SHAH ALAM - Menangguhkan atau membatalkan niat umrah adalah lebih baik daripada terpaksa berhutang untuk membayar kos tambahan di luar kemampuan pakej lawatan ke Makkah dan Madinah.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, jika dilihat kepada hukum wajib menunaikan haji sekali pun ia hanya disyaratkan kepada mereka yang mampu sahaja.
"Jadi, saya yakin rata-rata yang pergi umrah ini bertujuan untuk ziarah kerana umrah yang diwajibkan itu ketika musim haji.
"Tidak perlulah sampai kita terpaksa berhutang semata-mata untuk menunaikan umrah. Kalau tidak mampu lagi dari segi kewangan, lebih baik kita gunakan wang yang dikhususkan untuk umrah itu dengan melakukan sedekah yang lain," katanya.
Sebagai contoh ujarnya, membantu orang di sekeliling seperti jiran yang memerlukan bantuan kewangan lebih besar lagi pahala ganjarannya daripada pergi ke tanah suci menunaikan umrah dengan berhutang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan mendadak harga pakej umrah saat akhir susulan kadar hotel di Makkah dan Madinah yang naik ketika ini.
Pandangan sama turut dikongsi Pensyarah di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Menurut Mohd Izhar, adalah lebih baik seseorang itu membatalkan ibadah umrahnya apabila dia benar-benar tidak mampu untuk menanggung kos kenaikan.
Jelasnya, ini bagi mengelakkan kemudaratan kepada diri sendiri dan keluarga apabila terpaksa berhutang untuk melakukan ibadah sunat itu.
"Apabila jadi macam ini (terpaksa berhutang) hingga menyebabkan tidak ada lagi keikhlasan dan membebankan dalam beribadah. Maka membatalkan niat ibadah umrah adalah keputusan yang terbaik.
Mohd Izhar berkata, asasnya hukum umrah adalah harus dan sunat namun, ia boleh bertukar menjadi makruh jika ibadah tersebut telah menyebabkan jemaah terpaksa berhutang keliling pinggang.
"Sepatutnya jemaah tidak perlu berhutang. Sebab umrah ibadah sunat sahaja. Kalau tidak mampu, jangan pergi. Islam melarang kita buat kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor pernah memberitahu individu yang tidak berkemampuan untuk menunaikan ibadah tersebut tidak perlulah sehingga berhutang.
"Sesiapa yang tidak mampu menunaikan umrah kerana tidak cukup perbelanjaan maka gugurlah kewajipan itu daripada dirinya. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berkuasa (berkemampuan) sahaja,” katanya seperti dilaporkan.
Klik di sini untuk terus membaca