TANGGAL 11 hingga 14 Januari ini bakal menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berlangsung.
Ia adalah PAU pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia juga PAU terakhir sebelum pemilihan untuk jawatan dalam parti diadakan.
Mengapa PAU itu penting untuk Malaysia? Apakah signifikannya kepada ahli UMNO, orang Melayu-Islam dan masyarakat Malaysia secara umumnya?
Pasca PRU15 memerlukan petunjuk kepada hala tuju masa depan parti dalam kedudukan apabila tiada yang menjadi dominan dalam pentadbiran induk di peringkat Persekutuan.
Apabila sudah wujud kerjasama di bawah kerangka Malaysia Baharu, maka wajah UMNO sudah pasti mahu dilakar sama ada sudah mengadaptasi dengan ungkapan ‘tidak ada musuh atau kawan yang tetap cuma kepentingan’ dalam politik hari ini.
Ia juga bersangkutan dengan idealisme parti sama ada dikompromi untuk memenuhi lukisan wajah baharu demi bergerak ke hadapan.
Apa yang berlaku sudah pasti di luar jangkaan ramai, namun hakikatnya PAU 2022 penting bagi membaiki bucu-bucu yang menyekat kemaraan pencarian titik persamaan walaupun sukar menoktahkan perbezaan selama ini membelenggu pemikiran ahli, pemerhati dan lawan politik kepartian.
Kebuntuan itu mudah dileraikan andai kata kedudukan sebagai kingmaker walaupun king duduk seketika agar ‘pelaku’ (maker) dapat memastikan komunikasi, kandungan perjalanan parti diawasi dan diperteguhkan dengan tindakan komprehensif.
Malaysia Baharu dilindungi payung ‘Kerajaan Perpaduan’. Hatta, perpaduan di peringkat induk memerlukan ‘penyatupaduan’ dan ‘kesatupaduan’ di peringkat setiap blok yang menganggotainya termasuk Barisan Nasional (BN)-UMNO bagi memperlihatkan keselarasan hubungan di peringkat pusat.
Hari ini BN mempunyai 26 kerusi berbanding 54 kerusi. PAU wajar memberi justifikasinya walaupun menang besar di Melaka dan Johor sebelumnya. Mesti diakui ia juga barisan kepimpinan yang memapah UMNO ketika dihina, diaib dan membesar kebencian dari dalam serta luar parti, ia masih bernafas sehingga menjadi penentu pembentukan kerajaan.
Bagaimanakah kedudukan dalam kerajaan akan dapat mengubah krisis yang timbul menjadi kekuatan semula? Andai kata PRU15 dibuat selepas PRN Johor, apakah keputusannya berlainan?
Kekalahan UMNO dan BN adalah tanggungjawab kolektif. Ia bukan hanya perlu dibebani kepada Presiden UMNO tetapi yang perlu dilakukan kini adalah bagaimana untuk bangkit semula.
Walaupun begitu, proses pendemokrasian mesti diraikan tanpa ada kaveatnya, yakni legitimasi diperoleh dengan rasional-perundangan agar menutup sebarang desakan pihak tertentu.
Ada mengatakan ia akan membawa kepada perpecahan dan menyukarkan solidariti tetapi hakikatnya yang menyokong dahulu juga bertukar ‘sokong bawa rebah’, berselindung dengan topeng berlainan warna.
UMNO perlu maju ke hadapan. Parti ‘keramat’ ini tidak boleh menunggang sejarah dan legasi. Stratifikasi umur, pendidikan, kelas dan persempadanan negeri sudah berubah, sebagaimana kemahuan dan keperluan masing-masing.
UMNO jika menoleh ke belakang akan melihat luka parutnya sudah lama. Imbas apa berlaku setiap 10 tahun, misalnya 1987-1988; 1997-1998; 2007-2008 dan 2017-2018. Di manakah UMNO pada 2027-2028?
Wajah UMNO memerlukan pembaharuan. Retorik semata-mata tidak membantu. Ia mesti dilihat berobjektif. Tarikan imej baharu memerlukan pengorbanan dan kompromi.
Konflik UMNO adalah pada garis politik dan sosial tetapi krisis selalunya membuka peluang untuk dibina semula serta menjadi lebih baik. Mobiliti sosial kepimpinan dan cabaran UMNO dari segi ruang parti, sebagai ahli serta pemimpin sudah tiba masanya untuk dibaik pulih.
Barangkali wajah itu akan menjadi adunan idaman dalam struktur dan penginstitusian Malaysia Baharu. Ia boleh bermula dengan ‘budaya wajah baharu UMNO’ tetapi apakah sebenarnya budaya baharu itu?
Inilah dinantikan pada PAU. Jika kini bersama musuh tradisi, adakah pendekatan, strategi dan intervensi juga memerlukan gaya berbeza tanpa menjejaskan asas perjuangan akar umbi? Bagaimana impak perubahan di Sabah dan acuan bagi menghadapi PRN enam negeri?
Survivalitas yang bangkit dengan motivasi dan keazaman memerlukan peranan serta fungsi diselarikan dengan persekitaran baharu. Bersediakah UMNO mengubah wajah demi kelangsungan masa depannya?
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca