WALAUPUN Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun adakala kaum majoriti itu masih dinafikan hak mengamalkan agamanya.
Saya pernah menzahirkan kebimbangan yang sama tidak lama dahulu tetapi tidak mendapat perhatian pihak yang berkenaan.
Kebimbangan itu bukanlah rekaan tetapi menjadi realiti kehidupan umat Islam di Malaysia. Pelbagai masalah dihadapi oleh umat Islam semata-mata kerana ingin meletakkan diri mereka lebih rapat kepada Pencipta sekalian alam.
Anehnya, badan-badan bukan kerajaan selama ini mendakwa menjaga kepentingan hak asasi manusia tidak langsung memberi sokongan kepada hak umat Islam yang dinafikan, khususnya wanita Islam mahu menjaga aurat sebagaimana tuntutan agama, tidak mahu terlibat dengan riba atau penyediaan arak.
Di manakah badan hak asasi manusia ketika seorang umat Islam ditindas semata-mata kerana mengamalkan agama mereka. Adilkah wanita itu dilayan sebegitu semata-mata kerana dia berhasrat mempertahankan maruah dan menutup auratnya kerana tuntutan agama?
Penindasan itu sebenarnya bukan sahaja berlaku dalam sektor perhotelan, malah beberapa sektor pekerjaan lain turut mengamalkan pendekatan sama.
Pramugari dalam sektor penerbangan umpamanya, tidak diberi pilihan mengenakan pakaian menutup aurat dengan alasan pakaian tersebut akan mengurangkan kelancaran untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
Ironinya, apabila musim haji, pramugari yang sama diwajibkan menutup aurat tanpa mengira agama. Syarikat-syarikat penerbangan lain dari Timur Tengah umpamanya, mempunyai kod pakaian lebih sopan dan sesuai dengan tuntutan agama. Oleh itu, di manakah rasionalnya larangan untuk menutup aurat?
Pekerja-pekerja turut diwajibkan mengena kod pakaian tidak selari dengan tuntutan agama Islam. Mereka tidak dibenarkan memakai pakaian menutup aurat. Wanita-wanita Islam tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengenakan pakaian mencolok mata itu kerana mereka tahu akan diambil tindakan jika enggan mematuhi arahan tersebut.
Inilah sebahagian dilema dihadapi wanita Islam di Malaysia.
Kita bukan berada di negara seperti Perancis yang mengharamkan simbol agama dalam sekolah kerajaan atau pentadbiran kerajaan.
Alhamdulillah, dalam sektor kerajaan seperti pasukan polis dan jururawat, wanita Islam telah dibenarkan menutup aurat semasa bekerja. Keadaan sebaliknya pula berlaku dalam sektor swasta yang rata-ratanya dimonopoli orang bukan Islam atau orang asing.
Jelaslah di sini bahawa umat Islam masih belum bebas mengamalkan agama mereka walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes Re Susie Teoh; Teoh Eng Huat lwn Kadi Pasir Mas Kelantan dan 1 yang lain [1986] 2MLJ 229 Hakim Abdul Malik memutuskan hak kebebasan beragama itu di bawah Perkara 11 termasuklah hak untuk memilih agama dan mengamalkan agama dipilihnya.
Di manakah kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka? Di manakah hormatnya majikan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan? Di mana prinsip kebebasan mengamalkan agama pilihan yang didukung Perlembagaan Persekutuan itu?
Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang menjadi rungutan umat Islam, antaranya terpaksa menghidangkan dan menyediakan makanan serta minuman tidak halal kepada pelanggan di sesetengah restoran, menjual arak dan daging babi bagi pihak majikan yang jelas haram, tidak menyediakan kemudahan menunaikan solat dan pelbagai perkara lain yang jelas melanggar syariat ALLAH SWT.
Sewajarnya umat Islam diberi pilihan sama ada ingin melakukannya atau tidak dan tidak diambil tindakan jika memilih mengamalkan ajaran agama mereka.
Majikan perlu menghormati hak pekerja kerana tanpa pekerja sudah tentulah majikan itu sendiri tidak mampu mengaut keuntungan daripada pelanggan.
Sudah sampai masanya bagi pihak kerajaan berusaha membanteras dilema dihadapi umat Islam.
Untuk jangka masa panjang, satu undang-undang mungkin diperlukan bagi memaksa majikan tegar untuk menghormati hak orang Islam mengamalkan agama mereka. Untuk jangka masa pendek pula, Jemaah Menteri perlu campur tangan. Dasar yang baik dan sesuai dengan kehendak Islam hendaklah digarap bagi memartabatkan Islam.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca