SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah dianggotai semua parti sebagai jalan damai kemelut politik negeri itu, berbanding memilih gabungan politik Parti Warisan (Warisan)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah dianggotai semua parti sebagai jalan damai kemelut politik negeri itu, berbanding memilih gabungan politik Parti Warisan (Warisan) - Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan, penubuhan kerajaan perpaduan itu merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan pergolakan politik di Sabah ketika ini.

Justeru katanya, Anwar wajar memulakan langkah ke arah itu dengan membangkitkan perkara berkenaan ketika pertemuan bersama ketua parti politik Sabah, malam ini.

Antara pemimpin politik Sabah dijangka bertemu Anwar termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Jalan penyelesaian terbaik perlu dicadangkan Perdana Menteri dengan wakil parti politik nanti adalah penubuhan kerajaan perpaduan iaitu dengan semua parti politik bergabung membentuk sebuah kerajaan negeri baharu tanpa pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"Anwar juga perlu mengemukakan formula sesuai dan mengikut nisbah kuota jumlah kerusi DUN dimenangi setiap parti politik bagi mengagihkan jawatan penting dalam kerajaan perpaduan berkenaan termasuk siapa sepatutnya menjadi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kabinet," kata Jeniri kepada Sinar Premium, pada Isnin.

DR JENIRI

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad, yang yakin ada formula bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik di Sabah ketika ini.

Tanpa menjelaskan secara lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata formula itu antaranya memperincikan kehendak atau 'wishlist' yang dikemukakan pihak terbabit, namun pastinya ia akan dipertimbangkan secara rasional.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan, formula penyelesaian itu akan dibawa dalam pertemuannya dengan Anwar dan Hajiji dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut Jeniri menegaskan, krisis politik melanda Sabah berpunca daripada rasa tidak puas hati dan kecewa pemimpin BN dan UMNO terutama Bung Moktar biarpun parti dipimpinnya memenangi kerusi yang lebih besar berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada 2020 lalu.

Oleh itu, Jeniri berpandangan penubuhan kerajaan perpaduan adalah jalan penyelesaian terbaik bagi merungkai kemelut politik sehingga PRN akan datang apabila tempoh DUN Sabah matang, penghujung tahun 2025.

Dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan, Jeniri yakin bukan hanya kestabilan politik dapat dibentuk, bahkan membolehkan kerajaan negeri memberikan fokus kepada perkara lebih besar iaitu menangani masalah ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan serta usaha menuntut hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

HAJIJI

"Justeru itu, saya berpandangan soal politiking dan perbalahan politik perlu dihentikan segera sehingga mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri baharu dalam PRN akan datang.

"Untuk mengadakan satu lagi PRN dalam masa terdekat adalah sesuatu tidak wajar dan menyusahkan rakyat kerana mereka sudah banyak bergelut dengan pelbagai masalah ketidaktentuan politik dan pertukaran kerajaan negeri.

"Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin politik Sabah hanya mementingkan kuasa, diri sendiri berbanding masalah dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Jeniri menambah, sekiranya kehadiran Anwar di Sabah malam ini tidak memihak kepada kehendak Bung Moktar dan Mohd Shafie, BN diyakini tidak akan menarik diri daripada kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.

"Saya tidak fikir BN akan berbuat demikian kerana krisis politik Sabah dan kerajaan campuran di Putrajaya adalah dua entiti berbeza dan negeri berkenaan mempunyai autonomi politik tersendiri.

"Jadi saya tidak fikir apa berlaku di Sabah akan memberi impak kepada Putrajaya kerana BN dan UMNO khususnya Ahmad Zahid sedar berapa besar implikasi jika beliau tidak berada dalam kerajaan pimpinan Anwar dan tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Tambahan pula, Jeniri menegaskan rakyat tidak mahu melihat satu lagi kerajaan Persekutuan tumbang gara-gara perebutan kuasa dan pergolakan politik dalaman.

"Saya percaya kerajaan campuran sedia ada di Putrajaya akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika semua pihak akur dengan perjanjian dipersetujui bersama sebelum ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca