SHAH ALAM - Satu perbincangan di antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian terhadap isu kenaikan harga hotel secara tiba-tiba kepada jemaah umrah.
Pengarah Urusan Tri-D Travel dan Tours Sdn Bhd, Sarina Sharif berkata, ia berikutan negara tersebut tidak mempunyai badan penguat kuasa yang mengawal kenaikan harga secara mendadak.
"Kalau nak bagi subsidi memang tidak boleh sebab mereka yang pergi umrah ini mengikut kemampuan. Jadi, apa yang boleh dicadangkan adalah kerajaan masuk campur dengan berbincang bersama Arab Saudi.
"Jika di Malaysia, kita ada penyelia untuk kawal kenaikan harga. Namun, tidak di Arab Saudi.
"Jadi, mereka naikkan harga sesuka hati walaupun kita sudah bayar. Perkara ini memang berlaku di sana. Lagipun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara itu (Arab Saudi).
"Harapnya ada perbincangan dan keputusan dapat dibuat agar dapat turunkan kos hotel yang terlalu tinggi ini,” kata Sarina ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak pula berkata, kenaikan itu berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini.
Sementara itu, tegas Sarina pihak agensi perlu berperanan dengan tidak mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga tersebut iaitu mengambil komisen yang tinggi.
"Harga hotel sekarang meningkat sekali gus membebankan bakal jemaah.
"Kalau agensi ambil kesempatan, ia bertambah beban kepada mereka. Jangan caj terlalu tinggi sehingga mereka terpaksa berhutang,” ujarnya.
Bayar ansuran
Bagi Pengarah Urusan Qaid Travel Sdn Bhd, Suzliana Mohamad, kaedah yang digunakan syarikatnya bagi meringankan beban jemaah adalah membenarkan bayaran ansuran terhadap kenaikan yang berlaku.
Jelasnya, inisiatif tersebut dilakukan agar jemaah umrah tersebut tidak mengambil keputusan untuk berhutang kepada pihak lain.
"Sebelum jemaah bergerak (menunaikan umrah), mereka akan baca dan setuju dengan kontrak yang menyatakan akan berlaku kenaikan harga terutama hotel. Akan wujud dua situasi, sama ada jemaah menerima atau membantah.
"Bagi yang membantah, kita akan ubah mereka kepada hotel yang agak berjauhan untuk sesuaikan dengan harga yang dibayar.
"Sebagai agensi pelancongan, kita kena didik mereka tentang perkara ini,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut berterusan tanpa sebarang tindakan susulan, ia menyebabkan agensi pelancongan terutama berkaitan umrah dan haji gulung tikar.
"Sekarang ini semua berisiko. Dulu ramai yang nak pergi (tunaikan umrah) sebab memang murah, RM4,000 sudah boleh. Tapi sekarang, ia diibaratkan hanya untuk orang kaya,” ujarnya.
Jelas Perunding Umrah Haji dan Pelancongan, Nik Ahmad Farez Nik Ali, meskipun bayaran telah dilakukan semasa membuat tempahan, namun menjadi kebiasaan di Arab Saudi untuk menaikkan harga dengan sesuka hati.
Oleh demikian, beliau menasihatkan agar pihak agensi dapat melakukan anggaran kos dengan lebih awal supaya tidak memberi kesan kepada dua-dua pihak iaitu agensi dan juga bakal jemaah.
"Kita sekarang memang kena jangka dengan kenaikan ini.
"Agensi juga perlu maklumkan kepada jemaah untuk simpan duit lebih tampung kenaikan yang tiba-tiba.
"Kos untuk tunaikan umrah sangat dinamik,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca