PADA 5 Januari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Majlis itu merupakan medium Menteri Pertahanan menjelaskan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 5 Januari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Majlis itu merupakan medium Menteri Pertahanan menjelaskan perancangan dan hala tuju kementerian serta hasrat beliau selaku peneraju kementerian tersebut bagi tahun 2023.

Antara yang disentuh adalah Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang menurut beliau bakal dilancarkan pada tahun ini. DIPKN bertujuan ‘melonjakkan’ industri pertahanan dan keselamatan tempatan agar mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mengurangkan aliran keluar wang negara.

Apabila negara melaksana dasar penswastaan, ATM juga turut melaksanakan dasar penswastaan bagi meningkatkan keupayaannya.

Penswastaan beberapa aspek logistik akan memberikan faedah dan manfaat kepada ATM seperti menggalakkan penjimatan, mengurangkan bebanan tugas, pemindahan teknologi dan memastikan ATM sentiasa berada dalam tahap siap siaga yang tinggi.

Selain lonjakan, pelbagai kaedah telah diguna pakai oleh kepimpinan kementerian serta pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha mahu memperagakan agar industri pertahanan agar berbau harum di mata umum. Ini termasuklah pemerkasaan, mempertingkatkan keupayaan, lonjakan teknologi, kemampuan berdikari dan pelbagai lagi.

Namun jika mahu melihat barah yang terus melanda industri pertahanan tempatan, rakyat tidak perlu meneropong jauh, ini kerana sehari sebelumnya, kabinet telah meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain mengambil alih projek pembinaan kapal tersebut.

Kelemahan industri tempatan terutamanya dalam mengawasi pengurusan sesuatu projek mega sebenarnya telah lama diketahui.

Apabila kelemahan syarikat swasta ini direncahkan sedikit dengan sekelompok penjawat awam yang turut berkubang dalam lumpur budaya salah guna kuasa dan rasuah, maka hasilnya parah, khususnya kepada pertahanan negara.

Permasalahan urus tadbir Kementerian Pertahanan ini pernah disentuh oleh Menteri Pertahanan sejak dari tahun 2010 lagi apabila beliau menyentuh masalah sikap para kakitangan kementerian yang melaksanakan tanggungjawab dengan tidak berkesan.

Beliau menegaskan agar kakitangan mengelakkan ‘budaya cincai’ dalam menjalankan tugas yang memberikan kesan dan permasalahan kepada kualiti kerja Kementerian Pertahanan.

Beliau turut mendedahkan permasalahan keingkaran arahan pegawai atasan yang menjadi sebagai budaya, keadaan urus tadbir kementerian yang bermasalah, tidak berkesan dan penyelewengan. Ini telah menjejaskan proses pemodenan dan pembangunan ATM.

Empat tahun kemudian, pada Mac 2014, Panglima Tentera Darat (PTD) turut memberikan amaran terhadap perkara sama. Menurut beliau parameter pembangunan pertahanan yang digariskan di dalam pelan strategik ketika itu perlu disokong dengan sistem logistik bersepadu dan budaya senggara yang menyeluruh manakala semua ruang yang boleh menjurus kepada kebocoran dan ketirisan perlu ditampal.

Apakah industri pertahanan negara tidak mempunyai tenaga kerja mahir atau tidak berkemampuan? Persoalan ini sebenarnya tidak timbul kerana jika dilihat kepada bagaimana firma-firma pertahanan negara bermula dalam bidang masingmasing, ia telah berjaya mendapatkan pelbagai projek, bukan sahaja dari dalam, malah juga dari luar negara.

Contohnya firma AIROD yang menerajui industri aeroangkasa tempatan mempunyai senarai pelanggan yang bukan sedikit ketika era puncaknya.

Ia mempunyai 78 pelanggan dari 33 buah negara, antaranya Tentera Udara Amerika Syarikat, Tentera Diraja Thai, Tentera Nasional Indonesia, Tentera Udara Filipina, Papua New Guinea, Syarikat Batavia Air, South African Air, Tentera Udara Libya, Tentera Udara Bangladesh, Nok Air (Thailand), Lion Air (Indonesia) dan banyak lagi.

Pelanggan dalam negara termasuklah Transmile Air, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Westar Aviation, Pasukan Udara Tentera Dara dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia.

Mungkin apa yang perlu dikaji (walaupun mungkin berpuluh tahun mengkaji perkara sama!) ialah apakah sebab sebenar industri pertahanan tempatan gagal setelah berpuluh tahun menimba pengalaman.

Mungkin apa perlu dilaksanakan bukan DIPKN baru, tetapi tadbir urus yang lebih cekap, budaya kerja yang telus dan tulus, akauntabiliti, integriti dan jati diri yang tidak boleh dibeli dengan ringgit, jawatan dan kuasa.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca