KEPUTUSAN UMNO menarik sokongan ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah perang saudara dalam kerajaan campuran Persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. GRS telah... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN UMNO menarik sokongan ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah perang saudara dalam kerajaan campuran Persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

GRS telah menyertai kerajaan campuran bersama dua antagonis dalam krisis politik Sabah - Warisan dan UMNO.

Hajiji dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu telah menyertai GRS pada November lalu.

Mereka tidak tertakluk kepada akta anti lompat parti kerana Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah (dan kebanyakan negeri-negeri lain) belum meluluskannya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, kerjasama Perikatan Nasional (PN) – 17 ADUN, Barisan Nasional (BN)– 14 ADUN dan Parti Bersatu Sabah (PBS)– 7 ADUN telah membentuk kerajaan negeri dengan sokongan 38 ADUN.

Namun, komposisi kerajaan negeri telah bertukar susulan penyertaan ADUN lantikan dan perubahan politik Persekutuan. Terdapat enam ADUN lantikan dalam DUN Sabah, menjadikan keseluruhan ADUN pada masa kini ialah 79 orang.

Setakat ini, tidak jelas sama ada ADUN lantikan mempunyai kuasa menentukan pelantikan ketua menteri di luar undian DUN. Tanpa mengambil kira komposisi ADUN lantikan, pada masa kini UMNO Sabah mempunyai 15 ADUN dengan penyertaan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), manakala Warisan kini mempunyai 19 kerusi.

Gabungan kedua-dua parti itu membentuk 34 kerusi. Berdasarkan jumlah kerusi DUN dipertandingkan – 73, kerjasama itu memerlukan tiga lagi ADUN untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, dalam pengumuman semalam, Ketua UMNO Sabah mengakui terdapat lima ADUN BN masih menyokong Hajiji. Tidak dipastikan sama ada lima orang itu merangkumi ADUN dilantik atau mereka yang dipilih. Ia membolehkan Hajiji terus kekal sebagai Ketua Menteri buat sementara waktu berikutan soko-ngan Pakatan Harapan (PH) dan GRS.

Tujuh ADUN Sabah daripada PH ialah Datuk Christina Liew (Api-Api); Datuk Ewon Benedick (Kadamaian); Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat); Phoong Jin Zhe (Luyang); Jannie Lasimbang (Kepayan); Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam) turut menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Berdasarkan sidang akhbar Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, adalah hampir mustahil untuk Hajiji mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri.

Jika sebelum ini PH menyatakan sokongan kepada Hajiji, namun sidang akhbar UMNO mengumumkan penarikan sokongan akan memaksa PH menilai semula sokongan mereka.

Sebarang keputusan di Sabah yang dilihat mengetepikan pendapat UMNO boleh menjejaskan sokongan parti itu di peringkat Persekutuan. Apatah lagi, Bung Moktar ialah sekutu rapat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Persoalannya bukan lagi siapa menyokong Hajiji tetapi lebih kepada siapa Ketua Menteri Sabah baharu.

Walaupun dikatakan Datuk Seri Shafie Apdal mendapat sokongan UMNO, adalah tidak mustahil pada akhirnya nanti seorang ADUN lain yang akan mendapat sokongan semua pihak dalam Warisan, UMNO, GRS dan PH.

Calon Ketua Menteri daripada UMNO, selain Bung Moktar dan Shafie, mungkin boleh meredakan perbalahan perang saudara itu buat seketika.

Ini kerana kem Hajiji yang setakat ini masih mempunyai jumlah kerusi DUN signifikan tidak akan menerima dua watak tersebut sebagai penggantinya.

Sementara itu, PH juga pasti sukar untuk menyokong kedua-dua mereka kerana nanti akan dilihat mengkhianati pengorbanan Hajiji menyertai kerajaan pimpinan Anwar.

Sekiranya PH dilihat berkompromi dengan pengkhianatan seperti itu, maka ia akan mewujudkan rasa curiga peserta lain dalam kerajaan campuran yang dipimpin Anwar.

Mungkin pada masa ini, Anwar dan Ahmad Zahid sudah berkira-kira membawa calon lain sebagai ketua menteri bagi meredakan keadaan.

Nama-nama seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Masidi Manjun, mungkin antara nama yang akan diangkat menjadi pengganti Hajiji.

Dalam keadaan Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung minggu depan, pelantikan ketua menteri daripada UMNO akan menaikkan imej Ahmad Zahid dalam kalangan ahli parti.

Bagi Shafie, konsensus politik mungkin akan menyaksikan beliau bakal diangkat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada masa hadapan.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca