SAYA tidak ingat bila sebenarnya ‘oleh’ ditalkinkan penggunaannya oleh banyak pengarang akhbar berbahasa Melayu. Hal ini nampaknya berleluasa juga dalam pemberitaan TV dan radio. Saya menganggapnya satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan bahasa Melayu.
Perkataan ‘oleh’ adalah kata sendi nama untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif. Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan takrif dan huraian ‘oleh’ pada muka 1,095 dan 1,096. Tidak pula disebutkan dalam mana-mana kamus atau buku tatabahasa terbitan DBP bahawa ‘oleh’ patut dihapuskan penggunaannya.
Pada masa ini kita berdepan dengan ayat-ayat seperti di berikut: ‘Bola itu ditendang Mamat’; ‘Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri’; ‘Rencana ini ditulis Johan Jaaffar’.
Kita ambil contoh ayat yang pertama. Frasa nama (Mamat) itu ialah pelaku diri ketiga, sementara ‘bola itu’ ialah subjek ayat pasif. Dalam ayat aktifnya (Mamat menendang bola itu), memang betul bola itu objek, iaitu objek kepada kata kerja transitif ‘menendang’.
Secara mudahnya dalam ayat itu objek frasa nama ialah ‘Mamat’ dan objeknya ‘bola itu’. Ayat ini telah dipasifkan di mana ‘bola itu’ berperanan sebagai objek, dalam ayat aktif.
Oleh yang demikian (lihat penggunaan ‘oleh’ di sini) dalam konteks ini, ‘oleh’ perlu digunakan. Samalah seperti dalam ayat: ‘Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri’ dan bukan ‘Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri’.
Memang ada keadaannya ‘oleh” sama ada boleh atau tidak perlu digunakan. Misalnya: ‘Kuih itu sudah diambil Tomok semalam.’ Tetapi tidak ada salahnya menggunakan ‘Kuih itu sudah diambil oleh Tomok semalam.’
Dalam ayat-ayat ini ‘oleh’ tidak boleh ditinggalkan:
‘Anak dara itu dipatuk oleh ular.’
‘Bilik saya digunakan oleh menteri ‘wanita itu untuk bersolek.’
‘Menara baharu PNB dicerobohi oleh dua orang warga Rusia.’
Contoh lain adalah:
‘Duit untuk tujuan rasuah itu telah diambil oleh pegawai tinggi tersebut.’
‘Rumah besar Ketua Bahagian itu dibina oleh seribu orang pekerja.’
Memang ada ketikanya ‘oleh’ boleh ditinggalkan. Misalnya untuk ayat pasif di mana unsur subjeknya diberikan keutamaan.
Contohnya:
‘Kucing kurap itu diberi makan ayah pagi tadi.’
‘Budak-budak itu kena kejar unta.’
‘Mereka kena hasut pemimpin politik.’
Sebenarnya ‘oleh’ merupakan kata yang indah. Dalam Kamus Dewan ditunjukkan beberapa contoh bagaimana ‘oleh’ boleh digunakan pada awal perkataan: ‘Oleh tiada jalan lain hendak menyelamatkan dirinya, ia mencuba hendak terjun ke dalam air.’
Dalam kitab-kitab lama Melayu pula ada ditunjukkan bagaimana ‘oleh’ digunakan dengan indah dalam ayat-ayat seperti di bawah:
"Maka oleh si penyadap budak itu dibawanya kembali ke rumahnya, dipeliharanya dengan sepertinya.
"Maka disuruh buka oleh baginda, maka dilihatnya tatal bergulung seperti subang.” (daripada Kitab Sejarah Melayu).
Saya sangat berharap agar para penyunting media berbahasa Melayu kembali menggunakan ‘oleh’. Hanya dalam keadaan tertentu boleh ditiadakan kata sendi nama yang istimewa itu.
Alangkah indahnya bahasa Melayu apabila kita membuat ayat seperti berikut:
‘Rumah yang indah itu dibina oleh tukang terbaik dari Johor.’
Demikian juga halnya, banyak orang berpendapat bahawa ‘hari’, ‘bulan’ dan ‘tahun’ adalah redundant dalam bahasa Melayu. Sebenarnya tidak! Maka itu kita menemui ayat-ayat pelik seperti ini dalam media berbahasa Melayu.
‘Majlis itu dibuat pada Jumaat.’
‘Dia dilahirkan pada 1985.’
‘Malaya mendapat kemerdekaan daripada British pada 1957.’
Alangkah indahnya ayat-ayat itu sekiranya ditulis:
‘Majlis itu dibuat pada hari Jumaat.’
‘Dia dilahirkan pada tahun 1985.’
‘Malaya mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.’
Begitulah struktur ayat Melayu yang baik lagi indah! Janganlah terbawa-bawa dengan struktur ayat bahasa Inggeris! Pola pembentukan ayat kita berbeza, begitu juga binaan ayat kita.
Menurut Datuk Seri Dr Awang Sariyan, pakar bahasa dan juga Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata lain yang nampaknya ‘diharamkan’ oleh pengarang media berbahasa Melayu ialah ‘yang’.
Pada pendapat beliau, pada masa ini banyak ayat yang salah dan amat janggal menurut akal budi Melayu.
Contohnya:
‘Perdana Menteri baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.’
‘Rumah berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.’
‘Bilik digunakan menteri itu kini telah disita.’
Sepatutnya:
‘Perdana Menteri yang baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.’
‘Rumah yang berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.’
‘Bilik yang digunakan oleh menteri itu kini telah disita.’
Menurut Dr Awang, contoh-contoh di atas adalah antara sejumlah kejanggalan lain dalam ‘gaya media’ kini.
Sememangnya kita memahami prinsip ‘ringkas, tepat, padat’ dalam media tetapi tidak patut sampai mengorbankan asas bahasa, seperti yang dipertahankan dalam bahasa lain.
Oleh yang demikian, jangan bunuh ‘oleh’, jangan korbankan ‘yang’ selain membuang ‘hari’, ‘bulan’ dan ‘tahun’.
* Tan Sri Johan Jaaffar bukan pakar bahasa tetapi beliau pencinta dan pengguna bahasa Melayu sejak di bangku sekolah lagi. Beliau juga penulis kreatif dan Tokoh Wartawan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca