AKHBAR harian Tamil, Malaysia Nanban menggariskan lapan cabaran dan meletakkan harapan besar kepada Kerajaan Perpaduan agar tahun baharu 2023 menjadi permulaan baik untuk kemakmuran negara. Menurut akhbar itu, cabaran pertama adalah... Klik di sini untuk terus membaca

AKHBAR harian Tamil, Malaysia Nanban menggariskan lapan cabaran dan meletakkan harapan besar kepada Kerajaan Perpaduan agar tahun baharu 2023 menjadi permulaan baik untuk kemakmuran negara.

Menurut akhbar itu, cabaran pertama adalah mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bermula tahun ini.

Malaysia Nanban memetik pandangan ibu bapa yang mahu kedua-dua peperiksaan berkenaan dilaksanakan semula manakala proses pembelajaran di sekolah dapat diselaraskan agar tidak berlaku perubahan demi perubahan yang mengelirukan anak-anak mereka.

Bagaimanapun, kerajaan sebelum ini telah menjelaskan bahawa segala keputusan berhubung perkara itu akan dipertimbangkan hanya selepas pembentangan laporan Pelan Pendidikan Nasional (PPN) 2025 tiga tahun lagi.

Cabaran kedua ialah mengekalkan kemudahan bekerja dari rumah yang diamalkan sejak ancaman pandemik di negara ini pada tahun 2020.

Kesemua sektor pekerjaan boleh melaksanakan kemudahan itu sekali gus membolehkan golongan wanita menceburi bidang pekerjaan sambil menguruskan keluarga serta anak-anak kecil mereka di rumah.

Ujar Malaysia Nanban lagi, cabaran ketiga ialah menggandakan bilangan hari cuti suami selama tujuh hari sekarang yang dikatakan tidak mencukupi untuk menjaga ibu baru bersalin dan bayi serta keluarga mereka.

Cabaran seterusnya adalah pembangunan kemudahan asas untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan meningkatkan peruntukan daripada kerajaan.

Misalnya kemudahan pengangkutan awam, jalan raya, gelanggang permainan, pusat rekreasi dan sistem perparitan harus diselia dengan baik supaya tidak memudaratkan.

"Taraf dan kualiti jalan raya di Malaysia harus terus dipertingkat demi menjamin perjalanan rakyat sentiasa selamat," ujar akhbar itu.

Tambahnya, kerajaan harus fokus dalam menangani masalah berkaitan hak-hak asasi manusia yang masih berlaku di negara ini.

Kerajaan turut dicadangkan mewujudkan platform yang sesuai agar rakyat dapat mengadakan debat secara sihat mahupun perbincangan mengenai masalah mereka termasuk yang melibatkan isu sensitif.

Sektor kesihatan negara yang terjejas akibat Covid-19 juga wajar dibangunkan semula supaya golongan rakyat B40 dan M40 yang tidak mampu menikmati rawatan di hospital swasta mendapat kemudahan lebih baik di hospital kerajaan.

Perkhidmatan di hospital kerajaan harus diperbaiki kerana ia menjadi tumpuan majoriti rakyat.

Kerajaan turut diminta meneliti masalah kekurangan pakar dan gaji untuk kumpulan barisan hadapan di sektor kesihatan agar status serta imej negara lebih dihormati kerana memiliki fasiliti kesihatan bertaraf antarabangsa.

Kesemua cabaran dan masalah yang dilaporkan akhbar itu menyentuh isu keperluan asas rakyat, justeru kerajaan tidak boleh memandang remeh kerana ia penting untuk kesejahteraan Malaysia baharu.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca