SHAH ALAM - Hanya enam negeri di Malaysia dikenal pasti meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi membolehkan enakmen antilompat parti dilaksanakan. Antaranya adalah negeri Selangor, Perak, Perlis, Negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hanya enam negeri di Malaysia dikenal pasti meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi membolehkan enakmen antilompat parti dilaksanakan.

Antaranya adalah negeri Selangor, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak, manakala tujuh lagi negeri difahamkan bakal menyusul.

Hal Ini susulan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Akta itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lepas menerusi undian 209 Ahli Dewan Rakyat dan 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

Bagaimanapun, beberapa negeri sebenarnya sudah mempunyai peruntukan enakmen antilompat parti tersendiri sebelum pindaan Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan di Parlimen pada tahun lalu iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, hanya kerajaan negeri Sabah masih dalam proses perbincangan untuk menyelarikan pindaan enakmen itu dengan usul diluluskan di peringkat Parlimen pada ketika ini.

Tiga negeri lain sudah memuktamadkan persetujuan untuk menguatkuasakan enakmen antilompat parti melalui pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing sebelum ini.

Pada 2012, DUN Pulau Pinang telah meluluskan RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi menyekat wakil rakyat daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi.

Mengikut Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana ADUN yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.

Kelulusan RUU enakmen negeri berkenaan juga membolehkan kes empat bekas ADUN Pakatan Harapan (PH) iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) yang memfailkan saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar peruntukannya, gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan kebenaran yang difailkan empat ADUN berkenaan dan mendakwa Mahkamah Persekutuan dalam prosiding rujukan sebelum ini, sudah memutuskan DUN Pulau Pinang berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan ahlinya.

Bagi negeri Sabah pula, peruntukan berkaitan undang-undang lompat parti iaitu Perkara 18 (2) (d) telah dimasukkan dalam Enakmen Perlembagaan (Pindaan) Negeri Sabah pada tahun 1986.

Namun, peruntukan tersebut telah dipersoalkan keabsahannya di sisi Perlembagaan Persekutuan berasaskan kes Abdul Karim bin Abdul Ghani vs Legislative Assembly of 18 Sabah (1988) 1MLJ 171.

Dalam kes itu, keputusan di Mahkamah Persekutuan menunjukkan bahawa DUN boleh membuat peruntukan berkaitan hilang kelayakan seseorang ADUN.

Cuma Perkara 18 (2) (d) yang ditambah kepada Perlembagaan Negeri Sabah sebelum ini, telah dimansuhkan oleh Enakmen 11 pada tahun 1995.

Sementara itu, tiga negeri di bawah kategori Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak perlu menguatkuasakan enakmen anti lompat parti di peringkat negeri kerana kesemuanya di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Ramai pemerhati politik percaya amalan demokrasi Malaysia akan berdiri subur, setanding dengan negara luar seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura dan India sekiranya kesemua negeri menjayakan semangat pindaan antilompat parti ini.

Klik di sini untuk terus membaca