DI SAMPING penglibatan saya sepenuhnya dalam bidang perubatan dan kepakaran psikiatri, antara beberapa minat dalam hayat sementara ini ialah mendalami bidang kesusasteraan Melayu dan Inggeris secara yang tidak formal. Ini bermakna pelajaran... Klik di sini untuk terus membaca

DI SAMPING penglibatan saya sepenuhnya dalam bidang perubatan dan kepakaran psikiatri, antara beberapa minat dalam hayat sementara ini ialah mendalami bidang kesusasteraan Melayu dan Inggeris secara yang tidak formal.

Ini bermakna pelajaran sastera Melayu yang saya ikuti ialah hanya ke peringat Tingkatan Tiga di sekolah menengah tempat saya belajar di Johor Bahru.

Sebelum saya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola (LP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Julai 2018 hingga Mei 2020, saya hanya mengenal beberapa orang Sasterawan Negara dari jauh sahaja.

Mereka ialah Datuk Seri Abdul Samad Said, Sasterawan Negara keempat; Arena Wati (Muhammad Dahlan Abdul Biang), Sasterawan Negara kelima; Datuk Abdullah Hussein, Sasterawan Negara kelapan; Datuk Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10 dan Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Sasterawan Negara ke-12.

Arena Wati serta isterinya ialah sahabat baik kedua ibu bapa saya. Ayah saya, sejarawan serta sasterawan (Dr) Shaharom Husain telah menjalin persahabatan kesasterawanan dengan Pak Arena sejak tahun 1960 sewaktu Pak Arena serta keluarganya tinggal di Johor Bahru sebelum berpindah ke Gombak dan kemudian ke Kepong, Kuala Lumpur.

Setelah saya dilantik sebagai Pengerusi LP DBP, saya telah bertemu semua Sasterawan Negara yang masih hidup melainkan Datuk Noordin Hasan, Sasterawan Negara ketujuh.

Hingga kini saya masih terus berhubungan dengan Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara keenam dan Datuk Abdul Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15.

Saya tidak membaca terjemahan bahasa Inggeris Salina oleh A Samad Said, tetapi sempat menjenguk-jenguk Tales of Ogonshoto (terjemahan Inggeris - DBP 2016) oleh Anwar Ridhwan.

Dua orang Sasterawan Negara yang telah menghasilkan pelbagai buku prosa dan puisi dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dengan cemerlang ialah Muhammad Haji Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, Sasterawan Negara ke-13.

Hampir empat tahun lepas, sewaktu rombongan DBP melakukan kunjungan rasmi ke kediaman Frédéric Laplanche, Duta Perancis ke Kuala Lumpur, beliau telah menzahirkan kepada kami tentang penghargaannya terkait dengan peranan Muhammad Haji Salleh dalam bidang penterjemahan. Muhammad Haji Salleh merupakan ‘duta bahasa Inggeris’ para Sasterawan Negara ke dunia luar.

Saya tidak jemu membaca buku kulit keras dwibahasa yang berjudul Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain oleh Baha Zain yang diterjemahkan oleh Muhammad Haji Salleh sebagai Postponing Truth and Other Poems (DBP 2008).

Di samping menikmati keindahan makna yang tersurat dan cuba memahami makna yang tersirat, dengan sekali gus saya membaca hasil karya sastera oleh dua orang Sasterawan Negara yang tersohor. Dua dalam satu.

Buku kulit keras dwibahasa yang berjudul A Journey Through Prose and Poetry (DBP 2018) oleh Zurinah Hassan memaparkan kepada kita betapa mencabarnya untuk menjadi seorang sasterawan wanita di Tanah Melayu (dahulu) dan Malaysia.

Dua bahagian yang merangkumi lima bab buku ini diatur dengan cermat dan menarik. Ia merupakan sebuah lagi buku dwibahasa yang diterbitkan di Malaysia untuk semua pembaca dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris yang berada di seluruh dunia.

Antara kehebatan buku dwibahasa Sasterawan Negara wanita yang pertama ini ialah ia merupakan sebuah buku bergambar warna dan juga mempunyai indeks pelengkap buku.

Sebuah buku puisi bahasa Inggeris yang saya baru baca pada 3 Januari lepas yang berjudul Nouri: My Light (Yayasan Restu, tanpa tarikh) ialah karya Norashikin Abdul Latiff, Pengarah Perhubungan Awam Nasyrul Quran.

Buku puisi ketuhanan ini sarat dengan mesej ketakwaan serta tawakal mirip gaya penulisan kesufian.

Penulisnya mempunyai potensi untuk terus meningkatkan bakatnya - saya harap - dalam buku baharunya nanti. Iltizam yang dirahmati ALLAH dapat terus mengangkat martabat puisi ketakwaan. Bagus juga jika ia boleh diterbitkan dalam dua bahasa.

* Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca