatkan lima buah motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai terbabas apabila gagal mengelak sebuah kenderaan di hadapannya yang dikatakan sedang menukar haluan.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, hanya seorang daripada lima penunggang berkenaan mempunyai lesen penuh atau B Full untuk motosikal melebihi 250cc, manakala yang lain tidak mempunyai lesen.

Isu penunggang motosikal berkuasa tinggi tidak mempunyai lesen atau hanya memiliki lesen B2 (kurang 250cc) tidak seharusnya dipandang lewa, malah penguatkuasaannya perlu ditingkatkan.

Namun begitu, bagaimana untuk memastikan penguatkuasaan terhadap peraturan pemilikan lesen itu dipatuhi.

Apa pula punca kebanyakan penunggang motosikal berkuasa tinggi ini tidak mendapatkan lesen?

Pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua mencadangkan kerajaan supaya menguatkuasakan peraturan baharu dengan hanya membenarkan mereka yang mempunyai lesen B penuh atau B Full untuk membeli motosikal berkuasa tinggi melebihi 250cc dan mendaftarkannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Law Teik Hua

Langkah itu untuk mengelakkan insiden kemalangan melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tidak mempunyai lesen penuh, berulang.

Teik Hua berkata, dengan cara itu dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar terlatih dan mahir, boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Beliau berkata, menerusi kaedah itu, JPJ boleh menolak permohonan pendaftaran motosikal berkenaan sekiranya nama pemiliknya tiada dalam senarai mempunyai lesen penuh.

"Sepatutnya perkara ini sudah dikuatkuasakan sejak dahulu lagi, kenapa kita tidak buat. Selepas sesuatu tragedi berlaku, barulah kita nak ambil tahu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas sikap segelintir penunggang motosikal berkuasa tinggi yang kebanyakannya dikesan tidak mempunyai lesen sah, atau sekadar memiliki lesen B2.

Sementara itu, Teik Hua berkata, penguatkuasaan lesen memandu di negara ini masih lemah kerana apabila berlaku kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi, pemeriksaan mendapati penunggangnya tidak mempunyai lesen yang sah.

"Pemilik motosikal berkuasa tinggi kebanyakannya datang daripada golongan berkemampuan, tetapi mengapa mereka tidak mahu mengambil lesen. Sebab penguatkuasaan kita lemah,” ujar beliau.

Teik Hua juga berpandangan, pemilik motosikal berkuasa besar sepatutnya tidak berhak mendapat kemudahan sama seperti motosikal di bawah 250cc.

"Ini termasuk kemudahan laluan sikal. Malah, mereka sepatutnya perlu membayar tol ketika melalui lebuh raya.

"Mereka mampu membeli motosikal besar yang ada antaranya lebih mahal daripada kereta. Jadi sepatutnya mereka boleh membayar tol.

"Mereka pun sama dengan pemilik kereta dan lori, tidak sewenang-wenangnya boleh menyelit sana-sini kerana saiz motosikal yang besar,” katanya.

BAHAYAKAN NYAWA, SUKAR BUAT TUNTUTAN INSURANS

Dalam pada itu, Ahli Bersekutu Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud menasihati orang ramai supaya tidak menunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen kerana boleh membahayakan nyawa, selain sukar untuk membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Katanya, tanpa lesen, ia menunjukkan penunggang tersebut tidak mempunyai latihan dan kemahiran diperlukan untuk mengawal motosikal besar di atas jalan raya.

"Apabila kapasiti enjin motosikal lebih besar, kelajuan boleh meningkat jauh lebih tinggi daripada kenderaan berkuasa kecil. Kuasa membreknya juga berkali ganda lebih kuat berbanding motosikal berkuasa rendah.

"Atas alasan itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi memerlukan kemahiran lebih tinggi ketika di atas jalan raya berbanding motosikal di bawah 250c,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tengku Ahmad Marwan yang juga Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Selangor turut mendedahkan, terdapat segelintir penunggang menggunakan lesen L untuk menunggang berkonvoi dan sebagainya sebelum memiliki lesen yang sepatutnya (lesen percubaan atau lesen kompeten).

"Lesen L sepatutnya hanya untuk kegunaan latihan di institut memandu sahaja tetapi ada yang menggunakan lesen L untuk menunggang motosikal termasuk berkonvoi. Ini sepatutnya menjadi satu kesalahan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca