NAMA Hannah Yeoh tidak asing lagi dalam arena politik yang mana beliau cukup dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara berkenaan isu wanita dan kanak-kanak seperti penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual atau kepentingan... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA Hannah Yeoh tidak asing lagi dalam arena politik yang mana beliau cukup dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara berkenaan isu wanita dan kanak-kanak seperti penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual atau kepentingan penubuhan agensi khas untuk kanak-kanak.

Hannah, 44, mula menjinakkan diri dalam politik dengan menyertai DAP pada 2006, merupakan bekas peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya selama dua penggal sejak 2008 sebelum beralih ke peringkat Parlimen pada 2018 dengan bertanding di kerusi Segambut.

Tidak lama selepas itu, karier politik Hannah semakin menyerlah apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tahun 2018.

Beliau juga dipilih sebagai Speaker DUN Selangor dari 2013 hingga 2018 sekali gus mencatat sejarah sebagai Speaker DUN wanita pertama dan termuda dalam negara.

Hannah berpandangan pembangunan sukan serta belia perlu seiring. FOTO: SINARHARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Hannah berjaya mengekalkan takhta di kerusi Segambut bagi penggal kedua berturut-turut sejak 2018 selepas menewaskan dua pencabarnya iaitu V Prabagaran daripada Perikatan Nasional dan Daniel Ling Sia Chin (Barisan Nasional).

Kejayaan itu sekali lagi menjadi batu loncatan kepada Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu apabila beliau diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang ke-21 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Perpaduan.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Premium, NURUL NABILA AHMAD HALIMY dan LIZA MOKHTAR bersama Hannah, individu yang berjaya mengembalikan wanita sebagai pemegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia.

SINAR PREMIUM: Apa perasaan Hannah apabila menjadi wanita kedua menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Datuk Seri Azalina Othman Said menjawat jawatan itu pada tahun 2004 hingga 2008?

HANNAH YEOH. FOTO: SINARHARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

HANNAH: Sejurus saya dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pengumuman pelantikan dibuat, saya berasa agak terkejut apabila dipilih untuk memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan kerana ia merupakan satu peranan dan tanggungjawab yang besar.

Berbalik kepada sejarah pelantikan Menteri di KBS, terdapat lima individu yang berjaya menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menerajui KBS dan ini merupakan satu batu loncatan untuk pemimpin-pemimpin muda di dalam UMNO.

Kini portfolio ini telah diberikan kepada seorang wanita daripada parti yang pernah menjadi pembangkang. Oleh itu, walaupun terdapat perasaan gentar, saya tetap bangga kerana Perdana Menteri memberi mandat dan kepercayaan kepada wanita serta Pakatan Harapan (PH) memimpin KBS.

Dari Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini memegang portfolio menteri penuh iaitu Menteri Belia dan Sukan, apa cabaran terbesar Hannah?

Untuk aspek masalah belia, yang itu saya faham kerana dalam portfolio Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kita membantu golongan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah, dan ada bertindan dengan umur belia 15 tahun hingga 30 tahun.

Secara keseluruhan, saya memahami isu-isu belia tetapi untuk masalah sukan, saya perlu meluangkan lebih banyak masa untuk berjumpa dengan pemegang taruh, persatuan sukan untuk mendengar masalah mereka, kerana ini adalah bidang baru untuk saya.

Selepas kita membuat dialog awam (town hall), berjumpa dengan atlet dan persatuan sukan, saya memahami situasi dan sokongan yang mereka perlukan daripada KBS, yang itu kita akan usahakan.

Cabaran sukan, kebanyakannya mereka berkata, tidak cukup peruntukan dan dana. Dan kalau kita lihat dalam kabinet, kalau mereka perlu potong peruntukan, orang akan rasa sukan ini rekreasi, sukan ini tidak penting, jadi tidak perlu.

Pelaburan yang kita masukkan dalam sukan, kadang-kadang ia ambil masa untuk melihat kejayaan. Ia bukan seperti pembinaan, kita bina, kita boleh nampak projek itu.

Kalau yang ini, kita bagi kepada atlet, latihan, kena ambil masa untuk mereka mencapai prestasi yang kita inginkan.

Kesimpulannya, saya melihat cabaran paling utama dalam aspek sukan adalah dana dan peruntukan.

Memegang portfolio sebagai individu yang penting dalam industri sukan, adakah Hannah sebenarnya seorang yang aktif dan minat bersukan?

Hannah berjaya menjadi wanita kedua ungguli KBS. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Saya seorang yang aktif bersukan dan merupakan kapten rumah sukan semasa di sekolah. Selepas memasuki dunia politik, saya mempunyai rakan-rakan dalam kalangan mantan timbalan menteri yang rajin melakukan aktiviti sukan seperti berjalan.

Semenjak itu, kami lebih bersemangat untuk beriadah dan cuba untuk melangkaui lebih 10,000 langkah setiap hari. Biarpun ia merupakan satu cabaran buat saya, berjalan juga telah menjadi sukan kegemaran saya pada masa ini. Sekiranya ada waktu yang terluang, saya juga akan bermain tenis dan berenang.

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar dua pemain wanitanya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan. Biarpun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah menggantung penglibatan jurulatih lelaki tersebut dan memohon maaf, Hannah akan tetap membuat siasatan lanjut. Apakah status terkini isu tersebut?

Setakat ini, KBS telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan siasatan bukan sahaja mengenai dua orang pemain yang terlibat dalam insiden terbabit malah pemain-pemain lain dalam pasukan tersebut untuk kita memahami bagaimana budaya dipraktik dalam pasukan itu. Persoalannya, adakah ini merupakan satu budaya yang normal?

Siasatan ini dijalankan untuk meneliti bagaimana kita boleh memperbaiki latihan dan budaya dalam sukan. Apabila ia melibatkan kanak-kanak, ramai orang yang menganggap insiden seperti ini merupakan perkara biasa kerana ia merupakan masalah dalaman atau keluarga. Saya tidak ada perbezaan layanan sekiranya jurulatih tersebut di peringkat Olimpik mahupun sekolah.

Sekiranya budaya ini dibiasakan dan menganggap ia sebagai masalah dalaman, saya bimbang generasi kanak-kanak seterusnya tidak akan berminat dan takut mencuba sukan tersebut.

Setiap hari, saya dan Menteri Pendidikan akan membincangkan isu ini kerana kita mahu mewujudkan suatu budaya baharu agar perkara seperti ini tidak berulang. Untuk menghentikan budaya itu, kita mesti ada suatu pegangan dan garis panduan untuk semua.

Pada pendapat Hannah, mengapa isu seperti ini wujud dalam sukan negara? Adakah kerana kita membiasakan budaya senioriti dan latihan yang tegas dalam sesuatu pertandingan?

Ia adalah satu mitos bahawa pukul adalah satu dorongan untuk mencapai kecemerlangan atau menjadi tokoh sukan.

Selain itu, komuniti atlet sukan juga tidak lari daripada gangguan seksual. Tahun lepas, atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mendedahkan dia diganggu secara seksual oleh bekas jurulatih dan terpaksa bertahan dengan lawak lucah individu itu selama tujuh tahun, selain perkara sama berlaku terhadap rakan-rakan sepasukannya. Oleh itu, bagaimana KBS memastikan dapat menyediakan persekitaran sukan yang selamat untuk atlet di samping gangguan seksual atau lawak lucah kepada mereka dapat dihentikan?

Yang pertama, dari segi undang-undang, negara sudah ada peruntukan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan gangguan seksual tetapi tidak digunakan oleh orang ramai kerana ia bersifat jenayah dan banyak kekangan di situ.

Justeru itu, kerajaan telah meluluskan Akta Antigangguan Seksual di Parlimen yang mengatakan akan ada penubuhan Tribunal untuk mengendalikan aduan tersebut. Namun, kita masih menunggu akta itu untuk dilaksanakan.

Walaupun undang-undang sudah diluluskan, kita masih memerlukan banyak program kesedaran supaya masyarakat faham bagaimana mereka boleh melindungi diri dengan akta ini.

Program ini juga penting untuk memahami definisi sebenar gangguan seksual yang membolehkan seseorang itu mengambil tindakan sekiranya ada perbuatan yang membuatkan dia berasa kurang selesa.

KBS juga sedang meneliti Draf Akta Sukan Selamat yang dicadangkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat kepada atlet semasa aktiviti sukan.

Tahun lalu, MSN mengumumkan tindakannya menggugurkan 144 atlet negara daripada program latihan kebangsaan dan mengurangkan elaun latihan atlet negara ekoran kurang peruntukan. Selain itu, isu kekurangan dana bagi persediaan sukan antarabangsa yang menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan hanya memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta sedangkan negara berdepan tiga acara sukan antarabangsa tahun lepas. Bagaimana pula dengan persediaan tahun ini dan adakah dana KBS mencukupi untuk menempuhi Sukan SEA Kemboja dan Piala Hoki Dunia 2023 di India?

Saya juga banyak mendengar keluhan dari pemain industri bahawa mereka tidak cukup pendedahan dalam menyertai kejohanan dan pertandingan antarabangsa yang menyebabkan ranking mereka kekal statik.

Namun, untuk menghantar atlet menyertai kejohanan dan pertandingan antarabangsa, ia memakan kos yang tinggi. Oleh itu, persatuan terpaksa gugurkan pemain jika ada keutamaan agar mereka dapat menyertai kejohanan dan menaikkan ranking pemain.

Kita masih menunggu bajet dibentangkan semula di Parlimen bulan Februari nanti. Setakat ini, bajet untuk pembangunan sukan masih belum diluluskan dan akan ada perbahasan baharu untuk kelulusan bajet.

Jadi proses itu sedang berjalan. Kita tiada bajet lagi pada tahun ini dan yang telah diluluskan hanya bekalan untuk gaji pekerja. Untuk pembangunan sukan belum lagi diluluskan.

Jadi apabila bertemu atlet di dalam dialog awam, yang saya dengar ialah kita tidak cukup pendedahan dalam kejohanan baik di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa.

Kalau tidak cukup kejohanan, ranking mereka tidak akan naik. Tetapi untuk kita menghantar atlet ke pertandingan di luar negara, kos akan juga naik.

Bagi persiapan untuk Olimpik 2024, kesemua atlet sudah mempunyai pendedahan dan dana yang mencukupi.

Saya akan memperjuangkan isu ini di Parlimen di samping berjumpa bersama persatuan serta exco sukan negeri untuk berbincang dan berkongsi idea-idea kreatif demi membangunkan industri sukan bersama.

Dalam kenyataan Hannah sebelum ini, impian negara untuk mengecap kegemilangan dalam arena sukan boleh dicapai, terutama dalam pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024. Bagaimana pemburuan 'Road to Gold' itu boleh dicapai?

Saya rasa pentingnya visi dan target supaya kita mempunyai usaha untuk mencapainya sekali gus memberi motivasi dan inspirasi kepada pasukan.

Sebagai menteri, saya tidak mahu memihak kepada satu sukan sahaja dan memastikan semua sukan yang bertanding mendapat perhatian yang sepenuhnya serta mempunyai fokus yang sama.

Apa sasaran Hannah untuk pencapaian awal petunjuk prestasi utama (KPI) tempoh 100 hari pertama perkhidmatan sebagai Menteri Belia dan Sukan?

Hannah Yeoh (kanan) dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim (dua, kanan) melihat fasiliti yang terdapat di Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini.

Pertama, dalam satu bulan ini, isu keselamatan dan persekitaran yang sihat untuk atlet adalah menjadi keutamaan saya. Semasa dialog awam, saya mendengar banyak keluhan daripada atlet, ada isu-isu yang memerlukan KBS untuk melihat seperti isu kebajikan atlet.

Jadi kita sedang berusaha memperbaiki kebajikan dan perlindungan para atlet negara.

Kedua, akses kepada infrastruktur sukan. Selepas dialog awam itu, saya mendapati ramai yang tidak tahu bagaimana mahu mencari infrastruktur sukan yang tersedia.

Sebenarnya kita ada banyak tempat rekreasi cuma kita tidak ada satu platform di mana semua informasi itu dikumpul untuk menyenangkan orang ramai mengakses kepada maklumat tersebut.

Contohnya, mereka mahu cari kolam renang di Rembau tetapi tidak tahu di mana letaknya melainkan pergi secara fizikal. Jadi saya mahu kumpul data ini untuk membolehkan rakyat mengakses dengan mudah kepada infrastruktur sukan yang ada di tempat mereka.

Yang ketiga, adalah untuk kita lihat sukan perlu disertai oleh penonton dan tokoh-tokoh. Pada zaman dahulu, kita luangkan banyak masa melihat sukan kerana tiada gajet. Jadi kanak-kanak ada banyak masa untuk aktiviti fizikal.

Tetapi sekarang dengan adanya gajet, kanak-kanak tidak keluar. Mereka hanya berminat pada gajet. Jadi, apabila kita tiada penonton, sukan itu tidak akan jadi popular sekali gus menjadi penyebab sesebuah persatuan sukan itu tidak mendapat dana yang cukup.

Jadi KBS sedang mencari saluran untuk perbanyakan penonton dan mewujudkan lebih ramai tokoh-tokoh sukan yang cemerlang supaya boleh menjadi contoh dan menarik minat kanak-kanak untuk mencuba sukan itu.

Kalau tiada penonton, mereka tidak akan tahu sukan itu wujud. Itu yang kami mahu usahakan di KBS.

Hannah (tengah) bersama kru Sinar Harian pada sesi wawancara di pejabatnya pada Khamis. FOTO SINARHARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Apa pendapat Hannah tentang pelantikan lima menteri wanita dalam kabinet Kerajaan Perpaduan? Adakah ia akan memperkasakan lagi peranan wanita dalam mentadbir negara?

Lima wanita yang dipilih oleh Perdana Menteri itu merupakan orang-orang yang arif dan mempunyai pengalaman dalam undang-undang untuk melindungi golongan kanak-kanak dan belia.

Kami berlima selalu menyokong antara satu sama lain di meja kabinet seperti usaha untuk mewu judkan sebuah agensi kanak-kanak bagi membantu golongan ini.


Rentetan isu tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan siasatan kes yang disifatkan ‘membuli’ kanak-kanak.

Kata Ahli Parlimen Segambut itu, siasatan akan dijalankan lebih mendalam melibatkan keseluruhan pasukan kerana menurutnya, budaya ‘memukul’ dalam aktiviti sukan tidak harus dinormalisasi.

Saksikan Wawancara Eksklusif pada Ahad, 8 Januari 2023 jam 2 petang di semua platform digital Sinar Harian.

Muzik: Restless Sea - Letra dari https://artlist.io/song/102498/restless-sea

#WawancaraEksklusif #SinarHarian #HannahYeoh #MenteriBeliadanSukan" />
Klik di sini untuk terus membaca