PEMERINTAHAN Indonesia meneruskan rancangan memindahkan ibu negaranya ke lokasi yang berjarak lebih 1,000 kilometer (km) ke hutan hujan purba Kalimantan di kepulauan Borneo mulai suku pertama 2024, selepas cadangan itu tertangguh selama beberapa bulan susulan kemunculan pandemik Covid-19.
Dalam draf yang dikemukakan pada September 2021, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu merancang memindahkan ibu negara dari Jakarta ke lokasi baharu berkeluasan 56,180 hektar di wilayah Kalimantan Timur yang dinamakan sebagai Nusantara.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini berkata, penempatan semula itu akan membantu mengembangkan ekonomi di luar Pulau Jawa yang paling tinggi populasinya, selain merapatkan jurang pendapatan di seluruh negaranya.
Jokowi juga membayangkan ibu kota baharu itu nanti sebagai sebuah bandar moden di mana semua orang boleh berbasikal dan berjalan di antara destinasi yang berdekatan antara satu sama lain.
Pemindahan ke Nusantara, wilayah yang subur dengan biodiversiti serta menempatkan hutan hujan tertua di dunia dilakukan atas beberapa sebab.
JAKARTA 'TENGGELAM'
Pentadbiran Jokowi merancang untuk meninggalkan Jakarta yang kini terlalu padat, sesak dan semakin tenggelam.
Ketika ini, Jakarta berdepan ancaman 'tenggelam' pada kadar yang membimbangkan kerana penerokaan untuk sumber air bawah tanah yang tidak terkawal.
Penggunaan air bawah tanah yang berlebihan menyebabkan tanah di atasnya jatuh, mengakibatkan penurunan tanah, fenomena di mana batu dan kelodak berlonggok di atas satu sama lain.
Kajian oleh Agensi Penilaian dan Penerapan Teknologi Indonesia pada 2021 mendapati megalopolis yang luas itu tenggelam secara purata kira-kira enam sentimeter setiap tahun, menjadikannya salah satu bandar yang paling cepat tenggelam di bumi.
"Membina tembok laut tidak dapat dielakkan kerana banjir sudah ada tetapi lama kelamaan empangan akan tenggelam dan banjir akan berlaku lagi,” Heri Andreas, seorang saintis bumi di Institut Teknologi Bandung, memberitahu AFP.
"Penyelesaian terbaik untuk mengawal penurunan tanah adalah dengan mengawal eksploitasi air bawah tanah,” katanya.
Sebelum ini, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan memberi amaran bahawa satu perempat daripada kawasan ibu kota Jakarta akan ditenggelami sepenuhnya menjelang 2050 jika tiada langkah segera diambil.
BEBAN YANG LUAR BIASA
Jakarta ialah salah satu bandar paling padat di dunia, menempatkan lebih daripada 30 juta penduduk yang tinggal di kawasan metropolitannya yang lebih besar.
Pencemaran daripada jalan raya yang sesak dan ketiadaan sistem kutipan sampah, memaksa ramai penduduknya membakar sisa pepejal mereka.
Situasi ini sekali gus telah menghasilkan kualiti udara yang kadangkala menyaingi New Delhi dan Beijing.
Pemerintah menganggarkan bahawa kesesakan lalu lintas selama berjam-jam di seluruh bandar menyebabkan kerugian ekonomi berbilion dolar bagi negara majoriti Islam terbesar di dunia setiap tahun.
"Beban Jakarta amat berat. Perjalanan adalah sangat tidak cekap, lama dan meletihkan.
"Ia juga mengurangkan produktiviti orang ramai,” kata Djoko Setijowarno, seorang penganalisis pengangkutan dari Persatuan Pengangkutan Indonesia.
PENGAGIHAN KEKAYAAN
Dengan lebih daripada 17,000 pulau, Indonesia adalah negara kepulauan terbesar di dunia.
Tetapi penduduk dan ekonominya kebanyakannya tertumpu di Jakarta dan Pulau Jawa yang lebih luas, menempatkan lebih separuh daripada 270 juta penduduk negara itu.
Pemerintah berkata, mereka mahu mempelbagaikan pusat kuasa ekonomi dan politik Indonesia.
"Penempatan semula (ibu kota) adalah untuk pengagihan, untuk keadilan,” kata Jokowi pada Mac.
Sebagai perbandingan, wilayah Kalimantan Timur iaitu tempat ibu negara baharu Nusantara akan dibina mempunyai kurang daripada empat juta orang.
Untuk tujuan itu, pemerintah telah menyediakan 56,180 hektar di wilayah Kalimantan Timur di bahagian Indonesia di Borneo, yang dikongsi bersama Malaysia dan Brunei.
BEBAS ZON BENCANA
Alasan lain pemindahan ibu negara yang dibangkitkan oleh pemerintah ialah mitigasi bencana.
Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Jakarta dikelilingi oleh garis sesar aktif, menjadikannya sangat terdedah kepada gempa bumi.
Borneo mempunyai kemungkinan paling rendah untuk gempa bumi berbanding pulau-pulau utama Indonesia yang lain kerana ia jauh dari garisan sesar aktif, kata agensi itu.
Ia bebas daripada ancaman tsunami, tanah runtuh, banjir dan kebakaran hutan serta lokasinya strategik terletak di tengah-tengah Indonesia.
Malahan, kawasan tersebut mempunyai dua bandar maju iaitu Balikpapan dan Samarinda yang memiliki infrastruktur lengkap termasuk lapangan terbang antarabangsa di dua bandar itu. - AFP
INFO
- Pada 2019, Jokowi mengumumkan ibu negara Indonesia iaitu Jakarta akan dipindahkan ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur yang dinamakan sebagai Nusantara.
- Di bawah rancangan itu, ibu pejabat pentadbiran negara dipindahkan secara berperingkat antara dua hingga empat tahun, kecuali bank pusat dan pejabat utama pihak berkuasa perkhidmatan kewangan yang akan kekal di Jakarta sebagai hab kewangan dan komersial.
- Dianggarkan perpindahan itu membabitkan 1.5 juta orang merangkumi pegawai kerajaan, keluarga mereka dan pekerja industri sokongan.
- Projek itu bagaimanapun menerima tentangan daripada aktivis alam sekitar yang memberi amaran ia boleh mempercepatkan kemusnahan hutan tropika yang menjadi rumah kepada habitat hidupan liar seperti orang utan.
Klik di sini untuk terus membaca