SHAH ALAM - Kerajaan diminta tegas dalam menguatkuasakan undang-undang melibatkan proses jual beli kenderaan bagi memastikan pembeli mempunyai lesen memandu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor, Zulkepli Mohd Ali Piah berkata, adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab sekiranya mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu menjual kenderaan kepada mereka yang tidak memiliki lesen.
"Peraturan sedia ada memperuntukkan seseorang itu perlu ada lesen memandu yang sah di jalan raya, sekiranya ada antara pengguna didapati tiada lesen memandu maka siasatan perlu dijalankan bagi memastikan dengan pihak mana kenderaan itu dibeli.
"Memandu atau menunggang tanpa lesen adalah satu kesalahan yang jelas dan boleh dikenakan tindakan. Pada masa sama sekiranya didapati berlaku unsur penipuan dalam proses jual beli maka tindakan tegas perlu diambil,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ada kes di mana pembeli mengemukakan butiran individu lain semasa proses pembelian kenderaan.
"Jelas sekali perkara ini satu kesalahan kerana menipu dan siasatan harus dilakukan,” ujarnya.
Katanya, memandu atau menunggang dengan tidak memiliki lesen yang sah adalah perbuatan berisiko.
"Apa yang kita bimbang, mereka yang tidak memiliki lesen yang sah tidak dilindungi insurans, jika berlaku kejadian tidak diingini misalnya kemalangan sememangnya tidak dapat membuat sebarang tuntutan.
"Saya minta dalam soal ini sama ada kerajaan atau pihak berkuasa, lebih tegas dalam memastikan isu ini tidak berlaku,” katanya.
Pada Ahad, Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan peraturan baharu dengan hanya membenarkan mereka yang mempunyai lesen B penuh untuk membeli motosikal berkuasa tinggi melebihi 250cc dan mendaftarkannya di Jabatan Pengangkutan Jalan.
Kerajaan perlu pinda peraturan berkaitan lesen memandu
Sementara itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat semula undang-undang berkaitan keselamatan jalan raya, termasuk meminda peraturan baharu bagi memastikan setiap individu yang ingin membeli kenderaan perlu mempunyai lesen memandu.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peraturan itu dianggap munasabah dan berpatutan kerana sesiapa yang memiliki kenderaan sepatutnya mempunyai lesen memandu.
Menurutnya, undang-undang sedia ada dianggap longgar, yang memungkinkan ada pihak yang menyalahgunakannya.
"Jika kerajaan tidak pinda peraturan baharu, akan ada orang tertentu yang tidak mempunyai lesen memandu sewenang-wenangnya di jalan raya.
"Ia boleh mendatangkan risiko kecederaan bukan sahaja kepada pemandu dan penunggang, tetapi juga pengguna jalan raya lain.
"Menggunakan kenderaan tanpa lesen memang satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, jadi saya harap pindaan ini melibatkan semua jenis kenderaan,” katanya di sini pada Ahad.
Jelasnya, apabila seseorang itu memohon lesen memandu, mereka mesti mengikuti latihan yang secukupnya dan mendapat pendedahan tentang undang-undang dan langkah keselamatan di jalan raya sebelum mendapat lesen yang sah.
Secara tidak langsung, pemandu diterapkan dengan disiplin dan tatatertib di jalan raya.
"Kalau ini boleh dibuat, saya percaya kita boleh kurangkan kes-kes kemalangan dan kematian di jalan raya.
"Pihak berkuasa perlu melihat semua undang-undang yang ada sekarang berkaitan keselamatan jalan raya dan buat pindaan jika ada kekurangan serta kelemahan.
"Paling utama adalah aspek keselamatan jalan raya, sesuatu yang mesti dipatuhi semua pihak supaya kita tiada masalah pembuli di jalan raya,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca