SHAH ALAM - Tidak memikirkan soal keselamatan sebelum membeli motor berkuasa tinggi antara punca kebanyakan penunggang tidak mempunyai lesen B penuh.
Presiden Kelab Puchong Bikers, Mohd Shaid Tasiran berkata, ia disebabkan untuk mendapatkan lesen B penuh, perlu mengambil masa mengikuti kelas dan menjalani ujian.
"Lesen ini dilihat sebagai sesuatu yang melecehkan. Nak kena belajar dan ambil masa, sebab itu ia diabaikan.
"Tetapi apabila berlaku kemalangan, ia akan menjadi bertambah rumit disebabkan penunggang tidak ada lesen sah.
"Mahu tuntut insurans memang tak boleh dan ketika itu barulah kita sedar betapa pentingnya lesen,” katanya yang tidak bersetuju dengan perbuatan menunggang motosikal berkuasa besar tanpa lesen.
Mohd Shaid berkata, sebelum ini dia membantu mempermudah ahli kelabnya mengambil lesen B penuh dengan sesi secara berkelompok.
"Dengan cara ini harga lebih murah. Ujian dan belajar sekali jalan. Kalau tengok, ahli Puchong Bikers semuanya mempunyai lesen B penuh,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Putrajaya Region Bikers, Mohd Nazri Hamzah berkata, ada pemilik motosikal berkuasa tinggi tidak mempunyai lesen B penuh tetapi membeli kenderaan berkenaan menggunakan nama orang lain.
"Saya setuju dengan saranan agar kedai jual motosikal kuasa tinggi hanya kepada mereka yang mempunyai memiliki lesen dan dibeli atas nama sendiri,” katanya.
Mohd Nazri bagaimanapun yakin kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi dapat dielakkan sekiranya penunggang faham peranan masing-masing termasuk disiplin dan pengetahuan ketika berkonvoi.
Bagi Timbalan Presiden All Brothers Bikers, Samsuddin Sabran pula, dia menolak mitos kononnya motor berkuasa tinggi tidak boleh ditunggang secara perlahan.
"Motor berkuasa tinggi 1400cc boleh sahaja ditunggang bawah 100 kilometer sejam. Kononnya menunggang motor berkuasa tinggi kena laju-laju, itu adalah persepsi tidak benar.
"Tak perlu juga berkonvoi dalam bilangan yang ramai sampai lebuh raya jadi macam litar lumba,” ujarnya.
--SH: KEBANYAKAN BIASA TUNGGANG MOTOSIKAL BESAR SEBELUM AMBIL UJIAN
Dalam pada itu, Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Institut Memandu Kuala Lumpur (IMKL), Harmain Shah Malek Ibrahim berkata, kebanyakan mereka yang mengambil lesen B penuh sudah biasa menunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum mengambil ujian di institut memandu.
Katanya, rata-rata bagaimanapun memberi alasan tidak mempunyai masa untuk mendapatkan lesen penuh.
"Kebanyakan mereka daripada golongan profesional dan usahawan yang terikat dengan masa.
"Bagi mereka, satu bebanan untuk mereka kembali belajar dan masuk ke kelas memandu.
"Mereka beranggapan hanya dengan latihan praktikal sahaja akan meningkatkan kemahiran menunggang motosikal berkuasa tinggi itu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Harmain Shah, terdapat juga individu yang mengambil ujian lesen B penuh itu hanya mempunyai kemahiran asas membawa motosikal di bawah 250cc.
Klik di sini untuk terus membaca