SHAH ALAM - Institut memandu disaran mengurangkan tempoh mendapatkan lesen B penuh untuk memudahkan penunggang memperoleh lesen bagi kategori tersebut.
Pengasas Kingz Motorcycle Group, Azulhairi Berkhanuddin berkata, tempoh menunggu tarikh ujian yang mengambil masa lama menyebabkan kebanyakan penunggang mengambil keputusan tidak menghadiri kelas memandu.
Beliau berkata, kebanyakan penunggang motosikal berkuasa tinggi terdiri daripada golongan profesional yang sentiasa sibuk dengan tugasan hakiki.
"Kemudian nak tunggu tarikh ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula, ada yang perlu tunggu sehingga dua bulan untuk mendapatkan lesen.
"Kurangkan tempoh masa untuk buat lesen supaya lebih ramai pengguna motosikal hadiri kelas. Sekiranya dalam tempoh satu hingga dua minggu belajar sudah tahu asas, sepatutnya minggu depan sudah boleh menjalani ujian,” katanya kepada Sinar Ahad.
Jelas Azulhairi, kadar bayaran atau yuran yang mahal antara RM700 hingga RM1,000 bagi kategori tersebut juga adalah antara faktor ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berani menunggang tanpa lesen.
"Sekiranya dikurangkan, saya percaya ia akan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk mengambil lesen B penuh ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca