SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyalahkan UMNO sebagai punca ketidakstabilan politik negara daripada desakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehinggalah yang terbaru cubaan penggulingan kerajaan Sabah.
Pimpinan DAP itu mendakwa, tindak-tanduk UMNO masih mahu kekal menjadi 'raja' pentadbiran Malaysia.
Katanya, kemelut politik Sabah sebenarnya merupakan satu fenomena yang harus diambil serius Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Charles, krisis Sabah itu juga memberi isyarat penting kepada Menteri Kewangan itu agar lebih berhati-hati menangani UMNO yang kini berada dalam kerajaan beliau.
Walaupun pindaan Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan tahun lalu dan perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani UMNO bersama parti-parti lain menyokong kerajaan, veteran DAP itu melihat ia bukan jaminan kestabilan politik kerajaan pimpinan Anwar akan kekal utuh sehingga akhir penggal.
Hal ini kerana Charles menjangkakan polemik Sabah itu mungkin akan berlarutan ke negeri-negeri lain termasuk enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
"UMNO percaya mitos parti itu yang paling selayaknya mewarisi jawatan tertinggi pentadbiran negara dan negeri dengan mereka berfikir parti itu bersama Barisan Nasional (BN) harus menjadi 'raja'.
"Hal itu dapat dibuktikan menerusi kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya diangkat menjadi penggantinya.
"Justeru, apa yang berlaku di Sabah sebenarnya merupakan satu fenomena yang perlu dipandang serius kerajaan sedia ada. Anwar perlu berhati-hati dengan UMNO kerana senario sama mungkin berulang pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri akan datang," ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi krisis pergolakan politik Sabah yang semakin meruncing ketika ini terhadap imej pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Anwar pada pasca PRU15.
Ramai pemerhati politik berpandangan krisis pentadbiran Negeri di Bawah Bayu itu mampu menggugat pengaruh Anwar susulan dua parti yang menyokong beliau, UMNO-BN dan Parti Warisan (Warisan) didakwa antara perancang utama gerakan menjatuhkan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pergolakan berlaku selepas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa BN dan UMNO Sabah menarik semula sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, Charles turut mencadangkan Anwar mencontohi pendekatan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dalam menangani tekanan menstabilkan politik negara republik itu di mana struktur pentadbirannya hampir menyerupai kerajaan campuran di Malaysia.
Katanya, meskipun Jokowi dibayangi pengaruh pemimpin parti lawan seperti Prabowo Subianto yang berada dalam kabinet beliau, pemimpin utama Indonesia itu mengambil inisiatif menyelesaikan isu rakyat secara terus ke lapangan selain berbincang terus bersama mereka.
"Langkah itu amat penting dalam meningkatkan dukungan rakyat terhadap kepimpinan Jokowi. Sebab itu Jokowi dilihat tidak risau dengan sebarang gerakan politik menjatuhkannya kerana beliau kini mendapat sokongan padu rakyat Indonesia.
"Melihat keadaan politik negara, tidak mustahil UMNO akan menggerakkan gerakan politik menguntungkan mereka pada masa hadapan walaupun status quo kepimpinan parti itu ketika ini seolah-olah menerima 'perlindungan' kerajaan.
"Dengan Anwar berada dekat di hati rakyat dan beliau mampu membuktikan kemampuan menangani isu kenaikan kos sara hidup dengan segera, saya yakin kestabilan Kerajaan Perpaduan Malaysia akan kekal dipertahankan sehingga penghujung penggal pentadbiran negara," tegas Charles lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO Sabah tidak sepatutnya melakukan perkara yang boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, UMNO harus mengikut perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Kalau kita mahu mengikut apa yang dilakukan oleh UMNO ini boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri.
"Perjanjian yang dibuat semasa pelantikan Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Bung Moktar ia sepatutnya diterima semua pihak," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca