SHAH ALAM - Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin perlu campur tangan dalam menyelesaikan krisis pergolakan politik di Sabah. Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, Tun Juhar perlu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin perlu campur tangan dalam menyelesaikan krisis pergolakan politik di Sabah.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, Tun Juhar perlu memberikan penjelasan mengenai status quo kerajaan negeri sedia ada dan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri kerana ada pihak mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu sudah hilang sokongan majoriti ADUN Sabah.

Romzi berkata, beliau bimbang krisis politik Sabah akan berlarutan sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat jika Yang di-Pertua Negeri tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan kerajaan negeri dan Hajiji selaku Ketua Menteri.

Tambahan pula katanya, mengikut Perlembagaan hanya Tun Juhar mempunyai kuasa 'prerogatif' untuk memecat atau melantik Ketua Menteri Sabah.

"Bagaimanapun, sehingga sekarang kita tidak nampak satu pun kenyataan dikeluarkan oleh Istana Seri Kinabalu. Jadi saya nampak cubaan kudeta atau menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji tidak akan terhenti begitu sahaja.

"Jadi apa yang perlu dilakukan oleh Hajiji sekarang ialah untuk membentangkan undi percaya bagi mengukur keabsahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengesahkan sama ada beliau masih mempunyai sokongan majoriti ADUN atau tidak.

"Jika beliau berjaya dalam undi percaya di DUN Sabah, saya berharap tiada lagi masalah atau krisis perebutan kuasa berlaku," katanya kepada Sinar Premium.

Pun begitu, Romzi berkata, penyelesaian paling tuntas dan berkesan bagi menyelesaikan kemelut politik dan perebutan jawatan Ketua Menteri adalah dengan meminta Tun Juhar meluluskan pembubaran DUN sekali gus memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat.

Romzi berkata, biarpun banyak pihak berpandangan PRN tidak sepatutnya diadakan kerana DUN Sabah berusia kurang tiga tahun, namun tiada undang-undang termasuk Perlembagaan negeri dan Persekutuan yang menghalang kerajaan daripada berbuat demikian.

Malah, Romzi menjelaskan Sabah pernah mengadakan PRN dua kali dalam masa tidak sampai setahun atau lebih tepat lagi tiga bulan ketika berlaku krisis politik tidak berkesudahan melanda negeri berkenaan pada tahun 1985.

"Ramai orang mengatakan PRN tidak sesuai dibuat sekarang kerana masih terlalu awal, namun kita kena ingat rakyat Sabah perlu melalui pengalaman di mana PRN dalam tempoh tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada tahun 1985.

"PRN Sabah berkenaan diadakan selepas ada pihak mengemukakan petisyen di mahkamah bagi menafikan kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada PRU sebelumnya. Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pilihan raya semula atau 'Snap election' bagi mengembalikan mandat menentukan kerajaan negeri kepada rakyat Sabah.

"Jadi saya melihat 'Snap election' adalah jalan terakhir untuk kita menyelesaikan krisis politik di Sabah tetapi saya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa perlu DUN Sabah dibubarkan dan PRN dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca