SHAH ALAM - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah pada malam ini, dijangka menyuluh sinar di hujung terowong bagi menyelesaikan krisis perebutan jawatan ketua menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah pada malam ini, dijangka menyuluh sinar di hujung terowong bagi menyelesaikan krisis perebutan jawatan ketua menteri negeri berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau percaya krisis politik Sabah akan berakhir selepas Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) serta Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO, mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik utama Sabah.

Mazlan berkata, krisis politik Sabah ketika ini bukanlah masalah rakyat, sebaliknya sekadar pertembungan ego dan rasa tidak puas hati dalam kalangan personaliti besar negeri itu seperti Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Anwar dan Ahmad Zahid mungkin akan mencadangkan formula penubuhan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan krisis kerajaan.

"Melalui formula itu, semua pihak saling berbalah di Sabah dinasihatkan supaya bekerjasama di bawah satu pentadbiran kerajaan kerana mereka adalah sebahagian daripada parti-parti bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Apa salahnya jika Barisan Nasional (BN) dan Warisan mengekalkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji dengan satu solusi penambahbaikan menerusi konsep pembentukan kerajaan perpaduan sebenar," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

DR MAZLAN

Sementara itu, Mazlan tidak melihat keperluan satu Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah diadakan dalam masa terdekat susulan Hajiji difahamkan masih memiliki sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu untuk kekal sebagai Ketua Menteri.

Sebaliknya, beliau percaya Anwar dan Zahid akan menggunakan pendekatan berhemah dan harmoni dalam menyantuni krisis politik Sabah.

"Mereka akan dipandang serius oleh ramai ahli politik Sabah yang mahukan kestabilan politik di negeri berkenaan tercapai.

"Justeru, saya berkeyakinan Anwar dan Ahmad Zahid akan mencadangkan Sabah mengikut acuan atau model kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, sekali gus menghentikan konflik politik negeri itu daripada berterusan," katanya.

Dari kiri: Hajiji; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Anwar; Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan Mohd Shafie pada majlis menandatangani permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra pada 16 Disember lalu. - Foto Bernama

Dalam pada itu, Mazlan menyatakan lima ADUN BN Sabah yang menyokong Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri, dijangka tidak hilang kerusi DUN masing-masing sekali pun tidak selari dengan keputusan Pengerusi UMNO negeri itu.

Hal ini kerana beliau menegaskan Sabah masih belum mewartakan Rang Undang-Undang Antilompat Parti bagi menghalang wakil rakyatnya melompat parti sebagaimana diguna pakai di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, tindakan lima ADUN berkenaan tetap memberikan implikasi negatif kepada UMNO dan memberikan parti itu kini berpecah kepada dua kumpulan di Sabah.

"Sokongan lima ADUN BN berkenaan juga menyebabkan status quo kerajaan negeri dan Hajiji sebagai Ketua Menteri kekal, sekali gus mengelak berlakunya pembubaran DUN dan PRN Sabah dalam masa terdekat.

"Jika Hajiji gagal mendapatkan sokongan majoriti mudah maka beliau akan memohon Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN dalam masa terdekat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca