SHAH ALAM - Tindakan sesetengah agensi pelancongan yang tidak memperjelaskan harga sebenar bagi pakej umrah membuatkan ramai individu yang memasang impian untuk ke Tanah Suci berdepan kesukaran.
Meskipun harga yang ditawarkan pada awal dilihat berpatutan, namun keadaan tersebut berubah pada saat-saat akhir.
Seorang pekerja syarikat swasta, Muhammad Fahmi Azhar, 25, berkata, ibu bapanya sepatutnya sudah melaksanakan umrah menerusi satu agensi pada Disember lalu.
Namun, disebabkan terdapat tambahan harga yang perlu dibayar pada saat-saat akhir, ia membuatkan ibu bapa Fahmi terpaksa membatalkan hajat tersebut memandangkan kosnya semakin tinggi.
"Ikutkan, ibu bapa saya sudah selesai tunai umrah bersama ahli keluarga lain pada Disember lalu, tetapi disebabkan terdapat tambahan harga daripada kira-kira RM6,000 kepada sekitar RM7,000, mereka terpaksa batalkannya.
"Sekarang mereka beralih pada agensi yang lebih berpatutan. Insya-ALLAH, dalam Februari nanti, mereka akan berangkat ke Tanah Suci,” kata anak jati Melaka itu ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham menyatakan, ketidakstabilan harga pakej ibadah umrah menyebabkan jemaah terpaksa menanggung kenaikan 50 peratus berbanding harga asal.
Jelas beliau, ia dikesan terjadi semenjak November lalu, ekoran daripada kenaikan jemaah umrah selepas Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancongan untuk tujuan ibadah berkenaan.
Sementara itu, kata Fahmi, orang ramai yang berhajat menunaikan umrah diingatkan supaya menyemak dengan teliti mengenai harga yang ditawarkan oleh mana-mana agensi.
Ujarnya, ia bagi mengelakkan para jemaah daripada tertipu atau menikmati perkhidmatan yang kurang memuaskan semasa menunaikan ibadah suci itu.
"Kaji dahulu sebaik mungkin. Jangan tertipu dengan harga yang murah. Kadang-kadang harga yang murah ini ada kekurangannya,” kata Fahmi.
Bagi seorang peniaga, Adam Mat, 30, kerajaan dicadangkan menggubal undang-undang baharu yang mewajibkan setiap agensi perlu mendedahkan kos pakej umrah.
"Bila kosnya itu RM7,000, apa yang dia akan dapat dengannya? Adakah ia bertepatan daripada segi penginapan, pengangkutan yang dia dapat?
"Sebab ada isu yang berlaku, harga sekian-sekian tapi apabila sampai (tiba di destinasi) kena beri bayaran tambahan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 untuk tampung kos tertentu,” jelasnya.
Ulasnya, agensi yang terlibat dalam mengendalikan jemaah umrah, perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah sejajar dengan kos yang dibayar.
"Kena ada satu borang yang diperkenalkan kerajaan, yang mana kalau jemaah tidak diberi perkhidmatan seperti apa yang sepatutnya, tindakan boleh dikenakan.
"Contohnya, dalam pakej sudah beritahu akan ada lawatan ke masjid tertentu, tapi apabila jemaah pergi, lawatan itu tidak dibuat,” ujarnya.
Norisah Akbar, 55, pula berkata, kerajaan boleh memberi had sebanyak satu atau dua kali kepada individu yang ingin melaksanakan ibadah umrah.
Jelas pesara guru itu, ia bagi mengelakkan permintaan terhadap perkhidmatan pengendaliannya, melonjak sekali gus menyebabkan kosnya meningkat.
Ujarnya, perkara tersebut pada masa yang sama, dapat membantu mana-mana individu yang tidak berupaya atau belum pernah menunaikan umrah, dapat menjalani ibadah tersebut.
"Jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), merasakan ini perkara yang terbaik, maka elok diusahakan,” ulas Norisah.
Klik di sini untuk terus membaca