KAHERAH - Semasa hayatnya, Dr Mohamed Mashaly digelar sebagai 'doktor fakir miskin' kerana memberikan rawatan dan vaksin percuma kepada golongan kurang bernasib baik di kliniknya yang terletak di bandar Tanta, kira-kira 94... Klik di sini untuk terus membaca

KAHERAH - Semasa hayatnya, Dr Mohamed Mashaly digelar sebagai 'doktor fakir miskin' kerana memberikan rawatan dan vaksin percuma kepada golongan kurang bernasib baik di kliniknya yang terletak di bandar Tanta, kira-kira 94 kilometer (km) di utara Kaherah, Mesir.

Mohamed terkenal kerana reputasinya membantu golongan fakir miskin sejak tahun 1960-an lagi sebaik menamatkan pengajian di Fakulti Perubatan Qasr Al-Einy.

Beliau bukan sahaja memberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma, malah turut memberikan wang saku kepada pesakitnya untuk membeli ubat-ubatan.

Bagi pesakit berkemampuan pula, beliau hanya mengambil bayaran sebanyak 10 pound Mesir (RM1.62) atau seikhlas hati berbanding klinik-klinik ternama di Tanta yang biasanya mengenakan bayaran perkhidmatan sehingga mencecah 400 pound Mesir (RM64).

MOHAMED MASHALY

Klinik pertamanya dibuka di wilayah Gharbia pada 1975, di mana pada permulaannya beliau hanya mengenakan caj 5 pound Mesir (80 sen) untuk khidmat pemeriksaan kesihatan.

Janji kepada bapa

Dalam satu wawancara dengan akhbar Hadret El Mowaten, Mohamed memberitahu pada mulanya beliau mahu menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Ini kerana beliau terpaksa mengikut kehendaknya bapanya yang mahu melihat beliau menjadi seorang doktor.

"Sejak itu saya berjanji kepada ALLAH bahawa saya tidak akan mengambil satu sen pun daripada pesakit yang fakir miskin," katanya.

Tambah Mohamed lagi, kejadian seorang budak lelaki yang membakar diri kerana keluarganya tidak mampu membayar kos insulin bagi penyakit diabetes turut memberi kesan mendalam dan menguatkan lagi azamnya untuk membantu golongan miskin.

"Budak lelaki itu enggan menyusahkan ibunya. Saya memeluknya ketika dia sedang nazak.

"Kematiannya adalah satu tragedi dan kejadian itu benar-benar memberi kesan kepada saya," katanya sambil mengalirkan air mata.

Merendah diri

Setiap hari, kelihatan puluhan pesakit beratur di klinik beliau yang agak sederhana.

Mohamed terkenal kerana memberikan rawatan dan insulin percuma kepada pesakit miskin.

Rutin hariannya di klinik bermula seawal jam 9 pagi dan berlanjutan sehingga 7 petang.

Biar pun bergelar seorang doktor, Mohamed tidak mempunyai kenderaan apatah lagi telefon bimbit.

Setiap hari beliau berjalan kaki dari rumah ke tempat kerja dan rutin tersebut berterusan sehingga umurnya mencecah 70 tahun.

Dalam satu temu bual bersama DW, Mohamed memberitahu bahawa beliau merupakan pakar penyakit endemik dan demam.

Seorang lelaki yang pernah menerima rawatan semasa kanak-kanak di klinik Mohamed bergambar dengan doktor tua itu di Tanta.

Tolak sumbangan

Kisah Mohamed tersebar di serata tanah Arab dan menyebabkan ramai bersimpati kepada beliau.

Seorang hartawan dari Negara Teluk dilaporkan pernah menyumbang sebanyak AS$20,000 (RM88,069) dan sebuah kereta kepada Mohamed.

Namun, setahun kemudian ketika hartawan itu melawat Mesir, beliau mendapat tahu bahawa Mohamed menyumbangkan kesemua wang tersebut kepada pesakit-pesakit miskin.

Malah, Mohamed turut menjual kereta pemberian hartawan tersebut untuk membeli peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit secara percuma.

Kematian

Mohamed menghembuskan nafas terakhirnya pada 28 Julai 2020 di bandar Tanta ketika berusia 76 tahun akibat sakit tua.

Beliau dikebumikan di kampung kelahirannya di Zahr el-Temsah di wilayah Beheira.

orang-ramai terutama mereka yang pernah mendapat rawatan percuma daripada Mohamed berpusu-pusu ke masjid untuk solat jenazahnya dan mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan.

Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum turut berdukacita atas kematian Mohamed. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca