SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan segera berhubung pendedahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tun Mat berhubung percubaan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes ahli politik yang dibicarakan tahun lepas.
Bekas Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan berkata, dakwaan berkenaan tidak seharusnya berlaku dan siasatan terperinci mesti dibuat oleh pihak berkuasa.
"Wajar untuk kerajaan mengambil berat berhubung dakwaan cubaan mengugut badan kehakiman dan siasatan terperinci secara telus perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.
"Perbuatan seperti itu tidak harus berlaku di Malaysia yang terkenal sebagai sebuah negara makmur.
"Kalau terjadi, ia sudah melampaui batas kerana cuba mengatasi kuasa kehakiman dan mengetepikan keadilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Azliana yang merupakan seorang peguam berkata, perbuatan mengugut hakim adalah tidak boleh dimaafkan.
Beliau berkata, implikasinya bukan sahaja isu ketidakadilan akan berlaku, malah lebih teruk apabila pesalah bebas daripada hukuman yang sepatutnya diterima sekali gus imej negara akan tercalar kerana terlibat menyembunyikan kebenaran.
Sementara itu, Setiausaha Agung Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohammad Amar Masuri berkata, perbuatan menakut-nakutkan badan kehakiman perlu segera ditegah dan perbicaraan mahkamah mesti bebas daripada sebarang campur tangan politik.
"Proses perbicaraan merupakan satu perjalanan panjang yang penuh dengan hujah dan bukti berdasarkan undang-undang negara.
"Sesuatu proses kehakiman itu tidak diputuskan dengan sesuka hati tanpa berlandaskan hujah dan bukti,” ujarnyaTengku Maimun pada Isnin mendedahkan beliau pernah menerima ancaman bunuh dan berlaku cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman ketika prosiding kes melibatkan tokoh tertentu.
Tambah Mohammad Amar, masyarakat wajar lebih banyak membaca dan cakna, bukan hanya percaya tanpa usul periksa terhadap sebarang cubaan memburukkan imej mahkamah menerusi media sosial.
"Cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman Malaysia sepatutnya dielakkan dan ditegah, apatah lagi dengan adanya ancaman bunuh kepada Ketua Hakim Negara,” jelasnya.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin pula berkata, ancaman dan ugutan bunuh berkenaan membuktikan kebebasan badan kehakiman dalam menjalankan tugas dengan adil dan saksama mula tidak dihormati.
Menurutnya, badan kehakiman adalah institusi penting dalam memastikan keadilan diperoleh oleh sesiapa tidak kira pangkat, kaum atau agama.
"Maka institusi ini perlu dihormati dan dipelihara serta tidak boleh dihina sewenang-wenangnya,” katanya.
Jelas Badlishah, bagi memastikan perkara itu tidak berulang, tindakan pantas polis menyiasat perlu dilakukan dan sekiranya benar, pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan.
"Ini supaya orang yang nak buat ugutan dan ancaman akan berfikir banyak kali sebelum melakukannya jika dia sedar bahawa tindakan pantas akan dilakukan oleh pihak keselamatan,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara tersebut juga boleh dihindari andainya badan kehakiman bertindak bebas tanpa sebarang campur tangan kerajaan.
Menurutnya, pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman perlu dikuat kuasa dengan sepatutnya.
"Kerajaan harus pastikan tiada campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman.
"Dengan itu, rakyat dan sesiapa sahaja boleh menerima keputusan badan kehakiman dengan hati terbuka.
"Jangan hina keputusan mahkamah atau buat ugutan. Jika ingin buat rayuan terhadap keputusan hakim maka ikut saluran undang-undang yang betul,” ujar Badlishah.
Perbuatan menyedihkan, satu kesalahan besar
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menyifatkan ancaman bunuh yang diterima Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman negara ini merupakan perkara yang amat menyedihkan.
Tegasnya, segala jenis percubaan untuk mempertikaikan kewibawaan hakim sepatutnya tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi.
"Badan kehakiman mempunyai tempat yang tinggi dan perlu dihormati. Kadangkala kita menang dan kadangkala kita kalah (parti politik), tetapi hakim-hakim menjalankan tugas secara bebas serta adil.
"Kalau betul perkara yang disebut itu, ia memang amat menyedihkan dari segi kewibawaan institusi kehakiman,” katanya kepada Sinar Harian.
Tengku Maimum sebelum ini mendedahkan beliau pernah menerima ancaman bunuh dan berlaku cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman ketika prosiding kes melibatkan tokoh tertentu.
Dalam pada itu, Mohamad Ariff berkata, sepanjang menjadi hakim, perkara sedemikian tidak pernah terjadi kepadanya.
"Tidak pernah. Bentuk ancaman keras sebegitu tidak pernah berlaku kepada saya,” ujarnya sambil menambah ia merupakan kali pertama beliau mendengar ancaman sedemikian.
Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku lagi pada masa hadapan, beliau mencadangkan agar kerajaan memperketat kawalan ke atas media sosial.
"Kadang-kadang benda karut ini dibuat melalui media sosial. Jadi harus diperketatkan supaya tidak melampau,” tegas beliau.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula berkata, perbuatan mengugut hakim boleh dikenakan tindakan tegas kerana ia adalah satu kesalahan besar.
"Hakim atau ketua hakim yang menerima ugutan perlu segera membuat laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil,” katanya.
Musa berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana cuba menakutkan secara jenayah.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca