MAAFLAH kalau saya kata, pasal berseronok dan berbangga dengan label Islam atau Melayu, orang Melayu memang hebat. Gegak-gempita dengan sorak-sorainya tetapi seperti kata pepatah Melayu sendiri, menang sorak kampung tergadai. Ia membawa... Klik di sini untuk terus membaca

MAAFLAH kalau saya kata, pasal berseronok dan berbangga dengan label Islam atau Melayu, orang Melayu memang hebat. Gegak-gempita dengan sorak-sorainya tetapi seperti kata pepatah Melayu sendiri, menang sorak kampung tergadai.

Ia membawa saya kepada kegembiraan dan ketaasuban orang Melayu dengan segala yang berjenama Islam seperti perbankan Islam, jenama halal, takaful dan pajak gadai Islam.

Memanglah benar kita antara negara majoriti Islam terawal membangunkan perbankan Islam dan ekonomi mematuhi syariah. Kita merancang penubuhan bank Islam seawal 1970-an ketika pentadbiran Almarhum Tun Hussein Onn dan menjadi kenyataan ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri kita hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut terlibat apabila dilantik mengambil alih tugas Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bank Islam daripada Almarhum Raja Tan Sri Mohar Raja Badiozaman sebaik sahaja menang Pilihan Raya Umum ke-6. Bank Islam Malaysia Berhad ditubuhkan pada 1 Julai 1983.

Sejak itu, perbankan dan ekonomi Islam berkembang pesat dengan bank-bank konvensional diberikan lesen menjalankan segala bentuk kegiatan kewangan dan perniagaan patuh syariah.

Industri kewangan Islam Malaysia sudah berusia 39 tahun dan boleh disifatkan berjaya. Sehingga 2019, asetnya mencapai AS$254 bilion (kira-kira RM1,117.6 bilion) dan menguasai 38 peratus daripada simpanan dengan sistem perbankan.

Di sini, orang Melayu dan Islam perlu berhenti bergembira untuk sementara waktu dan bertanya, banyak manakah penyertaan mereka dalam kewangan serta ekonomi Islam?

Menurut maklumat Bank Negara sehingga 2017, terdapat 16 institusi perbankan Islam – 10 adalah tempatan dan enam asing. Daripada 10 institusi tempatan itu, hanya dua boleh dikaitkan dengan pemilikan terus bumiputera iaitu AmBank Islamic dan Bank Muamalat Malaysia Berhad. Yang lain sama ada milik tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau bukan bumiputera.

Baru-baru ini apabila Bank Negara meluluskan lima lesen perbankan digital, dua daripadanya adalah perbankan digital Islam. Satu diberikan kepada konsortium diketuai KAF Investment Bank Sdn Bhd dan satu lagi konsortium terdiri daripada AEON Financial Services Co Ltd, AEON Credit Services (M) Bhd dan MoneyLion Inc.

Kumpulan KAF diasaskan pada 1973 oleh bekas eksekutif Bank Negara, Datuk Khadijah Ahmad. Sehingga 30 September 2022, KAF mengurus 16 skim pelaburan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) melebihi RM4.8 bilion.

Kalau tidak ramai Melayu-Islam atau bumiputera memiliki institusi perbankan Islam, bilangan yang berlanggan atau menggunakan kemudahan perbankan Islam pun tidak ramai.

Boleh dikatakan semua pembiayaan besar sistem perbankan Islam di Malaysia dimonopoli individu dan badan perniagaan bukan bumiputera serta pelanggan luar negara.

Kebanyakan pelanggan Islam tempatan hanya menggunakan perbankan Islam untuk menyimpan wang atau meminjam secara kecil-kecilan bagi pembiayaan peribadi.

Kalau ada pun peminjam tempatan yang boleh dianggap sebagai bertaraf bumiputera menggunakan perbankan Islam secara besar-besaran, mereka adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam bidang petroleum, prasarana dan pembinaan.

Kesimpulannya, walaupun perbankan Islam dan kegiatan perdagangan patuh syariah telah berkembang pesat di Malaysia serta diiktiraf dunia, namun sumbangannya kepada ekonomi orang Melayu-Islam tidaklah besar.

Jadi, tidak menghairankan apabila institusi perbankan milik bukan Islam dari dalam dan luar negara berlumba-lumba menubuhkan bank Islam mereka sendiri dan sangat berjaya. Misalnya, baru-baru ini OCBC Bank (M) Bhd bersama anak syarikatnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad telah memenangi anugerah Sukuk Terbaik di Asia Tenggara. Sukuk adalah bon atau surat jaminan hutang yang patuh syariah.

OCBC ialah salah sebuah bank terbesar dan tertua berpangkalan di Singapura. Ia ditubuhkan pada 1932 oleh dua tauke Cina, Tan Ean Kiam dan Lee Kong Chian.

Jadi, eloklah orang Melayu-Islam lebih mengambil tahu mengenai kedudukan ekonomi mereka supaya tidak terus bersorak-sorai sedangkan kampung mungkin telah tergadai.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca