SHAH ALAM - Jemaah umrah tidak mempunyai pilihan selain membayar caj tambahan harga pakej untuk meneruskan rancangan asal berangkat ke Tanah Suci.
Antara sebab yang dimaklumkan adalah harga tiket penerbangan yang berubah menyebabkan mereka perlu membuat bayaran tambahan jika mahu meneruskan perjalanan pada tarikh yang dipersetujui sejak awal.
Seorang usahawan, Noraida Mohd Nasir, 35, berkata, isu bayaran tambahan yang dikenakan pada saat akhir berlaku ketika beliau mahu pergi menunaikan umrah pada November tahun lalu.
Menurutnya, perkara berkenaan hanya diberitahu tiga minggu sebelum penerbangan kerana melibatkan perubahan harga tiket kapal terbang.
"Tak ada isu berbangkit ketika itu kerana pakej pun kami dapat dengan harga murah. Pihak agensi ada beri pilihan jika mahu batalkan, tapi semua tetap teruskan dengan kadar tambahan. Lagipun dah rancang untuk ke sana," katanya.
Bagi Saliha Mohamad, 56, yang bakal menunaikan umrah bulan ini turut memilih untuk berlapang dada sekiranya terpaksa membuat bayaran tambahan harga pakej pada saat-saat akhir.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana dimaklumkan oleh pihak agensi bahawa kumpulan jemaah pada bulan ini tidak terlibat dengan kenaikan harga.
"Baru sahaja dimaklumkan akan terdapat bayaran tambahan disebabkan kos penerbangan naik. Namun dimaklumkan tambahan ini akan membabitkan kumpulan jemaah yang bakal pergi pada Februari depan.
"Sebanyak RM200 dikenakan. Sekiranya saya terlibat, saya juga tidak ada pilihan selain setuju dan meneruskan rancangan. Tempahan dah dibuat sejak Jun tahun lepas lagi dan sepatutnya pergi bulan lepas, tapi harga tiket kapal terbang mahal menyebabkan ia ditunda pada Januari," katanya.
Sementara itu, seorang guru, Wan Aspalela Megat Abdullah, 51, berkata, bayaran tambahan sebanyak RM500 telah dimaklumkan lebih awal kepada jemaah yang akan berangkat mengerjakan umrah pada tarikh cuti sekolah ini.
Katanya, setakat ini belum ada makluman tambahan diberikan membabitkan sebarang caj tambahan lain.
"Tambahan RM500 untuk kemudahan yang sama, tidak pasti melibatkan kos apa, cuma dimaklumkan terdapat kenaikan harga ketika waktu cuti sekolah.
"Memandangkan saya seorang cikgu, tak ada pilihan lain jadi teruskan,"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca