SHAH ALAM - Ketidakstabilan harga perkhidmatan ibadah umrah menyaksikan jemaah terpaksa menanggung kenaikan melebihi 50 peratus berbanding pakej asal yang ditempah. Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketidakstabilan harga perkhidmatan ibadah umrah menyaksikan jemaah terpaksa menanggung kenaikan melebihi 50 peratus berbanding pakej asal yang ditempah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, situasi itu dikesan mula berlaku sejak November lalu, ekoran daripada kenaikan jemaah umrah selepas Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancongan untuk tujuan ibadah berkenaan.

Jelasnya, peningkatan mendadak itu sebahagian besarnya disumbang oleh kadar tiket penerbangan, harga hotel, dan visa ditetapkan oleh negara tersebut.

"Penginapan dulu purata RM120 sekarang RM300, jadi kenaikan 150 peratus. Ini menyebabkan kenaikan purata pakej umrah sekarang minimum 50 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Razali berkata, bagi pakej ekonomi, dianggarkan harga meningkat daripada RM4,880 kepada RM7,880 iaitu kenaikan 61 peratus untuk pakej biasa, manakala untuk cuti sekolah pula naik daripada RM5,880 kepada RM8,880 bersamaan kenaikan 51 peratus.

Bagi pakej golongan kenamaan (VIP) pula, beliau berkata, secara purata ia akan meningkat daripada RM15,000 kepada RM22,500 iaitu sekitar 50 peratus.

Menurutnya, kenaikan kos itu kebiasaannya sememangnya perlu ditanggung oleh jemaah umrah seperti mana tertakluk dalam perjanjian dilakukan.

Beliau berkata, secara umumnya, kenaikan harga pakej itu sememangnya tidak boleh dielakkan kerana ia membabitkan faktor luaran yang tidak boleh dikawal oleh penyedia perkhidmatan umrah.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan bahawa harga perkhidmatan ibadah umrah di Makkah dan Madinah kembali pulih selepas musim haji pada tahun ini.

Razali berkata, satu-satunya langkah boleh diambil untuk mengurangkan sedikit kenaikan mendadak itu adalah dengan menambahkan bilangan penerbangan dari Malaysia ke Arab Saudi bagi membantu menurunkan harga tiket penerbangan semasa.

"Kita ada syarikat penerbangan negara seperti Malaysia Airlines (MAS), jadi mereka mungkin boleh tambah jumlah penerbangan ke Arab Saudi.

"Kerajaan juga mungkin boleh minta syarikat penerbangan lain untuk tambah penerbangan ke Malaysia,” jelasnya.

Info

Kenaikan pakej umrah

Perkhidmatan Sebelum Semasa Peratus kenaikan

Tiket penerbangan RM2,300 RM4,800-RM5,000 109

Harga penginapan(semalam) RM120 RM300 150

Visa RM160 RM700 337

Pakej

Pakej Ekonomi

Biasa RM4,880 RM7,880 61

Cuti Sekolah RM5,880 RM8,880 51

VIP RM15,000 RM22,500 50

Klik di sini untuk terus membaca