KITA sedia maklum bahawa gelombang krisis ekonomi luar biasa berpotensi berlaku pada bila-bila masa dan tentu sekali terdapat keperluan untuk memastikan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Banyak pihak yang... Klik di sini untuk terus membaca

KITA sedia maklum bahawa gelombang krisis ekonomi luar biasa berpotensi berlaku pada bila-bila masa dan tentu sekali terdapat keperluan untuk memastikan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Banyak pihak yang mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang lebih sederhana pada tahun ini iaitu antara empat hingga lima peratus berbanding 6.5 peratus hingga tujuh peratus pada tahun 2022. Sebelum ini, Bank Dunia juga menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 dan turun kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya.

Ini bermakna terdapat tanda-tanda nyata berdasarkan unjuran data yang boleh dijadikan satu sandaran penting untuk kita bersedia dengan tsunami ekonomi dunia.

Bahkan banyak tinjauan yang dilaksanakan di lapangan menunjukkan dengan jelas isu utama yang diluahkan oleh rakyat adalah berkaitan dengan isu ekonomi terutamanya kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan yang amat memberikan kesan serta membebankan pelbagai lapisan masyarakat.

Ini bermakna setiap langkah yang ingin diambil oleh kerajaan perlu memberikan penekanan terhadap kawalan kenaikan harga barang dan bantuan segera yang diberikan untuk meringankan beban rakyat disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup.

Terbaharu, terdapat kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan dan berdasarkan kepada situasi semasa terhadap kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia akan muflis sekiranya OPR dinaikkan sehingga 3.25 peratus. Tahun lalu kadar OPR sudah dinaikkan empat kali pada tahun lepas iaitu dari 1.75 peratus kepada 2.75 peratus.

Dengan kenaikan secara berterusan ini maka kuasa membeli pengguna akan berkurangan disebabkan oleh pengguna terpaksa menggunakan pendapatan yang ada untuk membayar bayaran pinjaman bulanan yang lebih tinggi.

Yang lebih memeritkan adalah selepas rakyat memperuntukkan lebih banyak pendapatan mereka untuk membayar pinjaman, mereka juga perlu lebih berjimat untuk perbelanjaan lain dan berhadapan dengan tekanan luar biasa terhadap kenaikan mendadak harga barang.

Ini secara tidak langsung menyebabkan pertumbuhan ekonomi domestik akan terjejas secara tidak langsung akibat aliran wang di pasaran berkurangan.

Dalam erti kata lain, apabila kuasa membeli pengguna berkurangan maka ia juga akan menjejaskan industri terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) untuk bernafas disebabkan oleh sebahagian PMKS bergantung kepada perbelanjaan pengguna tempatan yang terpaksa mengikat perut.

Oleh itu, Bank Negara perlu mengkaji kesan kenaikan OPR ini dan bagaimana ia benar-benar berjaya mengawal kadar inflasi negara dan tidak membebankan rakyat dan industri.

Harga barangan pada ketika ini naik secara mendadak di pelbagai tempat dan pengguna juga pada ketika ini tergamam dengan harga barangan yang ditawarkan iaitu di luar jangkaan pengguna.

Persoalannya, bagaimana keadaan akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan dalam masa yang sama perlu membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi serta baki pendapatannya selepas ditolak bayaran pinjaman bulanan perlu membeli barangan keperluan harian yang naik secara mendadak?

Secara rasionalnya, tentu akan ada perbelanjaan yang akan dikorbankan disebabkan tekanan yang berlaku daripada pelbagai penjuru.

Sebenarnya, kita sedang keluar daripada krisis kesihatan Covid-19 yang memberi kesan kepada krisis ekonomi dan sedang memasuki krisis yang jauh lebih besar pada tahun ini yang amat-amat memerlukan persediaan rapi daripada semua pihak dalam berhadapan dengan tsunami ekonomi yang berpotensi berlaku pada bila-bila masa.

Tanda-tanda awal sudah semakin jelas kelihatan dengan kenaikan harga yang luar biasa daripada pelbagai jenis barang termasuk barangan keperluan harian yang amat-amat membebankan rakyat dan ini merupakan petanda jelas apa yang boleh kita jangkakan selepas ini dan krisis lebih besar semakin menghampiri kita tanpa disedari.

* Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca